Menang hatrik, UMNO kembali bangkit

Menang hatrik, UMNO kembali bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO sudah kembali bangkit? Hal ini hangat diperdebatkan dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) setelah menyaksikan kemenangan demi kemenangan yang menggegarkan pentas politik negara berjaya dilakar calon UMNO dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.

Sebulan yang lalu, BN mengejutkan banyak pihak apabila menang dengan penuh bergaya dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. Peristiwa ini penting kerana dengan kemenangan ini, BN bukan hanya berjaya merampas kembali Nenggiri tetapi juga mematahkan status quo kedudukan keputusan PRK sebelum ini. 

Minggu lalu pula, BN sekali lagi memperlihatkan kekuatan mereka dengan memenangi 79 peratus undi dalam PRK Mahkota. Malah, kejayaan memperoleh majoriti 20,648 undi sekali lagi mengejutkan banyak pihak khasnya parti lawan, meskipun kerusi ini dianggap sebagai kerusi tradisi UMNO. 

Hal ini menarik memandangkan kedua-dua PRK ini merupakan medan pertarungan sengit, satu lawan satu di antara calon UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili dua gergasi politik negara, iaitu gabungan Kerajaan Perpaduan dan PN di kubu masing-masing. 

Nenggiri berada dalam kawasan jalur hijau PN, manakala Mahkota pula letaknya di Johor, bumi kelahiran UMNO. Ini menjadikan kedua-dua PRK tersebut begitu signifikan kepada dua parti besar ini. Kalah atau menang sudah tentu akan melibatkan maruah parti. Justeru, ia tidak sekadar bertujuan bagi mempertahankan atau menambah bilangan kerusi sahaja.

Kekalahan di kawasan kubu kuat sendiri ialah satu kenyataan yang sangat pahit untuk diterima. Maka, setelah mereka kalah teruk dalam PRK Nenggiri, sudah tentu PN berazam untuk menebus maruah pada PRK Mahkota dengan memberikan persaingan yang sengit. Kalau tidak mampu menang sekali pun, sekurang-kurangnya cukuplah jika mereka dapat mengurangkan majoriti kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Bagi BN pula, kemenangan berganda yang besar ini memberi isyarat bahawa mereka telah membuat keputusan yang betul dan berjaya mengangkat maruah parti setelah gagal dalam percaturan politik sebelumnya. Perkara ini penting untuk meyakinkan pengundi dan dalam usaha mengatur strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Menarik sekali, PRK Mahkota ini menyaksikan sokongan kuat pengundi Melayu terhadap calon BN. Kenyataan ini menunjukkan penerimaan yang lebih terbuka daripada pengundi Melayu yang merentas parti terhadap kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di DUN ini. 

Namun pada masa yang sama, peratusan keluar mengundi yang rendah dari kalangan pengundi Cina di kawasan tersebut menunjukkan mereka masih sangsi kepada gabungan Kerajaan Perpaduan. Ia mengulangi senario yang berlaku dalam PRK Sungai Bakap apabila pengundi Melayu yang menyokong BN dan pengundi bukan Melayu yang menyokong PH dikatakan masih sukar menerima kerjasama ini.

Perkara paling penting yang dapat dilihat dalam PRK Nenggiri dan Mahkota ialah bagaimana parti-parti yang bertanding merangka strategi serta mengatur gerak kerja kempen mereka serta kualiti yang dicari dalam memilih calon untuk bertanding. Masing-masing mempunyai cara yang amat berbeza dalam hal ini.

Sikap keterbukaan BN untuk keluar daripada cara tradisi mereka nampaknya membuahkan hasil. Banyak tindakan drastik  diambil oleh pucuk pimpinan untuk memulihkan kekuatan parti. 

Ketika menghadapi PRK, pemimpin parti cuba mengenal pasti resipi terbaik, termasuk mencari pendekatan berkempen yang strategik. 

Jelas, strategi luar kotak veteran BN, Tengku Razaleigh Hamzah mengatur kempen berdasarkan kesesuaian pengundi di lapangan  berjaya memberi kejayaan yang cemerlang. 

Semasa berkempen di Nenggiri, jentera parti menggembleng tenaga mendekati rakyat dari rumah ke rumah. Dan berbeza daripada sebelumnya, BN tidak membuat ceramah secara besar-besaran. Hasilnya, BN berjaya merampas DUN berkenaan. 

Lain padang, lain belalang. Oleh itu, bagi PRK Mahkota, BN  mengolah strategi kempen yang amat berbeza berbanding di Nenggiri. Hasil strategi kempen yang kemas dan bersepadu yang melibatkan seluruh anggota PH terutamanya DAP yang memegang kerusi Parlimen Kluang, sekali lagi membawa kejayaan besar kepada BN yang mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan.

Namun, seperti yang kita lihat, masih terdapat rintangan dalam gabungan BN-PH, sebagai contohnya konflik yang tercetus akibat kenyataan Ahli Parlimen Seputeh berkaitan isu sijil halal. Kontroversi ini turut mendapat teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.

PN sering mendakwa bahawa kini pengundi Melayu tidak lagi menyokong BN. Adakah benar dakwaan tersebut? Apa yang jelas ialah kenyataan tersebut tidak terpakai kepada majoriti pengundi Melayu di Nenggiri dan Mahkota. Nampaknya dalam kedua-dua PRK ini, undi orang muda turut memihak kepada BN.

KEMENANGAN hetrik Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PKR) bukti UMNO kembali bangkit dalam arena politik.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO

 

KEMBALI BERTARING?

Adakah kemenangan ini menunjukkan UMNO telah kembali bertaring? Bagi saya, UMNO akan kekal bertaring selagi mana mereka sanggup bekerja kuat, tidak  leka dan tidak lagi mengamalkan sikap ambil mudah serta berebut kuasa sesama sendiri. Begitu juga, BN memerlukan kerja kuat daripada seluruh parti komponen untuk kekal bertaring. Tiada gunanya jika kita setakat menjadi ibarat tin kosong.

Setiap PRK merupakan medan ujian kepada setiap parti yang bertanding. Bagi setiap gabungan parti, mereka mesti ikhlas bekerjasama dan tidak menikam sesama sendiri untuk mendapatkan kerusi. 

Semua parti sudah pernah berada dalam kerajaan pusat. Maka, rakyat sudah dapat menilai komitmen dan prestasi mereka dalam pemerintahan negara.

Bagi saya, kejayaan besar BN dalam PRK Mahkota menzahirkan kembalinya sokongan penyokong UMNO. Ia merupakan manifestasi kerja kuat seluruh jentera UMNO Johor dengan koordinasi yang baik bersama anggota BN dan PH secara keseluruhannya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN