Belanjawan 2025: Perlu fokus pada gaji dan kehidupan selesa rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025: Perlu fokus pada gaji dan kehidupan selesa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

RAKYAT kini ternanti-nanti apakah agenda yang bakal dibentangkan dalam Belanjawan 2025 nanti.
Antara yang disebut-sebut dan bakal diberi tumpuan semestinya hal-hal berkaitan pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup selain gaji serta subsidi.
Persoalannya, sejauh mana Belanjawan 2025 nanti dapat membantu memperkasa rakyat dan negara dalam keseluruhan aspek?
Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), PROF. TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Belanjawan 2025 dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam konteks kos sara hidup yang semakin meningkat?

DR. NOOR AZLAN: Secara asasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu menyebut berkenaan Belanjawan Madani.
Pada saya untuk tahun 2025, Malaysia sudah mencatat beberapa tanda kejayaan yang dilihat baik. Seperti kita tahu, pertumbuhan ekonomi yang paling baharu adalah 5.9 peratus dan kadar pengangguran pula turun dalam 3.3 peratus manakala kadar inflasi tidak sampai dua peratus.

Begitu juga dengan pelaburan yang sering dilaporkan meningkat berbanding sebelum ini. Dan terkini nilai matawang ringgit juga yang semakin baik.
Jadi, tahun depan kita boleh mempercepatkan matlamat pembangunan ekonomi negara dalam konteks sebagai contoh penstrukturan ekonomi untuk meningkatkan inovasi dan sebagainya kerana kita bukan lagi memasuki tahun mencabar.

Ia disebabkan dipengaruhi beberapa faktor. Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS). Sejak kebelakangan ini, mereka seringkali menaikkan kadar faedah kerana meletakkan masalah inflasi sebagai musuh nombor satu mereka.

Apabila ini (menaikkan kadar faedah) berlaku, ia merencatkan ekonomi kita secara tidak langsung. Nilai mata wang kita jatuh dan kita perlu mengimbanginya untuk memastikan ia tidak jatuh teruk. Kita juga dalam masa sama terpaksa menaikkan kadar dasar semalaman (OPR). Tetapi suasana itu sudah tiada sekarang.

Bagaimanapun, satu perkara yang kerajaan perlu ambil perhatian adalah walaupun pembentangan Belanjawan 2025 itu merupakan belanjawan tahunan, ia mesti seiring dengan matlamat jangka panjang.

Di Malaysia ini kita ada rancangan lima tahun dan setiap tahun pula ada pembentangan belanjawan. Tetapi kadang-kadang saya lihat ia tidak selari dengan sasaran jangka panjang.
Contoh, dalam aspek pembangunan jangka panjang. Anwar dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selalu sebut kita berhadapan dengan masalah cabaran struktural.
Jadi, berapa banyak bahagian belanjawan yang menangani masalah struktural? Masalahnya kita selalu memberi tumpuan kepada masalah untuk tahun itu sahaja. Kita lupa isu struktural jangka panjang.

Sebab itu, baru-baru ini dalam satu forum saya ada katakan walaupun kadar pertumbuhan kita meningkat dengan baik, tetapi pertumbuhan bergantung kepada empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, 60 peratus ekonomi kita bergantung di situ.

KEMISKINAN TIDAK BOLEH DINOKTAHKAN
Mengapa perlu fokus kepada isu-isu struktural?

Contoh, kalau kita laporkan pendapatan Malaysia kita semakin baik hampir sama dengan negara-negara maju. Tetapi kalau kita tengok dalam konteks negeri-negeri, banyak yang terbelakang. Walaupun seseorang itu berada dalam golongan pertengahan tetapi hidup tidak selesa.

Baru-baru ini, ada satu forum yang menceritakan tentang menoktahkan kemiskinan. Pada saya kemiskinan tidak boleh dinoktahkan. Ia sama seperti kadar pengangguran.
Apabila sudah turun (kadar pengangguran) tiga peratus, itu sudah dianggap baik. Jangan cuba turunkan lagi sebab kemungkinan memang tidak boleh. Saya percaya Anwar juga beranggapan sedemikian. Maksudnya, bukan menoktahkan semua (kadar kemiskinan dan pengangguran).

Adakalanya sebab berlaku kemiskinan kerana ‘terperangkap’. Saya bagi contoh Orang Asli atau Dayak. Kita tahu dia miskin dan kita mahu berikan dia peti sejuk. Tetapi pada dia mempunyai peti sejuk itu umpama satu dosa besar sebab dia hanya makan ikan segar.

Keperluan pada dia berbeza berbanding kita. Kalau kita menggunakan nilai ringgit dan pendapatan sebagai tafsiran kemiskinan, selamanya tidak akan mencapai matlamat (menghapus kadar kemiskinan). Justeru, apa yang saya mahu tekankan dan fokuskan di sini adalah keselesaan kehidupan.

ISU BUKAN MISKIN, MAHU SELESA
Berapa peratus rakyat kita hidup dengan pendapatan dan kehidupan selesa?

Di Malaysia jumlah penduduk miskin ialah 6.2 peratus. Tetapi yang tidak selesa dalam 50 peratus atau lebih sedikit.
Jadi, ini bererti orang itu tidak miskin tapi hidupnya tertekan. Tibanya saja saat di hujung bulan (gaji habis), mereka rasa susah hati. Malah, apabila cuti raya juga akan rasa tertekan disebabkan kewangan.

Untuk negara seperti Malaysia yang menghampiri negara maju ini, isunya bukanlah kemiskinan tetapi mencapai taraf keselesaan hidup. Janganlah kita ingat selepas seseorang itu keluar daripada garis kemiskinan hidupnya menjadi selesa.

Katakan, saya bergaji RM3,000 adakah saya miskin? Saya tidak miskin tetapi persoalannya sama ada saya rasa selesa atau tidak dengan gaji sebanyak itu dan tinggal di bandar? Sudah pasti tidak.
Kesejahteraan kehidupan itu datang dengan keadaan selesa seperti mahu beriadah, balik kampung dan memenuhi keperluan-keperluan lain.Jadi, ia perlu dibuka lebih luas.

Kita sudah hampir mencapai negara berpendapatan tinggi tetapi rakyatnya tidak. Pada fikiran saya, keluhan rakyat di luar sana bukanlah miskin tetapi lebih kepada tertekan serta berasa tidak selesa.

Bagaimanapun jangan salah anggap. Tidak salah untuk kita menangani kemiskinan. Cumanya, masalah lebih besar adalah keselesaan dalam menjalani kehidupan. Dan isu keselesaan kehidupan bergantung kepada isu pendapatan.

Kalau awak ingat kita pernah melaporkan kadar pengangguran telah jatuh beberapa tahun selepas Covid-19. Tafsiran ahli ekonomi adalah negara kita telah menggunakan tenaga penuh.
Maksudnya, kalau sudah mencapai tiga peratus kita sudah guna tenaga penuh. Tetapi perlu diingat matlamat bekerja adalah untuk pendapatan. Sekarang ini adakah pendapatan meningkat?

Kalau pendapatan tidak meningkat maka akibatnya kehidupan selesa tidak tercapai. Masalahnya kerajaan atau rakyat kadang-kadang kita salah faham. Kita mahu semuanya harga murah walhal orang luar melihat kadar kehidupan kita masih murah.

Malah kedudukan negara kita berada di tangga 97 termurah daripada segi kos sara hidup. Tetapi mengapa kita kata mahal? Sebabnya, pendapatan kita rendah. Adakalanya seperti magnet yang menarik pendapatan kita. Sebab itu, kuasa beli rakyat tidak meningkat.

Dan kuasa beli tadi berkait rapat dengan kemampuan untuk hidup selesa. Bagi saya matlamat kerajaan seharusnya menumpukan kepada kehidupan selesa rakyat.

KETAGIH BENDA MURAH, KUALITI HANCUR
Adakah wajar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan gaji progresif (Difahamkan banyak syarikat yang tidak mengambil inisiatif gaji progresif)?

Kita perlu mengenal pasti mengapa gaji kita ‘ditarik’ di bawah. Kenapa tidak berlaku seperti di negara lain? Paling tidak kenaikan itu perlu naik seiring dengan kadar inflasi. Jawapan saya mudah, iaitu soal kemasukan pekerja asing. Sebabnya, Malaysia yang mengambil keputusan begitu.

Apabila kita berhadapan dengan isu kekurangan pekerja dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) kita bawa masuk rakyat asing. Tetapi di negara maju jawapan mereka adalah penggunaan teknologi.

Selain itu, perlu diingat pekerja asing yang masuk ke Malaysia ini menjalani hidup dengan cara mereka. Adakah mereka perlu balik balik kampung, pergi kenduri atau memiliki barangan keperluan lain? Jawapan tidak. Dan itu sudah semestinya berbeza dengan cara kita.

Saya bersetuju dengan Rafizi yang mengatakan isu pendapatan ini isu kita. Tetapi bagaimana kita hendak tangani caranya saya kurang bersetuju menerusi pelaksanaan gaji progresif?

Sebab apa? Gaji progresif ini secara ringkas ia diikat dengan produktiviti. Sebagai contoh, awak majikan dan awak masuk dalam program ini. Awak kena bagi gaji tinggi dan awak juga kena pastikan pekerja awak mengikuti program agar produktiviti meningkat.

Kos yang selebihnya kerajaan bantu. Pertama, mustahil kerajaan boleh pastikan semua rakyat menerima manfaat itu. Pelaksanaan gaji progresif kita sudah tahu ia ibarat siapa cepat dia dapat (first come first serve).

Selain itu, persoalannya sampai bila kerajaan mahu memberi subsidi? Kerajaan mahu ke arah pengurangan subsidi tetapi majikan perlu diberi subsidi. Adakah kita betul-betul menangani masalah gaji ini?

Ketiga, saya ada satu laporan yang mengatakan dengan jelas, di Malaysia kalau awak ada produktiviti tinggi awak tidak diberi ganjaran tinggi. Sekarang belajar tinggi-tinggi ada kemahiran tetapi kalau ekonomi tidak memberi ganjaran sewajarnya, ia masih perkara mengarut (gaji).

Contohnya begini, sekarang ramai memperkatakan Pendidikan Vokasional dan Latihan Teknikal (TVET). Itu bagus. Tetapi saya orang Malaysia ada kemahiran sama dengan orang Bangladesh. Dia kata dia boleh buat dengan hanya bayar upah lebih murah berbanding saya.

Kebimbangan saya walaupun TVET bagus, tapi isunya adalah tentang kesediaan ekonomi negara untuk memberi ganjaran terbaik kepada graduan TVET. Semasa saya duduk di AS, tukang paip tidak boleh diupah sembarangan. Itu undang-undang di negara maju.

Dalam erti kata lain, TVET di negara maju gajinya tinggi. Begitu juga dalam sektor 3D di Jepun. Pekerjaan mengutip sampah bukan dalam sektor 3D. Apatah lagi kalau itu kerja susah dan ramai yang tidak buat. Maka gajinya lagi tinggi.

Mengapa tidak situasi seperti ini berlaku di Malaysia? Bagi saya, pertama di Malaysia ini, kita ketagih kepada benda murah dan kualiti hancur.

Adakah perlu kerajaan bergerak ke arah mengurangkan pekerja asing?
Itu kerajaan sudah sebut dulu lagi (kurangkan pekerja asing) iaitu ketika Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tetapi apa berlaku sekarang?
Kita perlu ingat matlamat pertumbuhan dan pembangunan negara semestinya sampai kepada rakyat untuk hidup dengan selesa.

Kalau mahu kata sesebuah negara itu bagus atau tidak, tanya rakyat sama ada mereka hidup selesa atau sebaliknya. Kalau rakyat kata selesa itu bagus. Tidak salah kalau kita mahu memberi fokus kepada bidang berinovasi dan teknologi tinggi. Tetapi bukan semua bidang berinovasi. Kita perlu juga petani dan pekebun untuk hidup selesa.
Matlamat bekerja mendapat pendapatan dan kehidupan selesa. Ini perkara yang patut dibawa.

Apakah inisiatif khusus yang sepatutnya ada untuk menyokong usahawan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Bajet 2025?
Di Malaysia ini, kalau kita kira syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), 90 peratus adalah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Bilangan ini menyumbang 40 peratus kepada ekonomi negara dan pekerjaan. Jadi, selagi PMKS kita tidak berjaya diangkat, majoriti rakyat Malaysia akan tertinggal.
Apabila bercakap soal pelaburan kita menyentuh syarikat gergasi besar macam Tesla dan Infineon. Tapi, tumpuan kita pada usahawan tempatan masih kurang dan tidak meletakkan ia sebagai perkara utama.

Kita kena banyak bercakap soal pelaburan, kemajuan teknologi dan inovasi syarikat Malaysia.

Kalau tanya orang masih ramai tidak tahu tentang syarikat Malaysia. Jadi, PMKS perlu diberi tumpuan lebih dan ia ada banyak kategori. Paling bawah adalah perusahaan mikro. Tetapi yang kita mahu tumpu adalah sektor PMKS di lapisan atas. Sebagai contoh adalah mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa.

Sebenarnya, hari ini untuk pengetahuan awak lebih kurang 12 peratus eksport negara disumbang PMKS. Jadi, kebanyakan PMKS kita biar dalam negara dan tidak bergerak keluar negara. Justeru, perlu ada tumpuan kepada keusahawanan.

Satu lagi kita di Malaysia banyak sektor tidak formal iaitu perniagaan yang tidak berdaftar. Akibat daripada itu kerajaaan tidak tahu siapa mereka sehingga menyebabkan sukar untuk mengenal pasti membantu sebagai contoh semasa Covid-19.

Di samping itu, kita susah untuk membuat kutipan cukai. Ada satu-satu masa saya terfikir adalah lebih baik nombor cukai keluar seiring dengan sijil kelahiran. Ini bukan soal mesti bayar cukai. Tapi setiap rakyat perlu faham kalau awak dapat pendapatan melepasi satu tahap awak mesti bayar cukai.

Isu di Malaysia kutipan cukai di Malaysia adalah dalam sekitar 11 ke 12 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Itu kategori negara miskin. Kita negara yang hampir menjadi negara pendapatan tinggi tetapi rakyat yang bayar cukai sikit sangat.

Ini dilema sebab dipolitikkan sehingga rakyat merasakan kalau kerajaan ambil cukai maknanya mereka rompak. Sedangkan rakyat mahu perkhidmatan bagus daripada kerajaan.
Saya lebih suka kerajaan memperkenalkan cukai yang adil dan orang miskin tidak dicukai.

PENDAPATAN SELESA
Skim gaji yang bagaimana sesuai untuk rakyat Malaysia ?

Ukuran paling mudah buat masa ini adalah capaian pendapatan selesa. Contoh, untuk suami isteri dua anak dan menetap di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu iaitu RM6,370 serta RM5,840. Ini pendapatan yang kita perlu ada untuk hidup selesa.

Sudah banyak kali saya cakap kita perlu fokus kepada pendapatan selesa. Ia bergantung pada dua benda utama. Pertama, siapa yang bergantung kepada pendapatan itu dan kedua, di mana? Ini kerana kos berbeza-beza mengikut kawasan.

Kalau kita fokus gaji minimum, ia akan memberi penekanan gaji di peringkat bawah. Malah ia akan jadi compression (ketat). Pendapatan ini juga yang akan diterima graduan. Semua orang perlu tahu pendapatan selesa mereka. Isu keselesaan adalah masalah utama dalam negara dan inilah yang perlu diberi fokus.

JANGAN PENING MAHU WUJUDKAN BANYAK CUKAI
Pandangan Tan Sri berhubung kemungkinan kerajaan akan memperkenal lima cukai baharu dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini?

Mengapa mahu pening kepala untuk memperkenalkan banyak cukai? Laksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Terima hakikat satu dunia pakai GST. Berapa peratus kadar pelaksanaan nanti kita boleh bincang.

Saya risau kalau banyak sangat cukai, bagaimana pula mahu mengurus pelaporan dan kerja-kerja rekod yang sangat remeh. Malah kos untuk mengendalikan cukai itu lagi tinggi daripada hasil kutipan. Rakyat juga akan bertambah marah.

Adakah pemberian subsidi bersasar untuk Petrol 95 sesuatu yang wajar dilaksanakan tahun depan?

Ketika tahun 2008, saya berada dalam Majlis Harga iaitu semasa zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya buat anggaran pada masa itu berapa peratus daripada subsidi minyak ini pergi kepada orang kaya. Kita tidak nampak hal ini dan masih memberi subsidi.
Kalau kita lihat di negara kaya, kadar harga minyak makin tinggi. Untuk kaedah bantuan kepada golongan tertentu, kita boleh beri dengan cara berbeza dan tidak semestinya berlaku di pam minyak.

Masalahnya, kita sudah terlalu lama dengan kaedah ini (subsidi) sehingga kalau berlaku kenaikan minyak, kerajaan yang memegang tampuk boleh runtuh
Banyak isu ekonomi ini dipolitikkan. Ahli politik dan rakyat Malaysia suka perkara sebegini. Sebab itu, isu rasionalisasi jadi kecoh. Ini semua isu struktural dan ia masalah lama serta merosakkan ekonomi kita.

BANTU PADA YANG PERLU
Bagaimana Tan Sri melihat syor memberhentikan pemberian subsidi pendidikan untuk anak orang kaya?

Dalam konteks subsidi, keputusan kerajaan untuk merasionalisasikan (subsidi) terutama secara bersasar saya setuju. Memang negara kita agak terlajak dalam konteks subsidi sehingga jadi bebanan dan mewujudkan sikap rakyat mengharapkan bantuan daripada kerajaan

Di Malaysia, untuk pendidikan universiti secara purata kita hanya bayar 10 peratus daripada kos keseluruhan. Masalahnya apabila yuran dikutip rendah dan adanya kekangan kerajaan, peruntukan untuk pendidikan jadi kurang. Universiti pula akan jadi tertekan. Paling risau golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu menerima pendidikan. Ini perlu dibantu.

Bagi saya apa yang kerajaan perlu buat adalah bantuan mesti diteruskan kepada yang patut dibantu dan memerlukan. Jadi, perlu ada keadilan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN