Brazil tempang jumpa Norway

Brazil tempang jumpa Norway

PEMAIN Brazil meraikan kejayaan mereka memperoleh gol ketiga hasil jaringan Matheus Cunha ketika menentang Scotland di Stadium Miami. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Misi Brazil memburu tiket ke suku akhir Piala Dunia 2026 berdepan masalah apabila beberapa tonggak mereka dilanda kecederaan menjelang pertemuan menentang Norway dalam pusingan 16 terbaik di Stadium New Jersey, esok.

Raphinha sebelum ini berdepan kecederaan hamstring, namun pemain sayap itu sudah menjalani latihan bersama pasukan, manakala Lucas Paqueta dan Casemiro pula mengalami kecederaan ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Jepun.

Paqueta dikeluarkan pada waktu rehat, sementara Casemiro digantikan sejurus sebelum Gabriel Martinelli meledak gol kemenangan.

Walaupun Casemiro dijangka cergas untuk diturunkan, Paqueta berkemungkinan besar akan digantikan oleh Danilo Santos di bahagian tengah.

Harapan Brazil sekali lagi bakal disandarkan kepada Vinicius Junior yang tampil cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia kali ini apabila meledak empat gol selain mencipta satu bantuan jaringan.

Penjaring terbanyak Brazil, Neymar pula peranannya dilihat lebih terhad malah pemain berusia 34 tahun itu mengakui dia tidak berpuas hati apabila diberikan peluang yang sedikit untuk beraksi dalam kempen kali ini.

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti berkata, Neymar tetap menerima keputusan tersebut dengan baik dan terus memberi komitmen tinggi sepanjang latihan malah kekal menjadi antara tonggak pasukan.

“Dia memang tidak berpuas hati, tetapi dia menunjukkan sikap yang sangat baik. Dia berlatih bersungguh-sungguh, menghormati semua orang dan disenangi oleh rakan sepasukan.

“Neymar merupakan pemain yang penting kepada pasukan kerana memiliki kualiti tinggi selain seorang yang sangat merendah diri. Saya gembira dengan sikapnya. Sudah tentu dia mahu bermain seperti yang sentiasa diinginkannya,” katanya.

Ancelotti turut menegaskan Neymar kini mampu bermain selama 90 minit, sekali gus meredakan keraguan mengenai tahap kecergasan bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu.

“Perkara penting ialah dia boleh bermain. Tiada siapa tahu berapa lama dia akan bermain. Dia mempunyai pengalaman untuk menguruskan minit permainan dan tempo. Apabila saya lihat pasukan memerlukannya, saya akan memasukkannya ke dalam (padang),” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN