Jasa Mohd. Kamal pejuang pembangunan mampan terus mekar sehingga kini

Jasa Mohd. Kamal pejuang pembangunan mampan terus mekar sehingga kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 26 Oktober begitu besar ertinya kepada warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ini kerana, 82 tahun yang lalu pada tarikh ini, lahirlah Profesor Ulung Tan Sri Mohd. Kamal Hassan, seorang tokoh ilmuwan negara yang bukan hanya terkenal dan dihormati di Malaysia tetapi turut diiktiraf di pentas antarabangsa.

Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama. Walaupun allahyarham telah kembali ke rahmatullah lebih setahun yang lalu, legasi dan sumbangan keringat serta pemikiran beliau kekal terpahat dalam dunia akademik negara, terutamanya dalam alam pemikiran Islam.

Allahyarham ialah salah seorang tokoh penting yang memberi sumbangan terbesar kepada penubuhan serta dalam merangka falsafah UIAM. Seorang tokoh yang berpandangan jauh. Mohd. Kamal mentafsirkan falsafah pendidikan Islam secara menyeluruh serta mengangkat penyepaduan ilmu. Nilai inilah yang diterapkan dalam kerangka pendidikan di UIAM.

Mempraktikkan konsep integrasi ilmu tanzil dan aqli secara bersepadu, setiap disiplin ilmu yang diajar di semua kuliah disepadukan dengan perspektif Islam dan bukannya secara terpisah dengan mana ilmu tanzil hanya dikhususkan di pengajian khas pendidikan Islam sahaja. Hasilnya, UIAM telah berjaya membuktikan keberdayaan sebuah tamadun Islam di Malaysia.

Mungkin ramai tidak menyedari bahawa Mohd. Kamal merupakan antara insan terawal di Malaysia yang memperjuangkan konsep pembangunan mampan dan mengangkatnya sebagai salah satu matlamat utama institusi ini. Amat membanggakan apabila pembangunan mampan diletakkan sebagai salah satu daripada tujuh misi UIAM, lama sebelum orang ramai di rantau ini berbicara tentang kemampanan.

Saya merasa amat terkesan tatkala menonton rakaman ucapan Mohd. Kamal ketika UIAM memenangi pengiktirafan Institusi Kemampanan Tahun 2020 di bawah Anugerah Green Gown Antarabangsa, empat tahun yang lalu.

Beliau menyifatkan majlis sambutan kemenangan anugerah berprestij tersebut sebagai saat yang amat istimewa dan mengibaratkannya bagaikan hari raya. Katanya, kerana itu beliau memakai baju raya pada hari tersebut, merujuk kepada set lengkap baju Melayu yang dipakai pada majlis itu.

“Setelah 37 tahun, kita kini di puncak dunia, kita sudah melangkaui dunia,” itulah di antara ucapan allahyarham pada majlis tersebut yang benar-benar menyentuh hati saya. Bukan mudah untuk memenangi sebuah anugerah berprestij di peringkat antarabangsa dengan kekangan sumber yang terhad.

Kata-kata itulah yang terngiang-ngiang di telinga tatkala mendapat berita bahawa projek saya berjaya memenangi salah satu daripada anugerah Green Gown Antarabangsa 2024.

Bersyukur kerana saya dapat menghadiahkan sebuah kemenangan kepada pusat ilmu yang mendidik kami untuk tidak gentar bersaing di pentas dunia.

Pada majlis tersebut, allahyarham turut menegaskan pengiktirafan antarabangsa ini ialah sesuatu yang amat penting bagi mematahkan pandangan stereotaip tentang Islam yang dianggap harus tertumpu kepada soal ibadah keagamaan seperti sembahyang dan puasa sahaja. Hakikatnya, nilai Islam luas dan menyeluruh, iaitu Islam membawa nilai sejagat untuk kesejahteraan seluruh alam.

Mohd. Kamal sering menekankan selain membangun intelek dan akademia, sebagai manusia kita mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.

Dalam satu ucapan beliau, juga pada 2020, allahyarham menegaskan sebagai orang Islam dan sebuah institusi Islam, UIAM perlu lebih terlibat dalam usaha pembangunan masyarakat sekeliling, bukan sahaja di kawasan kita, bukan juga di Malaysia sahaja, tetapi juga di seluruh dunia.

Atas kesedaran inilah, UIAM merangka sebuah kursus wajib selama dua semester berturut-turut yang dinamakan Usrah Bertindak. Kursus ini menghendaki setiap pelajar menjalani pembelajaran praktikal secara berkumpulan bagi merangka dan menjalankan projek pembangunan masyarakat mengikut pilihan mereka.

 

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu karya Mohd. Kamal Hassan (kanan) di Shah Alam, Selangor, pada 2022.

 

SUMBANGAN BERHARGA
Hal ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada pelajar tentang tanggungjawab mereka kepada masyarakat, tetapi lebih penting lagi turut memberikan kami kemahiran insani dalam dunia sebenar di luar dewan kuliah. Ini merupakan satu pengalaman yang begitu bernilai dan bermanfaat, termasuk ketika bersaing memasuki pasaran kerja.

Ilmu yang kita peroleh, terutamanya ilmu tanzil, haruslah dimanfaatkan melalui tindakan yang memberi faedah kepada masyarakat sekeliling. Hanya dengan jalan ini, kemakmuran dan kemajuan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat dan bukan hanya berkisar dalam kalangan akademia sahaja.

Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat kepada sekalian alam) harus dipraktikkan dan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada orang ramai. Inilah usaha yang sedang dibawa oleh UIAM di bawah konsep komuniversiti, satu inisiatif yang sekali lagi telah mendapat pengiktirafan oleh Anugerah Green Gown Antarabangsa baru-baru ini.

Malah, inisiatif komuniversiti telah mengangkat UIAM sebagai pemenang anugerah Institusi Kemampanan sekali lagi bagi 2024 pula. Lebih istimewa lagi, pada masa sama UIAM turut dinobatkan sebagai pemenang bagi tiga kategori lain anugerah antarabangsa ini. Seandainya allahyarham masih bersama kita, sudah pasti beliau akan gembira dan berbangga menyambut kejayaan besar yang tidak kami duga ini.

Sebuah tamadun hebat tidak akan terbina hanya daripada buah fikiran sekumpulan pemikir unggul tanpa kejayaan dan memakmurkan masyarakatnya. Terutamanya dalam membina tamadun Islam, kita berkewajipan untuk memastikan agar pada saat diri tidur lena dalam keselesaan, jiran tidak gusar tidur dalam kelaparan.

Saya bersyukur kerana berada di pusat pengajian yang menterjemahkan ilmu secara holistik serta menitikberatkan pemahaman dan penerapan nilai insani bersama-sama nilai Islami selaras dengan usaha pembinaan nilai peradaban bangsa yang tinggi. Tamadun harus dibentuk secara menyeluruh dengan penerapan nilai-nilai mulia yang menjamin kesejahteraan sekalian umat dan semua kehidupan di bumi ni bertepatan dengan konsep rahmatan lil alamin.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh bersama-sama para pemimpin dan pemikir kita yang terdahulu.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN