BARU-baru ini, dua individu telah mengambil tindakan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tiga menteri ke mahkamah berkaitan keputusan Kabinet pada 9 Jun lalu untuk menghentikan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia. Mereka mendakwa dasar ini sebagai “tidak logik, tidak rasional, tidak adil serta berat sebelah,” dan menyebabkan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang membebankan rakyat.
Walaupun isu ini masih dibicarakan di mahkamah, kita harus memberi pujian kepada langkah berani kerajaan perpaduan dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel dengan menetapkan harga diesel mengikut pasaran semasa pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada golongan yang memerlukannya.
Pada awalnya, terdapat kebimbangan bahawa harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat akibat kenaikan harga diesel. Namun, kebimbangan ini dapat ditangani dengan adanya penjelasan ke atas penggunaan fleet card melalui MySubsidi Diesel untuk pengangkutan darat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Program ini berjaya memastikan subsidi diesel hanya diberikan kepada pihak yang layak, terutamanya dalam sektor pengangkutan.
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diperkenalkan oleh KPDN melalui penggunaan fleet card adalah platform utama dalam memastikan kejayaan penyasaran subsidi diesel. Melalui SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan barangan tertentu terus menikmati diesel bersubsidi.
10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam yang layak mendapat subsidi ini ialah bas sekolah, bas ekspres, bas berhenti-henti, bas mini, bas pengantara, kereta sewa, teksi, van mayat/lori mayat serta ambulans dan bomba yang dikendalikan oleh badan sukarela.
Selain itu, melalui SKDS 2.0 sebanyak 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan fleet card. Antaranya ialah 9 jenis kenderaan pengangkutan barangan, iaitu lori rigid – kargo am, penggerak utama, lori rigid – luton / kotak, lori rigid – tangki air, lori rigid – minuman botol, lori rigid – refrigerated, lori rigid – tangki tepung, window van dan panel van.
Seterusnya ialah 14 jenis kenderaan pengangkutan barangan baharu, iaitu lori rigid – curtainsider, lori rigid – hasil pertanian, lori rigid – kandang haiwan, lori rigid – kombinasi, lori rigid – open platform, lori tangki rigid – minuman, lori rigid – sampah, bas – food catering, van – food catering, lori – food catering, semi – panel van, bas – perkhidmatan bergerak, van – perkhidmatan bergerak dan lori rigid – perkhidmatan bergerak.
Dalam konteks ini, rakyat semakin memahami bahawa subsidi pukal hanya memanfaatkan golongan kaya dan mendorong ketirisan serta penyeludupan diesel ke luar negara. Pada tahun 2020 sahaja, hampir RM10 bilion subsidi diesel telah diselewengkan, termasuk oleh warga asing. Dengan pelaksanaan sistem fleet card, masalah ketirisan ini dapat dikawal.
Rakyat kini sedar bahawa subsidi bersasar ini adalah langkah yang lebih adil dan mampan. Penjelasan yang diberikan oleh agensi kerajaan juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang perlunya mengurangkan subsidi pukal yang membebankan negara.
Contoh dari negara jiran seperti Indonesia juga memberikan gambaran jelas tentang keberkesanan langkah penyasaran subsidi. Presiden Jokowi telah menyusun semula struktur subsidi bahan api pada tahun 2014, yang telah berjaya menangani masalah fiskal terbesar negara itu.
Melalui penyasaran subsidi yang lebih berfokus, rakyat Indonesia menerima manfaat dalam bentuk projek pembangunan yang lebih meluas, dan pada masa yang sama, ekonomi negara menjadi lebih kukuh. Langkah ini juga membolehkan Jokowi terus mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2019.
Keberanian politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan dasar penyasaran subsidi ini menunjukkan bahawa beliau komited untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara, walaupun dasar ini mungkin tidak popular. Namun, apa yang penting adalah ia berjaya mengekalkan keseimbangan dalam ekonomi tanpa menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan.
Bahkan, langkah ini langsung tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan, malah rakyat kini semakin menyokong kerajaan seperti yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota.
Semua ini tidak akan berlaku tanpa adanya usaha gigih para pegawai KPDN yang menyaksikan program MySubsidi Diesel telah mencatatkan pendaftaran yang amat memberangsangkan dengan 105,920 syarikat dan 290,780 kenderaan telah membuat permohonan ke atasnya sehingga 8 Oktober. Ia melibatkan 101,521 syarikat dan 272,406 kenderaan dalam sektor pengangkutan darat barangan serta 4,399 syarikat dan 18,374 kenderaan dalam sektor pengangkutan darat awam.
Ternyata pelaksanaan sistem fleet card ini bukan sahaja berjaya mengawal penggunaan diesel bersubsidi, tetapi juga memastikan bahawa harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat secara mendadak. Selepas empat bulan pelaksanaan, terbukti bahawa tidak ada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ketara berlaku.
Langkah ini dibantu oleh penguatkuasaan tegas KPDN melalui siasatan serta pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada syarikat yang cuba menaikkan harga secara tidak berpatutan.
Dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang dibantu oleh sistem fleet card kerajaan berjaya menjimatkan RM4 bilion setiap tahun. Penjimatan ini kemudian disalurkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai tambahan melalui peningkatan jumlah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Oleh itu, sekalung penghargaan perlu diberikan kepada para pegawai KPDN atas peranan penting yang mereka mainkan dalam memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang merugikan negara. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Ghazali Shafie Graduate School of. Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










