Kenapa kita sambut, raikan 31 Ogos?

Kenapa kita sambut, raikan 31 Ogos?

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 31 Ogos setiap tahun tentunya mengingatkan kepada banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Sama ada yang berkaitan dengan hari ulang tahun kelahiran, perkahwinan, mendapat anak pertama atau tarikh yang dijadikan perjumpaan istimewa keluarga setiap tahun tanpa gagal.

Kenduri-kendara, makanan lazat, bersapa dengan saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak berjumpa tentunya cukup bermakna pada kesempatan cuti umum 31 Ogos.

Ada yang membawa anak-anak dan keluarga beriadah di pantai, air terjun, mendaki gunung, atau sekadar duduk di rumah menonton televisyen yang menyiarkan siaran langsung perarakan Hari Merdeka.

Walau apa cara sekalipun ia diraikan, sama ada dengan hadir menyaksikan perarakan di Putrajaya atau meluangkan masa dengan keluarga secara peribadi semuanya memberi makna kepada kita pada 31 Ogos ini.

Kerana 31 Ogos kita dibebaskan seketika daripada bebanan kerja dan bagi membolehkan kita berada bersama-sama keluarga, rakan-rakan, sanak saudara dan sebagainya. Ia ibarat satu bentuk kebebasan walaupun hanya untuk sehari dua.

Itu kebebasan yang diberikan oleh 31 Ogos kepada kita walaupun kita tidak menyedarinya, kerana ia sekadar rutin hidup kita saban tahun.

Jika kebebasan mendapat cuti umum pada 31 Ogos sudah cukup membahagiakan kita, tentunya, ia lebih bermakna untuk sebuah negara apabila pada 31 Ogos 67 tahun lalu ia bebas daripada cengkaman penjajah dan mula ‘mencongak kehidupan’ sendiri untuk mengisi kebebasan tersebut.

Sepanjang 67 tahun itu, kita telah mengisi Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya membentuk Malaysia bersama Sabah dan Sarawak dengan perkara-perkara yang cukup bermakna hingga membolehkan kita semua berbangga untuk mengatakan inilah negara tanah air tercinta yang akan dipertahankan sampai bila-bila.

Inilah tanah tumpah bagi hampir 34 juta jiwa mewakili kira-kira 100 kumpulan etnik yang akan terus dijunjung sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Sebab itu, setiap kali tiba 31 Ogos semua daripada kita mempunyai agenda dan acara masing-masing yang signifikan dengan tarikh keramat ini.

Ada yang sengaja memilih tarikh keramat ini untuk mengikat tali pertunangan, ada yang berkahwin, ada yang menimang cahaya mata dan bermacam-macam lagi. Mungkin apa yang dilakukan itu bukan bertujuan meraikan hari merdeka secara langsung, tetapi sekurang-kurangnya Hari Kemerdekaan itu tetap memberi makna kepada kita semua.

Kita memilih tarikh keramat ini untuk melakukan itu semua kerana kita tahu ia adalah tarikh istimewa.

Selain Hari Kemerdekaan, 31 Ogos juga dikenali sebagai Hari Merdeka atau Hari Kebangsaan sebagai memperingati pengisytiharan kemerdekaan negara kita daripada penjajah British pada 1957.

Pada upacara bersejarah ini wakil Ratu England telah menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra tanda berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.

Bermakna bumi yang kita pijak ini sebuah negara yang bebas diikuti dengan laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman. Itulah kali pertama perkataan ‘Merdeka’ dilaungkan sambil disambut oleh kira-kira 20,000 orang yang memenuhi Stadium Merdeka.

Seperti mana yang kita lakukan pada hari cuti umum 31 Ogos iaitu mengeratkan hubungan keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai, Malaysia juga mengecapi perkara yang sama bermula pada tarikh 31 Ogos 1957.

Seperti mana kata Tunku Abdul Rahman ketika membaca pengisytiharan kemerdekaan, sepanjang proses menuntut kemerdekaan itu bermacam-macam perkara terpaksa ditempuhi.

Pelbagai kesukaran dilalui daripada perjuangan tersebut termasuk huru-hara dan kucar-kacir antara negeri dan pemimpin termasuk hubungan raja-raja dan rakyat terputus.

Hubungan itu kembali terjalin setelah kesepakatan dicapai untuk merdeka yang mana bumi ini telah mencipta sejarah yang tidak pernah berlaku di dunia iaitu raja dan rakyat bersatu padu untuk memastikan kebebasan itu menjadi realiti.

Malah perjuangan kemerdekaan sebuah bumi yang dinamakan Malaysia ini juga menjadi contoh kepada dunia bagaimana etnik yang pelbagai bersatu-padu dan bersatu suara menjerit ‘Merdeka’.

Walaupun ada yang skeptikal, was-was dan kurang yakin akan keupayaan penduduk tempatan mentadbir negara ini, tetapi ternyata tarikh 31 Ogos itu telah mencipta sejarah baharu manusia yang menjadi titik tolak kepada pelbagai perubahan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini.

Kerana tarikh itu lahir sebuah negara luar biasa yang diasaskan atas satu set idea yang luar biasa dengan kepercayaan kepada Tuhan menjadi tunjang utama dan kerajaan wujud untuk melindungi hak rakyat dan kuasa membentuk kerajaan pula terletak pada tangan rakyat.

Tarikh 31 Ogos bukan sekadar kemerdekaan daripada Inggeris, tetapi kemerdekaan untuk melakar dan menentukan nasib kita sendiri.

Menentukan laluan dan keupayaan kita mencapai kejayaan, membangunkan kemahiran, mencipta produk dan perkhidmatan yang menjadikan kehidupan lebih baik. Menjana kemajuan yang tidak terduga dan kemakmuran yang tidak pernah berlaku atau diimpikan sebelum ini.

Tetapi tidak juga dinafikan setiap generasi selepas merdeka ini berhadapan dengan cabaran sendiri. Cabaran berkaitan ekonomi, politik, skandal, penyelewengan, pelanggaran hak asasi, kebebasan bersuara dan sebagainya.

Semua itu adalah sebahagian daripada proses pembinaan dan perjalanan sebuah negara. Tetapi jangan sampai kerana nyamuk seekor, kelambu yang dibakar.

Generasi kini pula pasti ada cabaran yang tersendiri. Cabaran zaman media sosial bertunjangkan kecerdasan buatan (AI) tentunya lebih dahsyat kerana hasutan, permusuhan, perpecahan tersebar dalam diam dan penuh berselirat.

Atas dasar kebebasan bersuara, semakin banyak unsur sosialisme dan fasisme muncul menggoda generasi muda kita bagi mengawal minda dan pandangan mereka terhadap cara berkerajaan dan bernegara.

Oleh itu, sempena tarikh yang kita gunakan untuk manfaat peribadi. Sambil berehat di pantai atau berbabeku di halaman rumah marilah kita beriltizam, berkomitmen untuk memelihara kebebasan yang kita nikmati daripada kemerdekaan ini.

Ia bukan sahaja untuk diri sendiri, yang paling penting untuk generasi akan datang tanpa mengira sama ada orang itu seideologi dengan kita atau pun tidak.

Cari dan rangkul semangat 31 Ogos ini dalam apa cara sekalipun.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN