HALAL bukan hanya dilihat dari sudut agama tetapi dilihat daripada perspektif perniagaan sebagai alat pemasaran. Ia ada nilai pasaran yang cukup besar. Dalam 2024 dijangka pasaran halal dunia mencecah RM10 trilion.
Mengikut Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri segmen pasaran halal berdasarkan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 8.1 peratus dan menjana RM56 bilion pendapatan pada 2025. Ia sebagai satu ekonomi.
Jika tak ambil peluang, kita akan terus bergantung kepada orang bukan Islam. Memang pun hari ini 70 peratus sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kepada bukan Islam. Yang Islam dan bumiputera hanya 30 peratus.
Sebab itu, jika ada orang yang memperlekeh isu sijil haram, ia adalah satu kesilapan besar. Jika ia tidak ada nilai ekonomi, mana mungkin ramai pengusaha bukan Islam yang memohon dan memiliki sijil halal.
Sebenarnya, isu halal ini amat sensitif bagi umat Islam. Sebabnya setiap yang dimakan itu akan jadi darah daging. Sebagai Muslim, kita wajib mencari yang halal. Ia bukan sahaja melibatkan makanan, pakaian tetapi juga semua segi termasuk sumber pendapatan.
Dalam hal ini konsep yang harus ditekankan ialah toyyiban iaitu amalan kebersihan yang baik. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Makanlah makanan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)
Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Makanan daripada sumber yang haram itu, neraka lebih utama baginya. (riwayat Ahmad).
Oleh itu, kita menyokong kenyataan Pas yang membidas ulasan Naib Presiden DAP, Teresa Kok berhubung cadangan Jakim mahu mewajibkan restoran dan syarikat penyedia makanan memiliki sijil halal adalah bersifat terburu-buru, tidak tertib selain seolah-olah sengaja memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbirannya di negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai ahli Parlimen penyokong kerajaan, Teresa sepatutnya sedar bahawa semua dasar kerajaan harus melalui proses teratur dan panjang termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai DAP sebelum boleh dilaksanakan.
“Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian Jakim, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya beliau memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini.
“Sebaliknya, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, sebagai ahli politik veteran, Teresa seharusnya sedar kenyataan itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini khususnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.
“Dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) pensijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam, Teresa turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka,” katanya.
Logo halal Jakim ini diiktiraf seluruh dunia dan ada 46 negara yang ada hubungan baik dengan Jakim. Sebab Jakim juga iktiraf 84 badan halal. Memang jadi rujukan dunia.
Memang agak sukar kita tengok perbezaan ciri-ciri logo halal itu. Ini kerana ia boleh dicetak oleh sesiapapun sebab tak ada ciri-ciri keselamatan. Yang ada ciri-ciri keselamatan hanya pada sijil halal. Sijil itu tak boleh ditiru atau dipalsukan.
Jadi logo halal boleh dipalsukan. Kalau kita lihat industri berebut-rebut nak guna logo halal ini. Pada industri untung itu makruf dan rugi itu mungkar. Maka mereka akan berebut-rebut guna logo halal walau apa cara sekalipun.
Kadang-kadang nak mohon sijil halal memang tidak lepas sebab mereka tidak penuhi standard dan prosedur halal Malaysia. Jadi mereka akan tiru asalkan dapat logo halal.
Logo halal bukan hanya untuk orang Islam bahkan untuk semua. Ia sebagaimana dalam ayat 168 al-Baqarah tadi. Jadi, halal adalah untuk semua termasuk termasuk bukan Islam. Sebab itu kita mesti cenderung kepada utamakan beli produk halal.
Yang penting pastikan produk halal, baru kita beli. Kalau orang Islam jual barang yang tak halal, kita tak akan beli. Jika orang bukan Islam jual barang halal kita akan beli. Hari ini kesan daripada teknologi dan perubahan bahan ramuan, kita agak sukar nak tahu sama ada sumber itu produk itu halal atau tidak.
Hari ni orang dah cakap tentang pengemulsi, penstabil makanan, pewarna, gelatin, daging tanpa haiwan dan makanan palsu. Perkembangan teknologi ini menyebabkan kita agak sukar untuk kesan dan agama menyuruh kita makan benda yang halal.
Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah: 172)
Ada juga yang kata, proses mendapat sijil halal Jakim ini sangat sukar. Kalau kata sukar mengapa ada 8,000 pemegang sijil halal yang dapat hatta industri mikro pun boleh dapat selain industri kecil dan sederhana (IKS).
Standard halal Jakim ini sangat tinggi dan diiktiraf antarabangsa. Jadi, adakah kita nak rendahkan standard itu? Seharusnya industri yang perlu berubah dan berhijrah kepada lebih baik. Kalau kita ikut perkara yang betul, sijil ini senang dapat.
Kata Imam Ghazali, jika kita ingin anak-anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor. (Ihya’ Ulumuddin)
Ingatlah, makanan yang lazat belum tentu berzat dan berzat itu belum tentu berkat. Yang paling kita takut, Allah tidak terima doa kita kerana ambil perkara yang haram tadi. Hidup kita bukan menongkat dunia. Kita akan dibalas atas apa yang kita lakukan di akhirat kelak.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










