SUMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak dapat disangkal lagi kerana menjadi salah satu pemacu kemajuan teknologi di pelbagai sektor, termasuk pertanian.
Penerapan teknologi pintar seperti AI bukan sahaja mampu meningkatkan hasil dan keberkesanan pertanian, malah berpotensi mencetuskan Revolusi Hijau baharu.
Mengimbau kembali Revolusi Hijau abad ke-20, ia merujuk kepada lonjakan teknologi dan amalan pertanian moden yang berjaya meningkatkan pengeluaran makanan global. Kini, dengan adanya AI, revolusi ini berpotensi dihidupkan semula dengan penekanan yang lebih terhadap kelestarian, kecekapan pengurusan sumber dan kesejahteraan sosial.
Melalui teknologi AI, perubahan besar dapat dipacu dalam sektor pertanian moden. Sistem pintar yang menggabungkan analisis data raya (big data), pembelajaran mesin dan algoritma pintar membolehkan petani membuat keputusan yang lebih tepat. Contohnya, penggunaan dron dan sensor AI memudahkan pengurusan ladang secara efisien. Analisis data ini mampu mengenal pasti kawasan tanaman yang memerlukan air, baja atau rawatan serangga perosak secara spesifik, sekali gus mengurangkan pembaziran sumber. Ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah turut menjaga kelestarian ekosistem.
Selain itu, teknologi AI juga berupaya membantu petani dalam merancang dan mengurus tanaman mereka melalui ramalan cuaca dan bencana alam. Dalam ketidaktentuan perubahan iklim dunia, aplikasi teknologi ini amat kritikal untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan global. Ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua, iaitu Mengakhiri Kelaparan, yang mana AI memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan yang berterusan dan mencukupi.
Revolusi Hijau AI kini wajar dimanfaatkan untuk mendukung konsep Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Kerangka ekonomi ini menekankan pembangunan ekonomi yang seimbang berasaskan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar, dan kesejahteraan rakyat. Ini selari dengan SDG ke-12, Penggunaan dan Pengeluaran Yang Bertanggungjawab, yang mana AI membantu mengoptimumkan penggunaan sumber semula jadi seperti air, baja dan tenaga dalam pertanian, sekali gus menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan pembaziran serta pencemaran.
Dalam kerangka Ekonomi Madani, prinsip ini selaras dengan matlamat menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang. Ekonomi ini juga menitikberatkan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian ekosistem yang mana AI menawarkan penyelesaian untuk memastikan pertanian berasaskan kelestarian, menggunakan sumber semula jadi secara bijak dan menjaga ekosistem.
Kini, teknologi robotik pintar dalam menuai, menanam dan memantau tanaman membantu petani mengurangkan kos buruh dan masa untuk tugas-tugas rutin. Teknologi ini juga membolehkan pengeluaran makanan yang lebih banyak dengan penggunaan sumber yang lebih sedikit, membuka peluang untuk meningkatkan eksport dan menstabilkan bekalan makanan domestik. Ini juga selari dengan Program Pengukuhan Eksport Agromakanan yang bertujuan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pengeksport agromakanan di peringkat antarabangsa.
Terbaru, Belanjawan 2025 dengan peruntukan sebanyak RM421 bilion telah dibentangkan. Ia selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan serta melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat. Sebanyak RM2.78 bilion berbentuk subsidi, bantuan dan insentif diperuntukkan untuk pesawah dan nelayan.
Dalam konteks ini yang mengutamakan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam, AI menawarkan potensi besar untuk membentuk masa depan pertanian yang lebih canggih, mampan dan inklusif.
‘NAIK TARAF’ SEKTOR PERTANIAN
AI bukan sekadar teknologi moden, tetapi satu revolusi hijau baharu yang mampu mengangkat sektor pertanian ke tahap lebih tinggi. Dengan penerapan yang betul, AI boleh memacu pertanian ke arah yang lebih mampan dari segi ekonomi dan ekologi serta memenuhi matlamat Ekonomi Madani yang komprehensif. Gabungan teknologi pintar dan kerangka ekonomi memberikan harapan bagi masa hadapan pertanian yang lebih produktif, cekap dan lestari dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta pertambahan penduduk.
Tambahan lagi, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM300 juta bagi kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri dan kerajaan bersama badan swasta akan memanfaatkan hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik Lembaga Kemajuan Wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk projek pertanian. Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian melalui penggunaan sumber yang tidak dioptimumkan khususnya tanah-tanah terbiar yang berada di bawah pengurusan lembaga kemajuan wilayah dan agensi yang berkenaan.
Menyedari hakikat sebagai bangsa yang berdiri teguh di bawah payung Ekonomi Madani, kita sebenarnya berada di ambang sebuah perubahan besar dalam dunia pertanian. AI bukan sekadar alat tetapi penggerak ke arah masa hadapan yang lebih cerah.
Di tengah arus perubahan iklim dan ketidaktentuan global, AI menghubungkan dunia teknologi dan alam semesta, mencipta harmoni antara kemajuan dan kelangsungan hidup. Dengan setiap algoritma yang dicipta dan inovasi yang diterapkan, kita bukan sahaja membina jambatan antara tradisi dan kemodenan, tetapi juga membina legasi buat generasi akan datang.
Pertanian yang lestari bukan sekadar soal ekonomi, tetapi tentang menjaga tanah tempat kita berpijak, udara yang dihirup dan rezeki yang dijaga. Seperti air yang mengalir tetapi pasti, Revolusi Hijau AI akan terus menyuburkan tanah-tanah kita, membawa pertumbuhan yang tidak hanya berakar pada hasil, tetapi juga pada nilai dan kemanusiaan. Masa hadapan kita adalah perpaduan antara kesejahteraan alam dan teknologi pintar.
Inilah kisah kita, revolusi hijau yang kembali hidup, subur dan makmur dalam era AI yang dipandu oleh keadilan, kesaksamaan dan kelestarian.-UTUSAN
DR. Suharmili Rosle adalah Felo Pasca Doktoral di Fakulti Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










