ADAKAH bahasa Melayu masih dianggap hanya milik bangsa Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand?
Akan mampukah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan taring dalam mengawal pencemaran bahasa kebangsaan di Malaysia?
Demikian antara topik yang berulang-ulang pada Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di ibu negara pada 23 dan 24 September lalu. Saya katakan berulang-ulang kerana beberapa topik yang dibahaskan dengan penuh semangat juga diketengahkan dalam simposium berkenaan pada September tahun lalu.
Saya kagum dengan semangat dan usaha dilakukan Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK) serta Pejabat Perdana Menteri Kesembilan untuk terus mengetengahkan suara dan perbahasan tentang kedudukan bahasa Melayu di rantau ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku wujud bahasa Melayu versi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand. Hal ini juga menjadi cabaran kepada usaha menjadikannya bahasa kedua ASEAN.
Saya terlibat dalam simposium kali ini sebagai pemudah cara bagi sesi perbincangan berkaitan topik peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memartabatkan bahasa kebangsaan.
Topik ini memang amat dekat dan sebati dengan saya. Malah, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 meletakkan matlamat memartabatkan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan pertubuhan.
Walaupun kesemua jawatankuasa Kavyan merupakan penulis kaum India yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Tamil tetapi semua mesyuarat dan perbincangan menerusi e-mel serta WhatsApp menggunakan bahasa kebangsaan.
Dalam perbincangan sidang pleno, pelbagai masalah dan kekangan diketengehkan untuk perbincangan peserta simposium. Misalnya, walaupun kedudukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun pelbagai pihak masih memperlekeh penggunaannya.
Didapati masalah sebenar berbalik kepada tekad politik dan ketegasan pihak berkuasa dalam memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan bahasa dipatuhi.
Masing-masing peserta berkongsi pandangan dan pengalaman. Amat nyata bahawa tindakan memperlekeh bahasa kebangsaan berlaku apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak tegas.
Akibatnya, nama kawasan perumahan, nama jalan serta papan tanda premis perniagaan secara terang-terangan mengagung-agungkan bahasa asing.
Dr. Kamarazaman Yacob selaku pengerusi penganjur simposium meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana kerajaan sendiri menutup mata apabila nama Kampung Baru menjadi New Village dan Kampung Kerinchi menjadi Bangsar South.
Seorang peserta yang terlibat dalam beberapa buah NGO mengemukakan usul supaya NGO yang prihatin dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu berani bersuara dan mendesak pihak berkuasa bertindak tegas.
Diungkitkan sekali lagi topik lama iaitu berkaitan kuasa dimiliki DBP di bawah Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) dan Akta DBP (Akta 930).
Sejak simposium kali pertama di Wisma DBP, Kuala Lumpur pada Mei 2022, Ismail Sabri konsisten dengan pendirian supaya Akta 930 dipinda supaya DBP benar-benar ada kuasa untuk bertindak.
Untuk rekod, pindaan terakhir dilakukan pada 1995 dan sehingga kini, kuasa sebenar dalam soal penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda, papan iklan, nama kawasan perumahan dan sebagainya terletak di tangan PBT.
Wakil DBP yang hadir sebagai peserta turut berkongsi keadaan sebenar.
Sesungguhnya, pegawai DBP tidak mampu berbuat apa-apa kerana kuasa bertindak belum diturunkan kepada mereka.
Berbalik kepada pihak NGO sendiri, saya selaku pemudah cara mengingatkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sudah meletakkan syarat nama dan perlembagaan pertubuhan wajib menggunakan bahasa kebangsaan.
Pada masa sama, tentulah NGO tidak boleh dipaksa menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala aktiviti. Misalnya, sebuah pertubuhan bahasa dan budaya Tamil tentulah menggalakkan penggunaan bahasa itu dalam kalangan ahli. Pada masa sama, semua NGO perlu memastikan minit mesyuarat dan urusan surat-menyurat rasmi menggunakan bahasa kebangsaan.
Dalam perbincangan sidang pleno dan semasa waktu rehat, timbul pertanyaan tentang peranan persatuan penulis di negara ini. Agak aneh juga tidak ada wakil Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) pada simposium ini.
Wakil dari Pattani, Thailand, Dr. Suraiya Chapakiya berkongsi pengalaman bagaimana NGO di sana cuba menggalakkan generasi muda belajar bahasa Melayu.
Mereka amat mengharapkan sokongan dan bantuan NGO dari negara jiran, khususnya Malaysia. Misalnya, buku cerita bahasa Melayu sebagai hadiah kepada kanak-kanak di sana.
Timbul pertanyaan mengapa Gapena yang menggabungkan lebih 20 persatuan penulis Melayu seluruh negara tidak tampil membantu usaha murni NGO di Pattani.
Turut diperkatakan hakikat kebanyakan orang Melayu tidak menggunakan bahasa standard tetapi menggunakan dialek daerah. Akibatnya, orang bukan Melayu yang menguasai bahasa Melayu standard tidak memahami bahasa Melayu digunakan orang Melayu.
Tema simposium juga timbul semasa perbualan dengan beberapa peserta. Kalau tema Bahasa Membina Bangsa merujuk kepada bahasa Melayu dan bangsa Melayu serantau, maka ternyata bahasa itu masih dianggap berciri etnosentrik.
PEJUANG BAHASA
Topik berkaitan sikap NGO dan pejuang bahasa turut disentuh. Misalnya, apabila nama WhatsApp Group digunakan di tempat Kumpulan WhatsApp. Tidak kurang juga pejuang bahasa gemar menuding jari kepada kerajaan, PBT, kaum bukan Melayu, sekolah vernakular dan sebagainya. Mereka lupa bermuhasabah kerana mereka sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam komunikasi dan urusan seharian.
Berdasarkan perbincangan sidang pleno, amat jelas bahawa kesedaran perlu bermula dari dalam diri. Tentulah lucu jika NGO mahu menjadi pejuang bahasa dan mendesak pihak lain memartabatkan bahasa kebangsaan jika pemimpin serta ahli NGO itu sendiri tidak mengamalkan penggunaan bahasa yang betul.
Maka, akan terjadi situasi seperti digambarkan dalam peribahasa ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’ dan ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’.
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










