Mengimbangi kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi

Mengimbangi kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi

WALAUPUN Belanjawan 2025 dilihat baik dalam setahun mendatang, tetapi kerajaan harus mula memikirkan hala tuju jangka panjang untuk tempoh 30 tahun lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA optimis kerajaan sedang berusaha mengimbangi kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi melalui empat pemfaktoran penting iaitu keperluan, kehendak, kemampuan dan keadaan pemegang taruh.

Belanjawan 2025 yang berjumlah RM 421 bilion dengan sasaran defisit 3.8 peratus dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus berasaskan lima asas utama iaitu pertumbuhan KDNK dan pelaburan, prestasi ringgit, pengukuhan fiskal, kutipan hasil cukai serta penyesuaian subsidi.

Asas-asas ini diharap dapat memacu ekonomi negara dalam setahun mendatang, namun saya berharap kerajaan juga akan memberi perhatian kepada sektor sedia ada untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

MEMPERKASA EKONOMI HALAL
Malaysia harus memanfaatkan kekuatan dalam ekonomi halal dan kewangan Islam, terutama di tengah pertumbuhan eksport yang lebih perlahan strategi perdagangan dan pelaburan perlu diperbaharui. Sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, Malaysia perlu bekerjasama dengan pemain utama dalam industri kewangan Islam.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia boleh mencadangkan penubuhan Pusat Pembangunan Latihan dan Penyelidikan Halal ASEAN serta mengkaji Bursa Saham Syariah Asia untuk memimpin kewangan Islam global.

MEMUDAHCARA PASARAN BON BAGI PELABUR RUNCIT
Pelabur runcit sering tidak mempunyai akses langsung kepada bon kerajaan, yang lebih banyak diperuntukkan kepada pelabur institusi. Ini membatasi penyertaan mereka kepada dana unit amanah dan Dana Didagangkan di Bursa (ETF).

Membuka pasaran bon kepada pelabur runcit dapat meningkatkan penyertaan dan kecairan pasaran. Penyertaan runcit di Bursa Malaysia meningkat dari 20.8 peratus pada 2019 kepada 32.4 peratus pada 2020, dengan Sukuk Prihatin mengumpul RM666 juta sebagai bukti minat yang tinggi.

Kita perlu mencontohi Singapura dan Indonesia untuk memahami permintaan pelabur runcit dan memperbaiki infrastruktur perdagangan demi merancakkan industri kewangan.

PENINGKATAN KOS SARA HIDUP
Rakyat, khususnya keluarga B40, berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat gaji rendah dan kos makanan tinggi. Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 adalah langkah positif, tetapi penguatkuasaan kawalan harga barang perlu dipertingkatkan. Malaysia mengimport makanan pertanian bernilai RM71.6 bilion, terutamanya bijirin dan produk haiwan.

Untuk mengatasi isu ini, perlu ada pemanfaatan tanah dan iklim untuk mempelbagaikan tanaman serta mempromosikan makanan berasaskan tumbuhan, dengan melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam melindungi ekosistem pertanian domestik.

PENYESUAIAN LEDAKAN TEKNOLOGI
Pensyarah perlu dilatih dalam teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan. Saya mencadangkan peruntukan dana khas Akademia Sedia Masa Depan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memberi fokus kepada latihan dan penempatan pensyarah di industri.

Mengambil inspirasi dari program seperti Brain Korea 21 dan model pendidikan dual di Jerman, kita dapat memastikan pensyarah sentiasa relevan dan memberikan pengajaran berkualiti tinggi.

TAMBAH BAIK INFRASTRUKTUR LOGISTIK
Pelaburan dalam infrastruktur logistik perlu ditingkatkan, termasuk menaik taraf pelabuhan dan lapangan terbang untuk mengukuhkan Malaysia sebagai hab perdagangan global. Projek naik taraf Westports 2 di Port Klang dijangka menyumbang RM55 bilion kepada ekonomi, tetapi terdapat cabaran seperti kelewatan berlabuh dan penurunan jumlah kapal yang ingin berlabuh.

Penurunan prestasi pengendalian kargo udara sebanyak 12.4 peratus pada 2023 juga merencat Strategi Semikonduktor Negara yang bergantung pada sektor udara untuk hampir 85 peratus eksportnya.

MEMANGKIN INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan negara menunjukkan pertumbuhan ketara, dengan 11,808,937 ketibaan pelancong pada separuh pertama 2024, meningkat 28.9 peratus berbanding tahun lalu, walaupun masih 11.6 peratus di bawah prestasi prapandemik. Pada 2023, industri ini menyumbang RM275.8 bilion kepada KDNK negara. Peruntukan RM560 juta untuk memperkasakan kawalan sempadan penting untuk keselamatan dan aktiviti pelancongan.

Potensi besar di bandar utama Sabah dan langkah pengukuhan kawalan sempadan dapat meningkatkan keyakinan pelancong. Pelaburan dalam teknologi keselamatan akan menyelaraskan proses kemasukan, menjadikan pengalaman pelancong lebih lancar.
Pelancongan adalah kunci pemulihan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.

MELINDUNGI BIODIVERSITI
Biodiversiti adalah asas kelangsungan hidup, menyediakan sumber penting seperti makanan dan air, serta menyokong lebih separuh KDNK global. Ekosistem membantu menyerap pelepasan karbon dan mengurangkan kesan perubahan iklim. Oleh itu, belanjawan perlu menekankan inisiatif kelestarian alam dan pemeliharaan biodiversiti sebagai fokus utama, dengan pelaburan dalam projek pemuliharaan untuk melindungi alam dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan bagi generasi akan datang.

MENSEJAHTERA BANDAR
Pembangunan yang sihat bukan hanya mencipta ruang berfungsi tetapi juga meningkatkan kualiti hidup. Saya menyokong langkah kerajaan memperuntukkan RM600 juta untuk memulihara bangunan bersejarah dan menggunakan semula bangunan kosong. Kita perlu menghentikan pembangunan mega di Kuala Lumpur yang membawa kesan negatif seperti kesesakan dan pencemaran.

Kerajaan juga harus menggalakkan pertumbuhan di bandar kecil dan kawasan luar bandar, meningkatkan kesalinghubungan dengan bandar besar. Ini akan mengurangkan tekanan di pusat bandar dan mencipta peluang ekonomi, sekali gus mengatasi kesenjangan wilayah.

MEMPERHEBAT PAYA BESAR
Sebagai wakil rakyat Paya Besar, saya bertekad memastikan kawasan ini maju dengan memanfaatkan Taman Teknologi Pahang (PTP) dan Taman Halal Gambang (GHP) untuk pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menambah nilai kepada kedua-dua fasiliti ini. Namun, perancangan holistik penting untuk mengelakkan kerugian.

Oleh itu, kerajaan perlu memberikan insentif untuk menarik pelaburan dan menyediakan cetak biru menyeluruh bagi menghubungkan semua projek, demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang dan Pantai Timur.

MENCORAK PERANCANGAN JANGKA PANJANG
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan berakhir tahun hadapan, dan RMK13 perlu menjadi pelan lima tahun pertama bagi Kerajaan Perpaduan. Namun, kita kekurangan hala tuju jangka panjang untuk 30 tahun akan datang.

Dasar Ekonomi Madani tidak cukup untuk merancang ekonomi secara berkesan. Kita perlu bersatu untuk merangka matlamat jangka panjang demi kepentingan rakyat dan negara.

Kerajaan harus memperkenalkan dasar jangka panjang, mencontohi negara seperti China dan Indonesia. Penjajaran rancangan lima tahun dengan strategi jangka panjang akan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan memastikan peruntukan sumber yang lebih berkesan.-UTUSAN

DATUK Mohd. Shahar Abdullah ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan & Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN