Dunia kian berubah. Begitu juga kehendak pasaran kerja. Sejak menyambung pelajaran di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya sering didedahkan oleh pensyarah akan realiti keadaan ketika melangkah ke dunia luar agar sentiasa berusaha mempelbagaikan kemahiran melangkaui jurusan yang diambil.
Banyak tempat kerja tidak lagi terlalu mementingkan ijazah yang kita peroleh, termasuk daripada universiti mana kita menerima anugerah. Yang lebih penting ialah pengalaman, kebolehan dan juga keperibadian. Ini kerana purata nilai gred kumulatif (CGPA) tinggi semata-mata tidak menjanjikan mutu kerja yang baik.
Seolah-olah ijazah sudah kurang nilainya dan institusi pendidikan tinggi (IPT), tidak lagi mampu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, berwibawa, profesional dan berkemahiran tinggi. Di manakah silapnya sehinggakan ada yang melihat seakan-akan IPT sudah semakin hilang kerelevanannya?
Sambil berbincang dengan seorang profesor dari sebuah universiti terkenal tanah air ketika menghadiri satu persidangan minggu lalu, perbincangan kami beralih kepada persoalan berkaitan sumbangan ilmuwan dan universiti dalam menyebarkan ilmu yang dapat memanfaatkan masyarakat di luar universiti.
Kata beliau, hari ini tidak mudah bagi ahli akademik berbuat demikian dalam kesibukan memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang biasanya dirangka berasaskan sistem penarafan universiti atau ranking.
Maka, universiti yang gigih mengejar penarafan antarabangsa yang tinggi akan meletakkan KPI mereka bersesuaian dengan syarat penarafan itu. Ahli akademiknya pula akan diberi tekanan untuk mematuhi sistem tersebut agar universiti mendapat penarafan tinggi.
Malangnya, banyak syarat penarafan antarabangsa tidak menepati tujuan asas IPT, iaitu untuk memberikan pendidikan terbaik kepada mahasiswa mereka, menyebar serta menerokai ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat. Hal ini mengalih tumpuan universiti daripada tanggungjawab sebenar mereka. Akhirnya, bukan sahaja universiti tidak mensejahterakan masyarakat, tetapi graduan universiti sendiri tidak memperoleh sepenuh manfaat daripada pengajian mereka.
Tidak akanlah selama-lamanya kita harus menari mengikut rentak orang lain? Tidak akanlah selama-lamanya kita ingin dijajah kongkongan sistem penarafan ini? Sampai bilakah sumber terhad kita mahu dibazirkan untuk penyelidikan yang tidak dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan hanya akan disimpan dalam rak, semata-mata bagi menambah jumlah kertas kajian yang dikeluarkan institusi tersebut?
Walaupun tugas ahli akademik adalah untuk mengembangkan ilmu, hakikatnya, banyak tumpuan telah terarah untuk mengejar KPI ini. Bagi mereka, ini penting demi meraih kejayaan, termasuk kenaikan pangkat dan sebagainya. Malah, bagi sesetengah ahli akademik, inilah yang menjadi motivasi bagi mereka untuk bekerja kuat.
Kesedaran tentang kesan buruk beberapa sistem penarafan antarabangsa terhadap pendidikan sudah banyak diperkatakan. Ia turut ditekankan oleh sebuah kumpulan pakar di bawah Institut Antarabangsa Untuk Kesihatan Global di Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IIGH).
Menurut salah seorang ahlinya, Profesor Marion Lloyd, penarafan universiti global terlalu banyak mempengaruhi alam pendidikan tinggi. Katanya, sistem ini menggalakkan tumpuan kepada takrifan kejayaan yang begitu sempit dan tidak bermakna, lantas mengabaikan sumbangan penting yang sepatutnya diberikan oleh universiti kepada masyarakat.
Di Malaysia, sudah menjadi lumrah apabila usaha mengangkat nama universiti lebih terarah kepada kedudukan dalam sistem penarafan yang mereka sertai. Oleh itu, kebanyakan IPT memilih untuk akur kepada kebiasaan ini. Sehinggakan ada yang mempertikaikan keputusan universiti yang memilih untuk tidak menyertai persaingan ini.
Perkara saya sering dengar dalam konteks memperkatakan tentang penarafan universiti ialah, kenapa kita mahu lari daripada sistem penarafan, sedangkan universiti lain semuanya gigih bertanding untuk kedudukan tertinggi? Itulah juga kritikan yang sering dilontarkan terhadap UIAM, yang sejak sekian lama memilih untuk tidak mengejar mana-mana sistem penarafan yang dianggap merugikan universiti dan warganya.
Jelas sekali, kami tetap berjaya mencipta dampak yang besar sehingga diiktiraf dan dihormati di peringkat kebangsaan dan global. Banyak anugerah antarabangsa berjaya diraih oleh UIAM, termasuk 16 anugerah diiktiraf Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU), dan lima lagi pengiktirafan Anugerah Green Gown Antarabangsa yang juga diiktiraf badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Semua ini ialah hasil kerja gigih warganya yang tak terikat kepada kehendak sistem penarafan. Sebaliknya, di UIAM, pensyarah dan pelajar dilatih untuk mencari jalan melakukan projek yang memanfaatkan masyarakat setempat di samping berusaha dalam bidang akademik.
Tidak berada pada kedudukan yang tinggi dalam sistem penarafan universiti, bukan bermakna mutu pendidikan UIAM lebih rendah berbanding mereka yang berada pada kedudukan yang lebih baik. Hakikatnya, kedudukan dalam penarafan bukanlah ukur tara pendidikan bermutu serta kebolehpasaran graduan.
Malah, penekanan akan kepentingan menguasai kemahiran insani melalui pelbagai kegiatan di luar dewan kuliah memberi banyak manfaat dan kelebihan kepada para graduan dalam persaingan di pasaran kerja serta dalam usaha mengembangkan kerjaya mereka.

MUTU PENDIDIKAN
Tujuan universiti bukanlah setakat untuk bertanding siapakah yang lebih gah dan popular semata-mata. Selaku pusat intelektual, universiti mesti mampu berperanan melakukan perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui ilmu. Tiada maknanya jika kita hanya sekadar gah pada nama sahaja namun hakikatnya tidak dapat menyumbang kepada kemakmuran bangsa.
Bagi saya, mutu pendidikan negara akan jatuh jika universiti hanya mementingkan persaingan yang berkiblatkan penarafan semata-mata. Jika kita taksub mengejar penarafan, maka universiti akan hilang fokus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Adakalanya, untuk berjaya kita harus berani keluar daripada lingkungan kebiasaan, tidak takut dilihat berbeza. Ukuran kejayaan harus dinilai berteraskan nilai agar identiti kita terus kukuh sebagai anak bangsa mara ke persada dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










