Perlu buat perubahan total jika mahu atasi kemiskinan

Perlu buat perubahan total jika mahu atasi kemiskinan

PERJUANGAN untuk menghapuskan kemiskinan memerlukan perubahan struktural yang menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEKATNYA kemiskinan di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlihat jelas bila minggu ini sahaja dua majlis berkait dengan kemiskinan dihadiri oleh beliau.

Majlis pertama ialah sempena Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin lepas.

Selepas menghadiri simposium ini Anwar melakukan lawatan rasmi ke Pakistan dan Bangladesh, dan sepulangnya beliau dari dua negara ini terus beliau hadir ke majlis kedua.

Majlis kedua ini ialah Seabad Za’ba Pemikir Kemiskinan Sempena Syarahan Za’ba di Dewan Tunku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.

Dalam ucapannya pada Syarahan Za’ba ini, Anwar dengan jelas menggariskan pemikirannya mengenai kemiskinan melalui perspektif Za’ba dan pemikir nasional dan dunia lain.

Paling mengujakan ialah ucapan ini tidak hanya menyorot pemikiran Za’ba, tetapi juga menyatukannya dengan pandangan pelbagai sarjana lain dalam memahami dan menangani kemiskinan dari sudut yang lebih luas dan pelbagai dimensi.

Za’ba, atau nama sebenarnya Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, adalah seorang tokoh pemikir Melayu terkemuka yang menghasilkan himpunan tulisan bertajuk The Poverty of the Malays dan The Salvation of the Malays.
Tulisan ini menekankan bahawa kemiskinan bukan sahaja bersifat material tetapi juga merangkumi kemiskinan intelek dan sikap.

Za’ba mengaitkan kemiskinan dengan ketiadaan cita-cita, kepercayaan diri dan kelengkapan intelektual yang membawa kepada kemunduran bangsa.

Anwar menyentuh aspek ini dengan mengaitkan pemikiran Za’ba kepada konsep multi-dimensional poverty atau kemiskinan pelbagai dimensi, yang lebih mendalam daripada sekadar kekurangan wang ringgit.

Memperkatakan mengenai Za’ba Anwar turut sama menyebut mengenai karya Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bertajuk Jejak-Jejak di Pantai Zaman yang mengulas huraian Za’ba tentang kemiskinan orang Melayu.

Ungku Aziz sendiri terkenal dengan pandangannya mengenai kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar Malaysia di mana beliau melihat punca utama kemiskinan terletak pada ketidakseimbangan dalam pemilikan modal dan tanah serta ketempangan dalam sistem pemasaran.

Ini mencerminkan kemiskinan sebagai masalah struktural yang perlu diatasi melalui perubahan dasar ekonomi yang lebih adil.

Ungku Aziz mengajukan penstrukturan semula ekonomi untuk mengatasi ketidakadilan dalam sistem pemasaran, terutama sekali yang melibatkan golongan nelayan dan petani.

Anwar juga memetik karya Profesor Syed Hussein Alatas, khususnya The Myth of The Lazy Native yang membongkar mitos kemalasan pribumi yang sering dikaitkan dengan penjajahan.

Al-Atas berhujah bahawa kemunduran bukanlah semata-mata berpunca dari sikap malas, tetapi kerana warisan penjajahan yang mewujudkan struktur sosial yang menindas.

Beliau mengingatkan bahawa pemikiran bangsa terperangkap, satu konsep yang Anwar kaitkan pula dengan karya penerima Hadiah Nobel, Czesław Miłosz, bertajuk The Captive Mind, di mana pemikiran elit Melayu dan masyarakat terperangkap dalam kerangka penjajah dan gagal melahirkan perubahan sebenar.

Turut disentuh ialah karya Profesor Syed Husin Ali yang meneliti bagaimana struktur masyarakat di beberapa kawasan di Malaysia seperti di Pahang, Kedah dan Johor mencerminkan permasalahan kemiskinan yang lebih mendalam, berkait rapat dengan adat, agama dan sikap individu dalam menghadapi kemunduran.

Selanjutnya, Anwar juga memperkatakan mengenai perjuangan Jose Rizal, seorang tokoh nasionalis Filipina yang dalam karyanya bertajuk The Indolence of the Filipinos menyanggah dakwaan bahawa rakyat Filipina malas. Rizal menyatakan bahawa penjajahan Sepanyol telah melemahkan semangat rakyat Filipina yang pada asalnya mempunyai hubungan perdagangan antarabangsa yang kuat sebelum kehadiran penjajah. Ini merupakan satu analogi yang relevan dalam memahami bagaimana penjajahan melemahkan bangsa-bangsa yang dijajah, termasuk masyarakat Melayu.

Seterusnya, pemikiran Frantz Fanon, seorang pemikir dari Algeria yang terkenal dengan karyanya Pedagogy of the Oppresse, turut disentuh oleh Anwar.

Fanon berhujah bahawa kemiskinan seringkali lahir daripada penindasan penjajah yang mengakibatkan hilangnya harapan dan keyakinan diri dalam kalangan bangsa yang dijajah.

Fanon mempercayai bahawa untuk membebaskan diri dari kemiskinan dan penindasan, bangsa yang tertindas mesti memulihkan semula semangat dan kesedaran mereka, sesuatu yang Anwar anggap sebagai amat relevan dalam konteks Malaysia.

Anwar juga turut menyentuh tentang Dr. Samir Amin, seorang ahli ekonomi sosialis yang terkenal dengan pandangannya bahawa kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi juga masalah struktur sosial, politik dan ideologi.

Menurut Amin, kemiskinan perlu difahami secara holistik melalui science of society. Bagi mengatasi kemiskinan, perubahan besar dalam sistem politik dan ekonomi perlu dilakukan untuk mewujudkan keadilan sosial yang sebenar.

Semua ini dirangkumkan oleh Anwar ke dalam kata-kata Roger Garaudy, seorang pemikir Perancis, dengan mengingatkan bahawa mengenang tokoh besar seperti Za’ba bukan sekadar untuk “membakar menjadi debu” tetapi untuk “menyemarakkan api perjuangan mereka.”

Ini adalah mesej terpenting yang Anwar mahu sampaikan dalam ucapannya bersempena Hari Akademia Negara ini, iaitu bahawa pemikiran tokoh besar seperti Za’ba dan tokoh-tokoh besar lainnya perlu dihidupkan dalam tindakan dan dasar.

Dalam konteks ini semua pihak perlu melihat penegasan Anwar bahawa perjuangan untuk menghapuskan kemiskinan memerlukan perubahan struktural yang menyeluruh dengan kerajaan Madani yang dipimpinnya berusaha untuk menekankan tatakelola yang baik, penghapusan rasuah dan keadilan dalam pelaksanaan dasar ekonomi.

Tepat sekali apa yang diperkatakan oleh Anwar ini kerana pendekatan terhadap kemiskinan sememangnya tidak boleh hanya terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, tetapi mesti melibatkan sama perubahan sikap, pendidikan dan struktur sosial secara keseluruhannya sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Za’ba dan para pemikir lain. – UTUSAN

WAN Asmadi Wan Daud ialah penulis bebas dan pengasas Prima Mercu Sdn Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN