Raja-raja Melayu menaungi hidup rakyat

Raja-raja Melayu menaungi hidup rakyat

MASYARAKAT perlu memahami Wasiat Raja-raja Melayu yang disepakati dan ditandatangani kesemua raja dan sultan pada 5 Ogos 1957.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“RAJA-RAJA Melayu mesti be­kerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata.”

Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Selangor, Kuala Lumpur sewaktu menerima menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim pada 1 Oktober lalu.

Baginda turut mengingatkan hakikat peranan raja-raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat pada masa kini melangkaui isu-isu agama, sebaliknya turut membabitkan isu-isu semasa.

Titah Sultan Selangor seharusnya mengingatkan penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia tentang prinsip kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada raja dan negara.

Tidak setakat itu, walaupun kita kini hidup dalam suasana pemerintahan kerajaan demokrasi yang dipilih oleh rakyat menerusi kuasa undi, kita tidak harus sesekali lupa akan hakikat sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Dalam pada itu, sewaktu berucap merasmikan program Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak sesekali bercadang mengubah kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak pernah mana-mana pemimpin kerajaan menolak prinsip bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu sepanjang saya menjadi perdana menteri dalam tempoh hampir dua tahun ini,” tegasnya.

Fakta, data, hujah dan bukti kukuh berkenaan hal-hal ini saya tulis berulang kali, misalnya dalam buku Malaiur Manikam (2015), Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024).

Namun begitu, topik ini memang amat wajar sentiasa diketengahkan dan dibincangkan supaya orang ramai tidak terlupa. Atau lebih penting lagi, orang ramai tidak akan terpengaruh dan tertipu dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghancurkan keamanan negara.

Sejak usia remaja iaitu sejak 1980-an, saya sering mendengar dakyah pihak tertentu kononnya jika DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, maka Perlembagaan Persekutuan akan dipinda sehingga kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya terhapus.

Namun begitu, sebagaimana terbukti sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan yang turut melibatkan DAP, tidak ada apa-apa perkara seperti itu berlaku. Sebaliknya, kesemua perkara berkenaan semakin dilindungi dan diperkukuh.

Sesungguhnya, kelompok yang kurang ilmu dan pengetahuan amat mudah ditipu, diperdaya dan dimanipulasi puak tertentu yang sentiasa menanti peluang untuk meracuni fikiran rakyat.

FAHAM WASIAT RAJA MELAYU
Menyedari hakikat itulah saya sentiasa menekankan betapa kita perlu memahami Wasiat Raja-raja Melayu yang disepakati dan ditandatangani kesemua raja dan sultan pada 5 Ogos 1957 iaitu sebelum Tanah Melayu merdeka daripada penjajah British.

Dalam wasiat itu, sudah ditegaskan raja-raja Melayu akan sentiasa menjamin dan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, tanah rizab Melayu serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Kesemua wasiat itu juga terkandung dalam Perkara 3, Perkara 32, Perkara 89, Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tentulah sekali lagi akan ada puak pendakyah berniat jahat cuba menghasut orang ramai dengan berkata, segala peruntukan itu boleh dipinda jika parti politik tertentu membentuk kerajaan persekutuan.

Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan perlu ada untuk kita mampu menangkis fitnah dan tohmahan tidak berasas seperti itu. Sekiranya Perkara 3, Perkara 32, Perkara 89, Perkara 152 serta Perkara 153 mahu dipinda, kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sahaja tidak mencukupi.

Sebaliknya, perlu dibawa ke mesyuarat dan mendapat perkenaan Majlis Raja-raja Melayu. Pasti sahaja raja-raja Melayu yang berpegang kepada Wasiat Raja-raja Melayu (1957) tidak akan sesekali meluluskan pindaan perkara-perkara terbabit.

Kenyataan Sultan Selangor dan perdana menteri memang wajar untuk sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa segala hak di bawah Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dilindungi dan dipelihara.

Namun begitu, ada juga perkara yang membimbangkan masih berleluasa. Saya mengetengahkan isu itu menerusi rencana bertajuk Tanah rizab: Jangan sampai merempat di bumi sendiri (13 November 2021), Mustahil tanah rizab Melayu ‘dirampas’ sewenang-wenang (10 September 2022) dan Siapa dalang tanah rizab Melayu mengecil? (2 Disember 2023).

Walaupun Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu melindungi tanah simpanan Melayu (tanah rizab Melayu), penyelewengan ternyata masih berlaku secara penuh licik.

Misalnya, pada Mac lalu, media melaporkan aduan penghuni lot tanah di Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah yang mendakwa tanah rizab Melayu yang mereka diami turun-temurun sejak 1920 telah dipindah milik dan dijual kepada sebuah syarikat milik bukan Melayu.

Mengikut enakmen rizab Melayu (ERM) yang menjadi pegangan sejak 1914, tanah rizab Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Jika berlaku, maka penjualan itu terbatal dan tidak sah.

Namun begitu, hasil perbualan dengan beberapa rakan peguam, saya mendapat tahu tentang konsep bona fide yang terpakai dalam perundangan. Misalnya, katakan ada pihak menipu dan berjaya menukar status tanah rizab Melayu, lalu menjualnya kepada individu bukan Melayu yang langsung tidak tahu status asal tanah berkenaan.

Kemudian, penipuan itu dikesan dan pembeli bukan Melayu diminta memulangkan tanah tersebut. Pembeli itu boleh menggunakan hujah bona fide di mahkamah kerana dia memang tidak tahu status asal tanah terbabit.

Maka, pembelian tanah itu boleh diputuskan sah oleh mahkamah kerana pembeli bukan Melayu itu tidak terlibat dalam penipuan menukar status tanah rizab Melayu.

Tidak hairanlah perkara yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu masih menjadi mangsa penyelewengan.

Melihat segala isu semasa seperti ini, saya menyokong penuh titah Sultan Selangor supaya Raja-raja Melayu sentiasa menaungi kesejahteraan hidup rakyat.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN