Budak Bryne gegar dunia bola sepak

Budak Bryne gegar dunia bola sepak

ERLING Haaland meledak dua gol dalam aksi pertama di Piala Dunia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPILAN Erling Haaland pada Piala Dunia 2026 memberikan impak besar kepada Norway yang kembali mewarnai pentas bola sepak paling berprestij dunia itu selepas 28 tahun.

Kali terakhir skuad The Vikings beraksi di Piala Dunia adalah pada edisi 1998 di Perancis.

Sejak membuat penampilan sulung bersama skuad senior Norway, Haaland sudah meledak 60 gol dalam 53 perlawanan antarabangsa, satu rekod luar biasa yang menyaksikannya menjaringkan purata satu gol setiap 72 minit, namun, daripada jumlah itu, 55 gol pertama hadir di luar kejohanan utama.

Segalanya berubah di Piala Dunia 2026, bintang berusia 25 tahun itu membuktikan reputasinya sebagai antara penyerang terbaik dunia apabila meledak lima gol dalam tiga perlawanan pertama kejohanan.

Jumlah itu dijangka terus bertambah sekiranya Norway mampu meneruskan kemaraan namun cabaran lebih besar menanti apabila mereka dijadualkan berdepan kuasa besar bola sepak dunia, Brazil, pada aksi pusingan 16 terbaik yang berlangsung awal pagi esok di Stadium New York New Jersey.

Namun, di sebalik statusnya sebagai antara pemain paling digeruni dunia hari ini, perjalanan Haaland bermula jauh daripada sorotan lampu stadium dan kemasyhuran antarabangsa.

Dilahirkan pada 21 Julai 2000 di Leeds, England ketika bapanya, Alf-Inge Haaland, beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Leeds United, Haaland kemudiannya membesar di Bryne, sebuah bandar kecil di barat daya Norway selepas keluarganya pulang ke tanah air.

Di situlah zaman kanak-kanaknya dihabiskan, Haaland membesar dengan berlari bebas di padang terbuka, ditemani hembusan angin dingin Laut Utara yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di kawasan tersebut.

Tiada siapa ketika itu mampu membayangkan bahawa budak yang gemar menendang bola sehingga matahari terbenam itu akan muncul sebagai salah seorang penyerang paling hebat dalam sejarah bola sepak moden.

Sememangnya, darah sukan mengalir deras dalam dirinya, bapanya pernah beraksi di pentas tertinggi bersama Nottingham Forest, Leeds United dan Manchester City, manakala ibunya, Gry Marita Braut, merupakan bekas atlet heptatlon Norway.

Sejak kecil lagi, bola sepak menjadi sebahagian daripada kehidupannya, Haaland membawa bola ke mana-mana, mengumpul kad pemain, bermain permainan video bola sepak dan menghabiskan hampir setiap hujung minggu di gelanggang futsal berhampiran rumah bersama rakan-rakan.

Mereka mencipta sesi latihan sendiri dan mampu bermain sepanjang hari tanpa mengenal erti penat.

Erling Haaland. – AFP

Masyarakat yang mengenalinya ketika membesar di Bryne sering menggambarkan Haaland sebagai seorang budak yang memiliki semangat persaingan luar biasa dan tidak suka kalah.

Sama ada ketika bermain bola sepak, berlari, berlumba basikal atau sekadar permainan bersama adik-beradiknya, Haaland sentiasa mahu menjadi yang terbaik.

Menurut Alf-Inge, perkara yang paling membezakan anaknya daripada pemain muda lain bukanlah bakat semata-mata, tetapi kesanggupannya melakukan apa sahaja demi mencapai impian.

“Dia sentiasa bersaing dengan adik-beradiknya atau dengan saya. Bila melihat kembali, dia sebenarnya sedang membina keinginan untuk melakukan apa sahaja demi menang.

“Saya mengenali ramai pemain berbakat, tetapi tidak mahu membuat pengorbanan yang diperlukan untuk menjadi pemain hebat. Erling sentiasa memahami perkara itu,” kata Alf-Inge.

Bekas pemain Manchester City itu turut memilih untuk tidak terlalu campur tangan dalam perkembangan karier Haaland.

Sebaliknya, beliau memberi ruang kepada anaknya berkembang secara semula jadi dan membina identitinya sendiri sebagai pemain bola sepak.

“Saya dapat melihat minat dan semangatnya terhadap bola sepak. Jadi saya memilih untuk berada di belakang tabir. Ketika latihan dan perlawanan, saya hampir tidak berkata apa-apa,” jelasnya.

Karier profesional Haaland bermula seawal usia 15 tahun apabila dia diberikan peluang beraksi bersama pasukan senior Bryne FK.

Tidak lama kemudian, bakatnya menarik perhatian Molde FK yang ketika itu dibimbing bekas penyerang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Di bawah bimbingan Solskjaer, perkembangan Haaland berlaku dengan sangat pantas sebelum dia berhijrah ke Red Bull Salzburg di Austria.

Erling Haaland

Di Salzburg, namanya mula menjadi sebutan seluruh Eropah apabila jaringan demi jaringan dalam Liga Juara-Juara Eropah menjadikannya antara pemain muda paling bernilai ketika itu dan menarik minat beberapa kelab gergasi.

Borussia Dortmund kemudian membawanya ke Bundesliga sebelum Manchester City memenangi perlumbaan mendapatkan tandatangannya pada 2022 dan perpindahan itu menjadi titik perubahan terbesar dalam kariernya.

Dalam musim pertamanya di England, Haaland memecahkan rekod jaringan semusim EPL dan memainkan peranan penting membantu City merangkul pelbagai kejuaraan utama.

Di luar padang, Haaland turut berada dalam kelompok atlet dengan bayaran tertinggi di dunia.

Menurut Forbes, pendapatan keseluruhannya pada 2026 dianggarkan mencecah sekitar AS$100 juta (RM467 juta) setahun hasil gabungan gaji, bonus dan kontrak penajaan komersial.

Sebahagian besar pendapatan itu diperoleh menerusi kontraknya bersama Manchester City, manakala selebihnya datang daripada kerjasama dengan beberapa jenama global termasuk Nike.

Menariknya, meskipun memiliki kekayaan yang mampu membeli hampir apa sahaja, Haaland tidak terlalu gemar mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial.

Dia memiliki beberapa hartanah eksklusif dan koleksi kereta sport, namun kehidupannya jauh lebih tertutup berbanding kebanyakan atlet bertaraf dunia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN