Memahami ketelusan proses kelulusan permohonan ekspatriat

Memahami ketelusan proses kelulusan permohonan ekspatriat

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk tengah) selepas melancarkan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen), Bahagian Khidmat Ekspatriat (ESD) secara khususnya sentiasa komited dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatan pengurusan ekspatriat yang telus. Ia dibuktikan melalui penambahbaikan proses kerja yang lebih teratur serta menutup ruang penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kelulusan pas ekspatriat.
Dari sudut sejarah, sebelum 2010, Imigresen bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses kelulusan permohonan ekspatriat. Namun, selepas itu, peranannya dalam proses ini ditambahbaik dengan pengagihan kepada agensi-agensi lain seperti Talent Corporation (TalentCorp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Iskandar Regional Development Authority (IRDA).
Dengan wujudnya sistem sekarang, fungsi Imigresen terhad kepada pemprosesan kelulusan pas dan pengeluaran pelekat sahaja, iaitu selepas Jawatankuasa Ekspatriat meluluskan Pas Penggajian (EP) atau Pas Lawatan Ikhtisas-Pakar (PVP).
Ini bermaksud, keputusan utama mengenai kelulusan ekspatriat dibuat oleh Jawatankuasa Ekspatriat (JKE) dan bukan sepenuhnya oleh Imigresen, menjadikan proses ini lebih telus dan berstruktur. Agensi-agensi seperti TalentCorp, MDEC, dan IRDA kini bertanggungjawab terhadap aspek-aspek penting seperti fi pemprosesan dan penilaian kelayakan. Dengan penglibatan beberapa agensi, ia mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang menghalang penumpuan kuasa kepada satu pihak sahaja.
Untuk lebih memahami proses kelulusan permohonan ekspatriat ini, elok kita melihat kepada peranan dan fungsi lima badan berikut.
Pertama ialah Jawatankuasa Kerja Bersama-Ekspatriat (JWC-E). Ia dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Imigresen dan TalentCorp untuk memantau, menyelaras isu-isu dasar serta inisiatif berkaitan ekspatriat selain bagi memastikan dasar dan usaha-usaha kerajaan dalam menarik mahupun mengekalkan golongan ekspatriat berkemahiran tinggi dilaksanakan secara menyeluruh.
Kedua ialah Imigresen menyemak dan mempertimbang kelulusan pengeluaran pas-pas berkaitan ekspatriat yang layak dan melaksanakan pengeluaran pas berkaitan. Ia juga menjalinkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan lain yang mempunyai hubungan dengan aspek Kawalan Imigresen.
Ketiga ialah TalentCorp/MYXpats yang menyediakan penyampaian perkhidmatan bertaraf eksklusif dalam memproses permohonan EP dan pas-pas berkaitan serta bertindak sebagai sekretariat (JKE) bagi pengurusan ekspatriat kepada 20 sektor di Malaysia. Sistem dalam talian, ESD Online yang dibangunkan TalentCorp berintegrasi dengan sistem Imigresen Malaysia (MYimms) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sistem ini turut digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana setiap permohonan ekspatriat yang diluluskan akan melalui proses tapisan keselamatan oleh PDRM.
Keempat ialah JKE yang mempertimbang serta meluluskan jawatan berkaitan kemudahan Imigresen bagi kategori ekspatriat untuk syarikat yang berdaftar dengan ESD, Imigresen.
Kelima ialah Agensi Pelulus/Agensi Kawal Selia yang menilai dan mengeluarkan permohonan surat sokongan bagi setiap sektor di bawah seliaan masing-masing melalui Xpats Gateway.
Aspek seterusnya ialah Proses Permohonan Ekspatriat di ESD Online merangkumi lima peringkat. Setiap peringkat, daripada pendaftaran syarikat sehingga proses permohonan ekspatriat, dilakukan dengan terperinci dan teliti, merangkumi susunan urusan, pihak-pihak utama serta aktiviti-aktiviti penting.
Peringkat 1: Pra syarat permohonan ekspatriat oleh syarikat
Sebagai pra syarat dalam proses pendaftaran syarikat di dalam ESD Online, syarikat perlu mendapatkan Surat Akuan Pematuhan Syarikat Akta 60K daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Surat Perakuan Pengiklanan Kekosongan Jawatan & Temuduga Pencarian Kerja Tempatan melalui portal MYFutureJobs.
Peringkat 2: Pendaftaran syarikat (sekali sahaja) Imigresen
Ia melibatkan pendaftaran syarikat, menerusi pembukaan akaun ESD Online. Proses pendaftaran ini dilakukan oleh syarikat dan diproses untuk pertimbangan melalui Jawatankuasa Inspektorat (JKI) yang dipengerusikan oleh wakil KDN atau Imigresen dan dihadiri oleh wakil Agensi Kawal Selia yang berkaitan. Manakala bagi MDEC dan IRDA, syarikat-syarikat di bawah selian masing-masing akan berdaftar secara terus melalui sistem MDEC iaitu eXpats dan IRDA pula Xpatnova yang mana pertimbangan dan keputusan pendaftaran syarikat dan permohonan ekspatriat adalah tertakluk kepada bidang kuasa mereka.
Peringkat 3: Xpats Gateway
Bermula 15 Jun 2023, Xpats Gateway diperkenalkan dan sistem ini adalah penyatuan 26 Agensi Pelulus/Kawal Selia untuk memudahcara pemprosesan EP. Pada peringkat ini, pihak syarikat perlu mendapatkan Surat Sokongan daripada setiap Agensi Pelulus/Kawal Selia yang berkaitan sebelum mengemukakan permohonan ekspatriat melalui sistem ESD Online.
Peringkat 4: Permohonan ekspatriat
Pihak syarikat perlu mengajukan dokumen permohonan lengkap melalui sistem ESD Online. Permohonan yang diterima akan menjalani beberapa proses yang komprehensif oleh TalentCorp yang juga bertindak sebagai Sekretariat JKE. Permohonan lengkap akan dibentangkan kepada Mesyuarat Panel JKE untuk penilaian lanjut, yang dipengerusikan oleh wakil KDN atau Imigresen dan dihadiri oleh wakil agensi kawal selia yang berkaitan. Bagi permohonan ekspatriat di bawah seliaan MDEC dan IRDA, keputusan dibuat secara terus oleh agensi-agensi tersebut dan data keputusan permohonan akan disalurkan kepada sistem ESD Online sebagai sistem induk ekspatriat.
Peringkat 5: Pengendorsan
Selepas itu, Imigresen akan mengeluarkan Surat Kelulusan untuk kegunaan pihak syarikat bagi tujuan endosmen pas.
Kesimpulannya, dengan wujudnya sistem yang berintegrasi dengan pelbagai pemegang taruh utama, proses kelulusan permohonan ekspatriat sebenarnya melibatkan beberapa agensi dan tapisan keselamatan dapat memastikan tiada ketirisan penilaian dan kelulusan pas ekspatriat.
Sesi libat urus berterusan kepada industri dan ahli Dewan Perniagaan Antrabangsa turut mendapat maklum balas yang positif dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih telus serta efisien.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN