Krisis UMNO jadi parti wilayah selatan

Krisis UMNO jadi parti wilayah selatan

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERHIMPUNAN Agung UMNO dua minggu yang lepas membincangkan pelbagai isu termasuk cita-cita melangit untuk memenangi dua pertiga kerusi kecuali satu isu yang genting – krisis UMNO turun taraf menjadi sebuah parti wilayah selatan, sepertimana seketika dahulu Pas dilihat sebagai parti wilayah timur laut.

Bahaya ini terjadi kerana UMNO hampir dihapuskan di empat negeri Pas di utara dan terbantut di dua negeri PH di pantai barat. Daripada tujuh negeri Semenanjung yang diterajui Pas dan PH, UMNO hanya mampu berdiri tegak di Negeri Sembilan.

Enam negeri ini – Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor – mempunyai sejumlah 75 kerusi parlimen dan 224 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Daripada itu, BN tidak mempunyai sebarang kerusi Parlimen (0.00%) dan hanya 5 kerusi DUN (2.23%).

Sebagai perbandingan, PN memenangi 48 (64%) kerusi Parlimen dan 155 kerusi (69.20%) DUN manakala PH memenangi 27 (36%) kerusi parlimen dan 64 (28.57%) kerusi DUN.

Dengan peratusan kerusi yang rendah, UMNO sukar menarik bakat-bakat baru di negeri-negeri ini yang lebih berminat menyertai PN atau PH. Kalau masuk UMNO pun, bakat-bakat dari negeri-negeri ini mungkin lebih berminat untuk bertapak di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka demi merebut kawasan yang selamat atau lebih tinggi harapan menang.

Antara enam negeri ini, kebanyakan mungkin melihat UMNO paling lemah di Terengganu kerana ia ‘menelan telur’ di kedua-dua peringkat parlimen (8 kerusi) dan DUN (32 kerusi). Sebaliknya, UMNO Selangor dan Pulau Pinang mungkin dilihat lebih kuat kerana memenangi dua kerusi DUN masing-masing.

UMNO Pulau Pinang dan Selangor adalah yang paling lemah dalam peratusan undi, yakni 5.56% dan 9.18% masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 (Jadual 1) dan sebelum itu, 15.19% dan 17.40% dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) (Jadual 2). Yang paling kuat adalah UMNO Terengganu yang memenangi 28.70% undi dalam PRN 2023 dan 31.68% dalam PRU15.

Apa sebenarnya berlaku? Jawapannya pada sistem pilihan raya, iaitu mekanisme yang menterjemahkan peratusan undi kepada peratusan kerusi.

Jika sesebuah parti memenangi bilangan kerusi yang lebih tinggi daripada peratusan undinya, sistem telah ‘menguntungkan’ parti itu, seperti dalam kes UMNO Negeri Sembilan.

Sebaliknya, jika peratusan kerusi lebih rendah daripada peratusan undi, maka sistem itu telah ‘merugikan’ parti itu, seperti UMNO Terengganu. Kerugian UMNO ditunjukkan dengan tanda negatif dalam kolum 4 dalam Jadual 1 dan 2.

Sistem pilihan raya lain, kecenderungan untung-rugi pun lain. Sistem perwakilan berkadar senarai parti (List-PR) di Indonesia memberikan peratusan kerusi yang hampir setimpal dengan peratusan undi, jadi tidak besar untung rugi.

Sebaliknya, sistem First-Past-The-Post (FPTP) yang diamalkan di negara kita cenderung untuk menjadikan pemenang lebih kuat dan menghukum pihak kalah lebih kejam. Jika sesebuah parti memenangi sekadar 51% di setiap kawasan, maka ia memenangi 100% kerusi. Sebaliknya, jika sokongannya surut kepada 49% di setiap kawasan, ia mungkin dapat 0% kerusi sekalipun saiznya lebih kurang dengan si-pemenang.

UMNO nampak terlalu lemah di enam negeri PN dan PH, bukan kerana ia ditolak rakyat 100 peratus. Sebaliknya, sistem FPTP yang menghalangnya daripada bangkit semula dan berfungsi sebagai pembangkang di Dewan, sekalipun jika ia mendapat 30% sokongan rakyat dalam kes Terengganu.

Jadi, FPTP yang dahulunya kawan UMNO dalam dominasi menjadi lawan UMNO dalam dugaan. Jika tidak melepaskan diri daripada genggaman FPTP, UMNO boleh lenyap di negeri-negeri Pas dan ‘dibonsaikan’ di negeri-negeri PH, kerana pertumbuhannya terbantut. Dahulu MCA dan MIC mengalami pembonsaian di bawah BN dan akhirnya lenyap di Selangor dan Pulau Pinang.

‘Pembonsaian’ berlaku dalam lingkaran jahat (vicious spiral): (1) sokongan UMNO rendah, (2) bilangan kerusi yang diagihkan untuk UMNO bertanding juga kecil; (3) sebahagian pengundi tegarnya tidak sanggup keluar mengundi untuk UMNO terus menjadi adik bongsu PH; (4) kerusi ditawar untuk UMNO pada pilihan raya depan menjadi lebih kecil lagi.

Untuk bangkit semula, UMNO perlu bekerjasama dan bersaing dengan PH pada masa sama. Ini tidak mungkin di bawah FPTP tetapi boleh berlaku dengan senangnya jika 222 kerusi FPTP ditambah dengan kerusi List-PR yang BN boleh mengemukakan senarai calon berasingan dan pengundi memangkah parti secara langsung. List-PR adalah antara sebab Golkar dan PDIP tidak lenyap di Indonesia setelah kalah pilihan raya presiden.

Jika sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen List-PR ditambah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor, UMNO akan mendapat bertapak semula. Pengundi tegarnya akan bersemangat mengundi dengan kembalinya prospek UMNO menjadi parti terbesar, sepertimana yang berlaku di PRN Negeri Sembilan apabila bilangan kerusi PH (19) dan UMNO (17) lebih kurang sama.

Sekali air bah, sekali tebing berubah. Kalau UMNO ingin kembali ke kemuncak pemerintahan negara, ia tidak boleh merindui tebing lama yang sudah tenggelam dibawa air. UMNO mesti berani menggerakkan reformasi sistem pilihan raya ke arah sistem campuran FPTP dan List-PR seperti di Jepun, Thailand dan Taiwan.

Profesor Wong Chin Huat ialah Ahli Sains Politik dan Timbalan Ketua (Strategi) Ibu pejabat Asia, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN) di Universiti Sunway.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN