PENILAIAN keadaan turapan adalah penting untuk menilai keadaan semasa jalan raya dan mengenal pasti sebarang kecacatan atau kerosakan yang mungkin memerlukan tindakan penyelenggaraan.
Penilaian biasanya dijalankan melibatkan peralatan serta teknik yang ditetapkan, seperti tinjauan visual serta pemeriksaan berasaskan gelombang dan laser.
Penilaian ini harus dilakukan secara berkala untuk memberikan penilaian menyeluruh tentang kualiti pemanduan, rintangan gelincir, integriti struktur turapan dan faktor lain yang memberi kesan kepada prestasi turapan mahupun keselamatan pengguna.
Penilaian ini kritikal untuk mengurus infrastruktur pengangkutan dengan cekap. Ia membolehkan organisasi pengangkutan mengutamakan usaha penyenggaraan serta pemulihan bergantung kepada keadaan turapan dan bukannya hanya mengambil strategi reaktif menampal jalan berlubang atau menutup retakan.
Dengan mengesan kemungkinan masalah lebih awal serta mengambil tindakan proaktif, seperti penyelenggaraan pencegahan atau pembetulan, pemilihan kaedah tepat boleh menjimatkan sejumlah besar perbelanjaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi pengangkutan dalam jangka masa panjang.
Peranti pengimbas laser jalan adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk merekod pelbagai data berkaitan kerosakan yang terbentuk pada permukaan turapan. Pengimbas dipasang pada kenderaan dan digunakan untuk merekod data secara berterusan, seperti keretakan, ubah bentuk kekal, perlucutan mahupun kecacatan lain.
Salah satu kelebihan utama menggunakan pengimbas laser jalan adalah keberkesanannya. Ia mengumpul data dengan pantas pada laluan turapan yang luas, menjadikannya mampu untuk menilai dengan segera keadaan keseluruhan rangkaian jalan raya. Tambahan pula, ketepatannya menghapuskan keperluan pemeriksaan secara manual, yang memakan masa dan berpotensi tidak tepat.
Pengimbas laser boleh membantu pihak berkuasa pengangkutan dalam membuat keputusan yang efektif bagi memanjangkan hayat turapan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Tahap kerosakan, serta kesannya terhadap struktur, fungsian turapan dan sebarang bahaya yang bermungkinan berlaku kepada pengguna jalan raya perlu diambil kira semasa menentukan tahap kerosakan. Penting untuk menilai dengan teliti tahap kecacatan turapan dalam memutuskan strategi penyelenggaraan atau pemulihan yang terbaik.
Dari sudut teknikal, indeks keadaan turapan ialah nilaian yang digunakan untuk mengukur keadaan permukaan turapan. Ia digunakan untuk menilai keadaan jalan raya, landasan kapal terbang, pelabuhan atau tempat letak kereta. Skor indeks ditentukan dengan menjumlahkan penilaian untuk setiap kategori kecacatan turapan. Skala indeks menjangkau dari 0 hingga 100, dengan 0 mewakili turapan yang gagal dan 100 mewakili turapan yang baharu.
Skor 70 atau lebih menunjukkan bahawa turapan berada dalam keadaan baik, manakala skor 50 atau lebih rendah menunjukkan bahawa turapan berada dalam keadaan buruk dan berkemungkinan memerlukan pembaikan atau pemulihan berskala besar.
Pemeriksaan jalan yang sistematik memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kemampanan infrastruktur pengangkutan di negara ini. Dengan kerap menilai keadaan jalan raya, mengenal pasti potensi bahaya dan menangani isu penyelenggaraan dengan segera, penilaian berterusan ini membantu mencegah kemalangan, memanjangkan jangka hayat infrastruktur serta mengurangkan kos pemulihan.
Pendekatan proaktif ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi dengan memudahkan pengangkutan yang lebih lancar dan berkesan.
Kesedaran dan usaha berterusan meletakkan asas untuk rangkaian jalan raya yang lebih selamat, cekap dan mampan akan memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.
MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI (SDG)
Peranan jalan yang diselenggara dengan baik dalam mensinergikan SDG infrastruktur jalan raya memainkan peranan penting dalam membentuk landskap sosioekonomi negara.
Jalan yang diselenggara dengan baik bukan sahaja penting untuk pengangkutan yang cekap tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pencapaian SDG yang dirangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Secara langsung atau tidak, usaha ini dapat membantu dalam mencapai SDG 3, dengan kesihatan dan kesejahteraan baik berkait rapat dengan infrastruktur jalan raya.
Di kawasan yang mempunyai jalan yang diselenggara dengan baik, perkhidmatan kecemasan boleh bertindak balas dengan lebih pantas dan individu mempunyai akses yang lebih baik kepada kemudahan penjagaan kesihatan. Sebaliknya, keadaan jalan raya yang buruk boleh melambatkan perkhidmatan perubatan kritikal, yang berpotensi mengorbankan nyawa.
Jalan raya yang selamat juga mengurangkan risiko kemalangan, menyumbang kepada kadar kecederaan serta kematian yang lebih rendah, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mana kemalangan jalan raya merupakan punca utama kematian.
Selain itu, SDG 8 mendapat banyak manfaat daripada rangkaian jalan raya yang baik. Infrastruktur yang berdaya saing menyokong industri, pelancongan dan perdagangan dengan mengurangkan kos pengangkutan serta menambah baik rantaian bekalan.
Jalan yang diselenggara dengan baik menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pembinaan, penyelenggaraan serta pelbagai perkhidmatan pengangkutan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.
Dari segi kemampanan, SDG 11 menyerlahkan kepentingan infrastruktur yang berdaya tahan, melalui bandar dan komuniti lestari. Reka bentuk jalan yang mampan mengurangkan kesan alam sekitar dengan menggabungkan bahan yang lebih hijau, menambah baik pengurusan air ribut dan memastikan ketahanan turapan yang lebih baik.
Ini seterusnya, menyokong persekitaran bandar yang lebih selamat dan mudah diakses, mengurangkan kesesakan lalu lintas selain meningkatkan kualiti udara.
Akhir sekali, SDG 13 menekankan keperluan untuk infrastruktur berdaya tahan iklim. Menyelenggara jalan raya mengurangkan keperluan untuk pembaikan yang kerap, intensif sumber dan memastikan jalan raya dapat menahan keadaan cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Amalan penyelenggaraan pintar, seperti menggunakan bahan kitar semula dan teknologi cekap tenaga, membantu meminimumkan kesan alam sekitar.
Kesimpulannya, jalan raya yang diselenggara dengan baik penting untuk mencapai beberapa SDG. Ia bukan sahaja meningkatkan akses dan ketersambungan tetapi juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, keselamatan, kemampanan dan daya tahan iklim.
Oleh itu, pelaburan dalam infrastruktur jalan adalah pelaburan untuk masa depan yang mampan untuk semua.-UTUSAN
PROFESOR Madya. Dr. Mohd. Rosli Mohd. Hasan ialah Ketua Kumpulan Penyelidikan Asfalt Lestari (SARG), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (Kampus Kejuruteraan).










