SUDAH menghampiri dua tahun usia Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pilihan raya umum ke-15 jatuh pada 19 November 2022. Selepas itu Anwar angkat sumpah jawatan serta sumpah simpan rahsia pada 24 November. Diikuti 2 Disember tahun sama dua Timbalan Perdana Menteri berserta 25 menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Barangkali, sudah tiba masanya Kabinet Perdana Menteri ke-10 itu dinilai keberkesanannya. Perlu dilihat kembali satu persatu prestasi dan potensi setiap anggota Jemaah Menteri. Berikan markahnya daripada pemantauan kad laporan masing-masing.
Jika perlukan perubahan untuk dirombak, terserah kepada Perdana Menteri memutuskannya. Wajar Perdana Menteri sendiri sahaja membuat penentuan markah para menterinya. Ya, jika bagus atau ada cacat cela seseorang menteri, imej mereka terpalit bukan kepada diri menteri itu semata-mata, tetapi kepada bos mereka juga.
Hal ini juga bukan sahaja melibatkan soal menyalurkan duit yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian, tetapi berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak deliver perlu tahu cara memperbaiki diri. Kalau merasakan diri tidak mampu, maklum kepada Perdana Menteri untuk ke pintu keluar.
POST MORTEM
Kerajaan mana-mana pun di dunia ini untuk terus sukses, perlu buat post mortem. Paling mustajab enam bulan sekali untuk menilai keupayaan para menteri dan dasar-dasar yang dibawa. Lihat siapa yang memiliki naluri tajam mencernakan idea-idea bukan retorik dalam bercakap dan melaksanakan sesuatu penyelesaian isu, dasar dan khidmatnya.
Ada yang sifatnya sebagai ‘gurkha’ dan ada pula yang ‘dunianya masih siang’ lantaran usia masih muda untuk terus diasuh sebagai menteri berwibawa.
Lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul. Ini sering diperkatakan dalam agensi atau jabatan yang menggerakkan penguatkuasaan. Perlu kerap dilakukan proses pertukaran kalangan para pegawai kanan untuk mengelak sakau menyakau sebelum dibadai bencana besar mahkamah.
Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing cukup tinggi.
Antaranya dalam meningkatkan pelaburan infrastruktur. Antaranya pengangkutan awam, internet pantas dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan. Itu belum lagi berkisar kenaikan harga barang dan melayani tindak tanduk kartel-kartel pertanian dan perusahaan.
Cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat sebahagian besar rakyat. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa. Runsing jikalau ‘hujan di tengah hari’. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.
Politik yang bijak dan berkesan hari ini adalah politik berbisa. Sentiasalah pasang telinga supaya dapat memahami apa sebenarnya kehendak dan masalah rakyat terkini, perlu diberi perhatian serta segera diatasi.
Serlahkan wibawa, cabar diri sendiri, jangan merangkak-rangkak dan teraba-raba menyelesai permasalahan rakyat. Populariti diri penting juga, tapi paling utama – imej parti dan kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat segalanya.
POLITIK LAMA
Kurangkan berpolitik cara lama, buat laporan polis berjela-jela, lepas itu beralih ke satu sidang media ke satu media lain. Akhirnya dikatakan syok sendiri – kerana tidak pergi ke perjuangan sebenar rakyat.
Kalau asyik bergasak sesama Islam, sesama Melayunya, antara parti-parti Melayu, penyelesaiannya sekadar atas platform politik semata-mata.
Bantai situ, hentam sana. Lepas itu sang lawan pula jawab, bagi pula ‘dalil’nya. Akhirnya wal hasil balik asal. Tidak pergi ke masalah rakyat sebenar. Inilah sebabnya kita cukup muak, jengkel dengan cakap-cakap politik yang kemudian menjadi berita-berita politik.
Malaysia perlukan pemimpin yang tidak ada ‘bagasi politik’ (political baggage) . Imej dan karektornya mungkin nampak sederhana, tetapi apa yang kita perlukan sekarang ialah “hasil kerja berdasarkan keputusan” demi membantu rakyat yang semakin sengsara, dengan kadar pengangguran dalam kalangan lepasan universitinya amat tinggi.
Waktu ini suhu politik negara kelihatan tenteram dan stabil. Dari faktor ketenteraman politik ini, kita menginginkan proses pemulihan negara juga berlangsung secara tertib, terurus dan terancang.
Barisan pemimpin terbaik ialah yang sentiasa bersederhana. Hidup dalam bidang kelayakan mereka sendiri.
Sebab itu Kabinet Perdana Menteri perlu meneruskan usaha dan tindakan untuk memperbetulkan yang biasa, biasakan yang betul. Tidak boleh lagi seorang menteri bekerja secara biasa-biasa. Mesti menteri itu memiliki pemikiran luar kotak dengan tindak balas luar biasa. Jangan main ‘rembat’
Kadang-kaIa ada satu dua menteri kita bila ke pasar basah dan pasar raya, baru perasan sampai terperanjat harga naik menggila. Padahal, telah diwujudkan pasukan khas tangani isu-isu rakyat sejak dahulu kala lagi.
Negara ini tidak mampu lagi diliputi rasuah kiri kanan atas bawah. Rakyat dan dunia akan pandang kita hina-hina berterusan.
Jadi, adakah menghampiri usia dua tahun ini, maka sudah tiba masanya Kabinet Madani pimpinan Anwar dinilai keberkesanannya – yang mana patut diubahsuai dan dirombak – sama ada minor atau major?
Terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri memutuskannya.










