Etnik Cina, jadilah warganegara tuntas

Etnik Cina, jadilah warganegara tuntas

DASAR Kebudayaan Kebangsaan (DKK) perlu menjadi amalan kerana ketika ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum masih tidak mencapai titik kesepakatan dalam budaya sepunya walaupun negara sudah merdeka selama 67 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA mengibar bendera China dalam acara di Malaysia untuk kali kedua setelah yang pertamanya berlaku beberapa hari sebelum itu, bukan sahaja amat dikesali dari segi sensitiviti rakyat yang penduduk asalnya ialah etnik Melayu-Islam. Juga adalah provokasi terhadap kedaulatan negara Melayu-Islam ini.

Ini kerana dalam tempoh sebegitu singkat setelah dicemuh kuat apabila berlakunya peristiwa pertama, ia terus-terusan berlaku tanpa ada perasaan kesal jati yang diperlihat etnik Cina, melainkan permohonan maaf yang sudah merupakan perkara basi apabila setiap kali berlakunya perkara tidak nasional oleh mereka.

Walaupun didakwa dilakukan oleh warga negara China tetapi etnik Cina Malaysia selaku tuan rumah, sepatutnya lebih peka terhadap perkara sensitif begitu, sama ada kepada sentimen hubungan etnik Cina-Melayu yang tidak pernah baik, apatah lagi mesra semenjak kali pertama bertembung puluhan tahun dahulu.

Jauh lebih penting daripada ini ialah juga kepada kedaulatan negara yang tidak boleh sesekali digugat oleh apa-apa jua perkara, apatah lagi dengan perbuatan yang secara signifikannya mengibarkan bendera negara lain.

Sesungguhnya ada banyak yang tidak kena dengan proses pembentukan negara bangsa kita. Ini kerana setelah sekian lama tertubuhnya negara ini dan bermulanya sosialisasi Melayu-Islam ke atas rakyat bukan asal yang diterima menjadi warganegara, masih terdapat banyak peristiwa tidak nasional pada sepanjang masa yang dilakukan oleh mereka, khususnya etnik Cina.

Sehubungan ini, apabila ditanya mengapa banyak perkara tidak nasional terus-terusan berlaku, etnik Cina khususnya selalu menjawab bahawa mereka tidak banyak pengetahuan tentang hal yang berlaku itu, lebih-lebih lagi tentang kemudaratannya kepada negara dari pelbagai segi.
Persoalannya di sini dengan jawapan sedemikian ialah mereka ini tidak dapat dinafikan masih berupa pendatang seperti keadaannya sebelum diterima menjadi warganegara. Ini terserlah sekali walaupun sudah terlahirnya beberapa generasi kemudian yang secara fizikalnya bukan pendatang lagi, tetapi mentaliti pendatang itu tetap berlanjutan.

Dengan ini, secara umumnya mereka didapati masih tidak mengetahui banyak perkara asas tentang Malaysia selain tiada perasaan keterikatan yang tulen kepada negara ini. Ini dapat dilihat dengan jitu sekali pada tindak balas etnik Cina, khususnya di media sosial apabila ditegur tentang pelbagai perkara tidak nasional yang dilakukan mereka.

Jawapan etnik Cina sebagai penganjur bagi dua peristiwa mengibar bendera China ini dilakukan semata-mata oleh warganegara China, langsung tidak dapat diterima. Ini kerana sebagai tuan rumah, etnik Cina Malaysia mempunyai hak penuh untuk melarang perbuatan tidak nasional kepada negara ini daripada terus berlaku.

Ini patut dilakukan dengan segera untuk memberhentikannya sejurus sahaja bermula perbuatan sesubversif itu.

Ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan sepanjang peristiwa pada kali pertama yang agak tertutup sifatnya di sebuah sekolah menengah Cina, apatah lagi untuk kali kedua di tempat awam yang boleh dihadiri semua etnisiti. Sehubungan ini, di manakah sensitiviti etnik Cina Malaysia terhadap keharmonian sosial dan kesejahteraan awam dengan membenarkan perbuatan tidak nasional itu diteruskan.

Seperkara lain yang penting dalam peristiwa bendera China dikibarkan ialah etnik Cina Malaysia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya. Dalam hal ini, mereka tidak boleh sesekali cuba mengalihkan tanggungjawab ini kepada pihak lain, iaitu warganegara China yang memang merupakan pelawat sahaja ke negara ini, yakni dalam pengertian menziarah Malaysia hanya sebagai pelancong yang langsung tidak mengetahui keberadaan negara ini.

Ini berbeza sekali dengan etnik Cina Malaysia yang merupakan warganegara sejak sekian lama, sepatutnya sudah banyak mengetahui cara hidup etnik Melayu-Islam yang merupakan pemilik negara ini. Malangnya ini sama sekali tidak berlaku seperti yang sewajarnya, seperti yang ikut dititahkan Ketua Negara bahawa setelah sekian lama tertubuhnya negara, masih terdapat generasi hari ini yang tidak mengetahui budaya etnik lain.

MASALAH ‘IDENTITI’ YANG MASIH TIDAK SELESAI
Harus diakui walaupun setelah hampir 70 tahun tertubuhnya negara ini, kita masih mempunyai masalah identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat. Ini kerana kita masih tiada kesepakatan tentang budaya sepunya yang harus kita sama-sama dukung sebagai nasionaliti Malaysia.

Sebenarnya ia sudah ada pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang digubal pada 1971. DKK hendaklah terus diguna pakai. Ini kerana ia mengandungi budaya nasional sepunya Melayu-Islam serta ideologi sivik yang berteraskannya, di samping satu set pemahaman kebangsaan dan aspirasi nasional yang mengikat semua etnisiti selaku warganegara baik di bumi Melayu-Islam ini.

Dengan selalu wujudnya peristiwa tidak nasional yang berlaku pada hampir setiap penganjuran oleh etnik Cina, mahu tidak mahu mereka selalu dianggap sebagai tiada perasaan keterikatan yang tulen, apatah lagi yang kuat kepada negara yang mereka ikut akui sebagai tanah air.
Untuk menjadi nasionalistik dan patriotik, etnik Cina bukan sahaja mengakuinya melalui percakapan ikhlas, juga harus menunjukkannya menerusi perbuatan sejati. Dengan ini, etnik Cina hendaklah mula bertindak dalam cara yang jauh lebih positif selain sangat mangkus lagi sebagai warganegara yang tuntas.

Ini penting sekali agar mereka tidak dipandang serong lagi sebagai tidak bangga, sayang dan setia kepada negara yang mereka ikut huni ini.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN