Huffaz jadi rebutan dalam bidang profesional - Utusan Malaysia

Huffaz jadi rebutan dalam bidang profesional

DR. Dawotd Khan Mad Mikhan, Afifah Aisyah Idris dan Balqis Zulkifle
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kewujudan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bukan sahaja memberikan satu nafas baharu kepada sistem pendidikan tahfiz di negara ini tetapi memberikan lonjakan kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang profesional.

Ini terbukti apabila ramai pelajar MTNP kini menjawat jawatan penting dalam bidang profesional termasuk doktor, jurutera, juru­audit dan sebagainya.

Doktor Ortopedik Hospital Sungai Buloh, Dr. Dawotd Khan Mad Mikhan yang merupakan bekas pelajar berkata, dia bersyukur kerana cita-citanya untuk menjadi seorang doktor tercapai walaupun belajar di institusi tahfiz.

“Saya antara generasi awal yang belajar di MTNP untuk hafalan al-Quran dan agama dan mengikuti pengajian akademik di sekolah menengah.

“Alhamdulillah saya dapat dua perkara iaitu menghafal al-Quran dan akademik sepanjang berada di MTNP.

“Jadi saya lihat hasrat untuk melahirkan doktor, jurutera dan pelbagai jawatan profesional yang hafal al-Quran berjaya,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Muadzam Shah, Rompin berkata, beliau mula berkhidmat sebagai doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas menghabiskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 2016.

Katanya, pada masa ini beliau sedang giat menyiapkan kursus sarjana ortopedik ke arah menjadi doktor pakar.

Seorang lagi bekas pelajar, Afifah Aisyah Idris, 25, yang merupakan juruaudit di Ernst & Young berkata, beliau bersyukur kerana dapat mengejar cita-cita untuk bekerja dengan firma audit antarabangsa.

Katanya, kejayaannya adalah hasil doa ibu bapa dan juga guru serta bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang, sejak berada di MTNP sehingga menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Afifah Aisyah yang berasal dari Temerloh berkata, beliau bersyukur kerana turut mendapat biasiswa daripada Yayasan Pahang.

“Saya bersyukur kerana dengan didikan di MTNP dan juga bantuan kerajaan negeri kini saya dapat bersaing dengan orang lain dan mencapai cita-cita menjadi juruaudit.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang begitu prihatin terhadap maahad tahfiz di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pelajar MTNP, Balqis Zulkifle, 34, berkata, MTNP sememangnya menjadi platform dalam melahirkan golongan profesional termasuk doktor dan sebagainya.

Beliau yang merupakan doktor gigi berkata, kira-kira separuh daripada rakan-rakannya kini bertugas sebagai pegawai perubatan manakala selebihnya dalam pelbagai bidang profesional lain.

Anak jati Kuantan yang menamatkan pengajian di MTNP pada 2009 berkata, beliau turut ditawarkan penajaan menyambung pelajaran di universiti luar negara dan universiti tempatan.

“Sememangnya Kerajaan Nege­ri Pahang banyak membantu dalam memastikan kejayaan kita, bermula di MTNP pelbagai bantuan dan sokongan diberikan oleh kerajaan negeri yang kini di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Selepas menamatkan pelajaran, MTNP terus membantu pelajar bagi menyambung pengajian dan Yayasan Pahang juga turut membantu daripada segi penajaan. Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN