TIDAK sabar untuk menanti tarikh 18 Oktober 2024 untuk kita sama-sama menyaksikan bagaimana bentuk kerangka wang rakyat bakal dibelanjakan bagi tempoh 12 bulan berikutnya, yakni untuk sepanjang tahun 2025. Tarikh tersebut akan menyaksikan Kerajaan Perpaduan bakal membentangkan Belanjawan 2025 yang merupakan belanjawan ketiga buat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10.
Ia bukan sahaja memberi pelbagai makna di celahan kerjasama antara dua parti terbesar negara (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional), malah Belanjawan 2025 ini suatu penanda aras melalui prestasi sebenar untuk keberhasilan agenda dan strategi ekonomi rakyat yang direncana di bawah aspirasi Malaysia Madani pimpinan Anwar Ibrahim sendiri. Pada belanjawan inilah, waktu paling ideal dan adil untuk masyarakat menilai dan memberi komentar ilmiah untuk corak kepimpinan dan strategi ekonomi yang selama ini dicanang Anwar Ibrahim sebagai salah seorang figura politik dan pemikir ekonomi dikenali seantero benua ini.
Jika Belanjawan 2025 benar-benar memberi sentuhan kepada untung nasib rakyat, ini bermakna apa yang disebut-sebut oleh pasukan penyokong terhadap kredibiliti Anwar Ibrahim adalah suatu kebenaran yang mungkin cuba disembunyikan oleh Perdana Menteri keempat suatu ketika dahulu. Andai Belanjawan 2025 tampak hambar dan agak tempang serta ‘berlubang’, itu tandanya kita akan berhadapan dengan suatu lagi senario ‘derita ekonomi’ dalam kehidupan di negara ini.
Suka untuk kita menjentik telahan yang disuarakan oleh Perdana Menteri mengenai Belanjawan 2025 nanti yang pada gambaran beliau akan lebih memberi penekanan kepada isu-isu inflasi. Bagi Anwar Ibrahim, walaupun harga barangan asas seperti minyak masak, beras, petrol dan tepung di Malaysia masih berada pada angka yang rendah, namun Perdana Menteri masih optimis untuk memberi tumpuan terhadap menaikkan tahap pendapatan rakyat.
Jujur dan ikhlas Kerajaan Perpaduan ini boleh dilihat apabila mengakui produktiviti atau pelaburan negara ini terus mencatatkan peningkatan yang positif, pada masa sama mengakui tahap pendapatan rakyat masih di takuk yang sama. Justeru, apa yang sedang diperjuangkan oleh Perdana Menteri sekarang ini untuk meningkatkan pendapatan rakyat adalah langkah kanan dan semestinya paling ditunggu-tunggu.
Perkara ini mungkin ada asasnya. Lihat sendiri bagaimana Anwar Ibrahim telah mengotakan janji kerajaan untuk menaikkan gaji para penjawat awam di Malaysia. Kita semua sudah sedia maklum bahawa para penjawat awam bakal menerima kenaikan sebanyak 15 peratus, khususnya untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi. Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan pada 1 Januari 2026.
Harus kita akui bersama, berita bagus untuk para penjawat awam ini adalah selepas 12 tahun dan ia benar-benar mengejutkan ramai pihak kerana Anwar Ibrahim tidak hanya berborak di kedai kopi atau pentas majlis, sebaliknya beliau bertindak melalui jentera kerajaan yang ada.
Justeru, tidak terlalu keterlaluan sekiranya apa yang kerajaan lakukan kepada para penjawat awam ini akan turut diteruskan kepada kita semua melalui peningkatan pendapatan rakyat melalui dokumen Belanjawan 2025 kelak.
Seperkara lagi, Belanjawan 2025 harus digunakan sebaik mungkin bagi kita mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan dan memperhebatkan kedudukan nilai ringgit kita. Apatah lagi sejak kebelakangan ini nilai ringgit kita cukup membanggakan dan berlaku peningkatan kekuatan yang harus kita pertahankan dari semasa ke semasa.
Asas kepada semua ini pastikan kestabilan politik yang cukup membanggakan sehingga mampu menjangkaui negara-negara serantau. Mesej ‘harapan dan kestabilan’ yang tersemat di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan benar-benar diterjemahkan melalui aspirasi Malaysia Madani sehingga ia memberi rasa terhadap kehidupan masyarakat, walaupun usia kerajaan baru sahaja menjengah kira-kira dua tahun.
Seluruh rakyat Malaysia dan para pelabur dalam serta luar negara sudah pasti akan menantikan suatu kelainan dalam Belanjawan 2025 ini. Ia cukup berbeza dengan Belanjawan 2023 dan Belanjawan 2024 yang mana bagi dua belanjawan terdahulu, ia lebih kepada proses memperkukuh semangat Kerajaan Perpaduan, disamping menunjukkan kepada rakyat betapa kerajaan yang terbentuk ini sedang memerah keringat untuk menunaikan segala janji pilihan raya.
Berbeza untuk Belanjawan 2025 apabila ia pasti menjadi suatu belanjawan yang menunjukkan prestasi kerajaan bagi ‘separuh masa pertama’ bagi tempoh lima tahun demokrasi berparlimen Malaysia. Seandainya belanjawan ini mampu memakmurkan rakyat, maka kerajaan yang terbentuk ini tidak boleh dipandang sebelah mata.
Seandainya Kerajaan Perpaduan akan memberi sepenuh fokus untuk meningkatkan pendapatan rakyat dalam kerangka Belanjawan 2025 ini nanti, maka tiada lagi alasan untuk mana-mana pihak memandang rendah terhadap apa yang bakal diumumkan pada tanggal 18 Oktober nanti. – UTUSAN
SARFARIZMAL Md. Saad ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).










