Gubal undang-undang peluang saksama dalam ekonomi

Gubal undang-undang peluang saksama dalam ekonomi

MATLAMAT Bank Dunia pada 2013 membasmi kemiskinan menjelang 2030 dan mempromosi perkongsian kemakmuran bersama, hampir menyamai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan 43 tahun lebih awal oleh Tun Abdul Razak Hussein.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 19 September lalu, saya berpeluang mendengar ucapan Dr. Rais Saniman di Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional, anjuran Arkib Negara Malaysia. Beliau salah seorang insan penting dalam sejarah negara tetapi tidak diberi pengiktirafan sewajarnya.

Beliau merupakan orang Melayu yang paling banyak terlibat dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB), bersama Tan Sri Just Farland dari Norway iaitu Penasihat Ekonomi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan pakar ekonomi yang dipinjamkan dari Universiti Harvard. Beliau diberi kepercayaan untuk membantu merangka polisi ekonomi bagi sebuah negara baharu, Malaysia.

DEB diperkenalkan selepas Malaysia rusuhan kaum pada 1969, menjadi polisi yang penuh kontroversi sebaik dilancarkan pada 1970 dan dijadualkan untuk dilaksanakan secara berfasa selama 20 tahun.

Ia menjadi kontroversi kerana wujudnya penentangan sistematik melalui kempen hingga ke peringkat antarabangsa, menyebar propaganda kononnya orang Melayu bersifat rasis dan DEB merupakan alat untuk diskriminasi kaum.

Dalam ucapan di konvensyen tersebut, Rais berkongsi analisis bahawa DEB yang seharusnya menjadi pemangkin utama untuk membentuk sebuah negara bersatu padu dalam kepelbagaian, melalui polisi sosioekonomi yang unik dan mendahului zaman, amat jauh daripada tuduhan rasis kerana ia berpaksi kepada keadilan sosial dan perpaduan negara.

DEB dikatakan mendahului zaman kerana polisi serupa kemudiannya diangkat oleh Bank Dunia pada 2013, juga meletakkan matlamat serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan menjelang 2030 dan mempromosi perkongsian kemakmuran bersama, hampir menyamai matlamat DEB yang dilaksana 43 tahun lebih awal.

Bank Dunia pada 2013 itu juga meletakkan matlamat serampang dua mata untuk membasmi kemiskinan dan menghapus identiti kaum dengan fungsi ekonomi.

DEB menempah banyak kejayaan, walaupun tidak semuanya kejayaan penuh. Ia berjaya memangkinkan pertumbuhan ekonomi menjadi salah satu yang tertinggi dalam dunia secara lestari, mengurangkan kemiskinan luar bandar dan bandar serta mewujudkan pekerjaan penuh sehingga hari ini, yang mana kita lihat berjuta imigran datang mencari rezeki ke negara ini.

Namun DEB tidak berjaya dalam ‘menugal’ matlamatnya untuk membantu negara menstrukturkan semula masyarakat bagi membaiki ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, sehingga hari ini selepas 67 tahun merdeka.

Menurut beliau, DEB gagal dalam usaha penstrukturan semula masyarakat kerana ia tidak dilaksanakan secara total, apabila orang Melayu dan bumiputera lain dipinggirkan daripada penyertaan penuh dalam pasaran tenaga buruh di sektor swasta khususnya di peringkat pengurusan.

Sepanjang tempoh pelaksanaan DEB, malah hingga hari ini, kerajaan tiada atau tidak wujudkan instrumen yang boleh memastikan penyertaan tenaga buruh terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dalam sektor swasta tidak tergendala.

Kegagalan ini, menurut Rais, berpunca daripada ketiadaan undang-undang untuk memantau dan mengawal sektor swasta yang boleh memastikan mereka membuka peluang penyertaan tenaga buruh kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

80 peratus peluang pekerjaan dalam negara ini ditawarkan oleh sektor swasta. Walaupun bumiputera ramai dalam sektor awam, ia hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah pekerjaan yang disediakan dan selebihnya dalam agensi-agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Justeru, kerajaan perlu menutup ruang diskriminasi tersebut dengan melaksanakan reformasi dalam sektor swasta yang bersifat begitu eksklusif, kepada sektor peluang saksama yang mana pasaran tenaga buruh terbuka penuh kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Kegagalan besar yang kedua untuk mencapai matlamat penstrukturan semula masyarakat supaya pengenalan kaum tidak dibuat berasaskan status ekonomi, ialah dalam polisi untuk mewujudkan kelas niaga dan industri bumiputera.

Kejayaan kewujudan kelas Melayu niaga dan industri hanya berhenti dan stabil pada tahap 16 peratus sahaja, masih jauh untuk mencapai angka sasaran DEB iaitu 30 peratus.

Keadaan ini berlaku sebagai kesan daripada amalan monopoli dan monopsoni dalam sektor swasta. Golongan Melayu dan bumiputera lain dipinggirkan oleh syarikat-syarikat besar yang memonopoli bidang-bidang niaga utama dan pasaran besar.

PERKASA UNDANG-UNDANG
Justeru, untuk memperbaiki keadaan yang amat tidak saksama ini, Rais mencadangkan Undang-undang Peluang Saksama digubal, mengharamkan monopoli dan monopsoni serta penyertaan dalam rantaian pembekalan dibuka sepenuhnya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Undang-undang ini antaranya akan mengharamkan kartel niaga yang memonopoli atau oligopoli pembekalan pukal yang sedang mencengkam keadilan ekonomi negara ini.

Saya berpendapat, apa yang disarankan oleh Rais di konvensyen tersebut perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin kerajaan, badan-badan kerajaan dan swasta, juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

NGO yang dipimpin bumiputera khususnya perlu tampil memberi sokongan kepada cadangan-cadangan ini, malah saranan supaya bumiputera berani bersaing di pasaran terbuka tidak seiring dengan membiarkan syarikat besar mengekang peluang pekerjaan mereka serta menutup ruang persaingan melalui monopoli dan monopsoni.

Rais juga menimbulkan persoalan, apa sebenarnya peranan yang telah dimainkan oleh para intelek Melayu bumiputera? Adakah mereka tidak tahu bahawa Melayu bumiputera begitu lama dinafikan hak asasi manusia mereka?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antaranya, adalah wasilah yang jelas memberi ruang kepada bumiputera untuk bertindak memperbaiki ketidaksaksamaan ini.

Lebih malang lagi, tambah beliau, sekiranya rang Melayu tidak mengguna Hak Asasi Manusia yang dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Piagam PBB, hak tersebut mungkin hilang secara sendiri kerana kelalaian mereka.-UTUSAN

DR. Mohd. Fauzi Shaffie adalah penganalisis sosioekonomi dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN