BARU-BARU ini tular satu surat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan beberapa premis makanan popular yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.
Perkara ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna, terutamanya umat Islam yang amat menitikberatkan aspek halal dalam pemakanan. Situasi ini menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pengetahuan pensijilan halal dalam industri makanan.
Di Malaysia, pensijilan halal bersifat sukarela. Tiada akta yang mewajibkan syarikat untuk memohon sijil halal.
Namun begitu, bagi umat Islam, kehadiran sijil halal penting kerana memberi keyakinan makanan yang disajikan mematuhi standard kebersihan dan kesucian yang ditetapkan syariah.
Pengguna Muslim disaran untuk sentiasa menyemak bahan ramuan dengan teliti sesuatu produk. Jika bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan produk tersebut diyakini bebas daripada unsur haram setelah disemak dengan teliti, maka makanan tersebut boleh dianggap halal dan harus untuk dimakan.
Prinsip ini selari dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya menghindari perkara-perkara yang syubhah (meragukan).
Untuk mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan, beberapa penambahbaikan terhadap proses dan polisi boleh dipertimbangkan. Sebagai permulaan, kerajaan boleh sekurang-kurangnya menggalakkan semua premis makanan yang berniat untuk menjamu pelanggan Muslim di pusat beli-belah untuk memohon sijil halal. Hal ini akan memastikan setiap premis makanan yang beroperasi di tempat-tempat awam mematuhi standard halal yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, yang terbaik adalah syarikat tersebut diwajibkan untuk mempunyai sijil halal tetapi banyak usaha perlu dilakukan untuk sampai ke tahap itu termasuklah meminda beberapa akta yang terlibat. Usaha ini mungkin memakan masa dan melibatkan pelbagai pihak.
Di samping itu, proses permohonan sijil halal perlu dipermudahkan dan dijadikan lebih efisien. Penambahbaikan ini boleh melibatkan penyediaan panduan yang lebih jelas mengenai syarat-syarat harus dipenuhi serta penyediaan sokongan tambahan kepada premis yang memerlukan. Langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan kekeliruan dari kalangan pemain industri dan memudahkan syarikat untuk mendapatkan halal.
Dalam masa sama, peningkatan kesedaran dan pendidikan mengenai kepentingan halal perlu diberi perhatian. Banyak pengguna mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan halal dan bagaimana proses pengesahan dilakukan. Oleh itu, kempen kesedaran perlu dipertingkatkan untuk mendidik pengguna tentang betapa pentingnya mencari yang halal dalam setiap aspek kehidupan.
Pendidikan mengenai halal boleh dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Pendidikan Islam. Dengan ini, generasi muda akan lebih peka terhadap isu halal dan lebih berpengetahuan dalam membuat keputusan berkaitan pemakanan.
Selain itu, kempen kesedaran melalui media sosial dan platform digital juga boleh membantu mencapai golongan yang lebih luas dan meningkatkan pemahaman tentang kepentingan status halal.
Industri makanan memainkan peranan penting dalam memastikan makanan yang disajikan mematuhi piawaian halal. Untuk mendapatkan pengesahan halal perlu memastikan semua rantaian bekalan mereka mematuhi standard yang ditetapkan. Ini termasuk memastikan bahan-bahan yang digunakan bebas daripada bahan yang tidak halal atau tercemar dan memastikan peralatan yang digunakan dalam penyediaan makanan tidak bercampur dengan bahan yang tidak halal.
Selain itu, pengenalan teknologi seperti rantai blok boleh membantu dalam memastikan ketelusan dalam bekalan halal. Teknologi ini membolehkan setiap langkah dalam proses penghasilan makanan dijejaki dan disahkan, ia juga dapat memastikan bahawa makanan yang dihasilkan benar-benar mematuhi standard halal. Syarikat makanan di Malaysia seharusnya mula mengadaptasi teknologi ini sebagai langkah proaktif untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan.
INTEGRITI HALAL
Penjagaan integriti halal bukan sahaja terletak di bahu pihak berwajib atau pemilik premis makanan sahaja, tetapi memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan. Bermula daripada pengeluar bahan mentah sehinggalah ke pengguna akhir, setiap pihak memainkan peranan penting dalam memastikan integriti halal sentiasa terjamin.
Pengeluar bahan mentah perlu memastikan bahan-bahan yang digunakan tidak mengandungi unsur-unsur haram atau syubhah. Syarikat logistik pula harus memastikan tiada kontaminasi silang berlaku sepanjang proses pengangkutan dan penghantaran.
Pengendali makanan seperti chef dan pelayan perlu mengamalkan kebersihan serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) halal sentiasa diamalkan sepanjang proses penyediaan mahupun penyajian makanan.
Pengguna perlu bijak memilih premis makanan yang halal dan mematuhi piawaian yang ditetapkan. Cara ini dapat membantu memperkukuhkan lagi integriti dalam industri makanan dengan kesedaran dan pengetahuan halal yang jelas.
Sikap proaktif ini adalah kunci untuk memastikan bahawa semua pihak mematuhi standard yang ditetapkan dan keseluruhan proses penghasilan makanan mematuhi standard serta piawaian halal.
Oleh itu, pihak berwajib, seperti Jakim perlu menyediakan panduan yang lebih jelas dan mudah difahami mengenai proses permohonan serta menawarkan bantuan dan sokongan kepada premis yang ingin memohon sijil halal. Usaha ini akan membantu meningkatkan jumlah premis yang mendapatkan sijil halal.
Selain itu, pihak berwajib juga perlu menjalankan audit dan pemantauan secara berkala untuk memastikan mereka terus mematuhi standard yang ditetapkan. Langkah ini penting untuk mengekalkan integriti halal dan memastikan pengguna dapat menikmati makanan yang disediakan dengan keyakinan penuh. Ia juga dapat mengelakkan daripada salah guna sijil halal yang diberikan. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Pengurusan Kualiti Halal, Jabatan Profesional Penjagaan Kesihatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management and Science University (MSU).










