PERTELINGKAHAN bahasa, iaitu perbezaan pandangan awam tentang penggunaan bahasa, selalu berlaku di negara ini. Ia berlaku kerana keadaan kepelbagaian bahasa yang memperlihat penggunaan pelbagai bahasa oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai bidang, antaranya media massa, pendidikan, perniagaan selain profesional.
Sebenarnya keadaan kepelbagaian bahasa dan penggunaan setiap satunya tidak sepatutnya menjadi masalah langsung, apatah lagi yang besar sehingga sering membawa kepada pertelingkahan bahasa yang kekadangnya sengit sekali. Ini kerana Malaysia mempunyai dasar bahasa yang terang lagi bersuluh tentang kesemua bahasa yang dituturkan di bumi Melayu-Islam ini.
Sehubungan ini, dasar bahasa mana-mana negara adalah peraturan yang ditetapkan tentang penggunaan bahasa dalam negara tersebut. Dalam hal ini, setiap bahasa diberikan taraf yang ditetapkan oleh pemerintah. Dengan ini, penyimpangan dari tarafnya, apatah lagi penolakan terhadap tarafnya adalah tindakan penentangan. Oleh itu, ia merupakan kesalahan dan tindakan boleh diambil.
Di Malaysia, bahasa Melayu telah sama-sama dipersetujui untuk diangkat sebagai bahasa negara pada Perjanjian Etnik 1955 yang kini lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial. Sehubungan taraf ini, bahasa Melayu sekali gus adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Pada dasar ini, bahasa Melayu juga dirujuk sebagai bahasa pertama di negara ini. Ini kerana ia adalah bahasa yang paling penting lagi utama sekali di bumi Melayu-Islam ini. Pertama-tamanya kepentingan dan keutamaannya di Malaysia adalah kerana tarafnya sebagai bahasa negara dalam dua peranan itu.
Selepas kedudukan agung bahasa Melayu ini adalah bahasa Inggeris. Ia diangkat dalam dasar bahasa kita sebagai bahasa kedua. Dengan ini, ia bermakna bahasa Inggeris adalah bahasa kedua penting dan utama di negara ini, selepas bahasa Melayu yang merupakan bahasa pertama.
Semua bahasa lain, termasuklah bahasa Arab, Mandarin dan Tamil, diiktiraf dalam dasar bahasa kita sebagai menduduki tempat selepas bahasa Inggeris.
Dengan kata lain, semua bahasa lain adalah bahasa ketiga penting dan utama di negara ini.
Inilah kedudukannya pada dasar bahasa di negara ini. Sehubungan ini, bahasa Mandarin pertama-tamanya adalah bahasa sukuan untuk etnik Cina. Begitu juga dengan bahasa Tamil yang merupakan bahasa sukuan bagi etnik India. Dalam pada ini, bahasa Arab antaranya adalah bahasa pengantar di sekolah agama Islam.
Malangnya, tidak ramai yang mengetahui kewujudan dasar bahasa ini. Ini dapat dilihat apabila berlakunya pertelingkahan bahasa pada penghujahan pihak yang menentang. Ia jelas memperlihat tahap kejahilan yang sangat tinggi tentang susun letak kepentingan dan keutamaan bahasa di negara ini.
Antaranya ialah hujah bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ibunda etnik Cina, justeru mereka tidak boleh sesekali dituntut agar cekap berbahasa Melayu, meskipun ia bahasa negara. Dengan ini, etnik Cina menagih hanya pengetahuan yang mencukupi daripada mereka sudah memadai. Bukan sesekali penguasaan yang tinggi seperti yang didesak etnik Melayu selaku penduduk asal selain kelompok majoriti lagi dominan di bumi Melayu-Islam ini.
Begitu juga dengan hujah bahawa bahasa Melayu tiada nilai ekonomi apabila dibandingkan dengan bahasa Mandarin, apatah lagi bahasa Inggeris. Dalam hal ini, bagi etnik Cina, bahasa Melayu tidak perlu diketahui dengan baik. Ini kerana kecekapan di dalamnya tidak boleh pun memberikan banyak manfaat, khususnya dalam bidang pekerjaan dari segi gaji lebih lumayan, seperti yang terbukti ada pada dua bahasa itu.
Begitu juga dengan hujah bahawa bahasa Mandarin adalah antara bahasa dunia yang besar. Oleh itu, ia jauh lebih hebat selain penting dan utama daripada bahasa Melayu yang penyebarannya juga amat terhad, iaitu paling jauh ke Indonesia sahaja. Walaupun hakikatnya memang begitu, bahasa Mandarin tidak boleh sesekali disanjungi sedemikian di negara ini. Ini kerana ia hanya bahasa ketiga pada dasar bahasa di Malaysia.
Pemikiran cauvinis begini sudah tentu tidak nasionalistik langsung, apatah lagi patriotik sifatnya. Ia antaranya melanggar resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ia kerana selaku bahasa negara, bahasa Melayu merupakan lambang nasional dan entiti jati bagi negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu ialah identiti nasional untuk negara selain identiti budaya bagi rakyat.
Sehubungan sikap buruk ini, ada keperluan mendesak agar ditinjau kembali proses perancangan bahasa di negara ini, khususnya soal taraf seperti yang dikanunkan pada dasar bahasa kita. Untuk ini, semua pihak haruslah bukan sahaja tekun, juga ikhlas dalam memastikan bahasa Melayu adalah bahasa pertama di negara ini pada setiap masa. Ini antaranya dapat dilakukan melalui pemupukan perasaan bangga, sayang dan setia dalam menjunjung tinggi bahasa Melayu sebagai bahasa negara, di samping pada masa sama mendukung erat yang lain-lain sesuai dengan taraf masing-masing.
Sesungguhnya, setiap satunya saling melengkapi antara satu sama lain mengiku taraf yang ditetapkan pada dasar bahasa kita. Ini kerana semuanya mempunyai prestij yang tersendiri sifatnya dalam sama-sama ikut membangunkan negara tercinta ini. Dengan ini, tiap-tiap bahasa di negara ini ada peranan istimewa sendiri berdasarkan taraf yang ditetapkan itu. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










