GPMS perlu kembali kepada wadah asas perjuangan

GPMS perlu kembali kepada wadah asas perjuangan

GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) harus terus menjadi suara penting dalam masyarakat untuk pembangunan negara. – FACEBOOK GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG - RASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), saya merasa terpanggil bukan sekadar untuk menyuarakan pandangan peribadi, tetapi sebagai usaha mengajak semua pihak terlibat memikirkan masa depan salah satu pertubuhan pelajar tertua di Malaysia.

GPMS sekian lama menjadi teras dalam memperjuangkan nasib pelajar Melayu dan menjadi saluran utama dalam menyuarakan hak-hak pendidikan mereka. Namun, kemelut yang melanda kini, dengan pelbagai isu dalaman dan luaran, memerlukan tindakan bijak dan pantas sebelum ia memberi impak yang lebih besar kepada perjuangan dan masa depan organisasi berkenaan.

GPMS, seperti mana-mana organisasi lain terikat dengan undang-undang dan garis panduan pihak berkuasa, terutamanya Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang diawasi Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Sejak pemilihan yang terakhir diadakan pada Julai 2022, terdapat kebimbangan dalam kalangan ahli dan pemimpin GPMS berhubung tempoh penggal jawatan, yang mana terdapat interpretasi berbeza tentang tempoh sebenar penggal kepimpinan semasa.

Dalam situasi ini, ada pihak dalam GPMS berpendapat tempoh penggal sekarang hanya baru berjalan selama dua tahun, memandangkan penggal sebelumnya dipanjangkan kepada empat tahun disebabkan pandemik Covid-19. Namun begitu, pihak ROY mempunyai pandangan yang berlainan berdasarkan undang-undang sedia ada dan menggariskan tempoh penggal mestilah mengikuti peruntukan undang-undang yang ditetapkan. Ini mencetuskan konflik apabila ada yang merasakan perlunya diadakan pemilihan semula dalam masa terdekat, sementara yang lain pula berpendapat penggal kepimpinan semasa masih sah dan boleh diteruskan.

Merujuk surat dihantar ROY bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos lalu mengesyorkan GPMS mengadakan pemilihan Majlis Tertinggi sebelum 16 September 2024. Sekiranya gagal mematuhi arahan atau menyesuaikan diri dengan peraturan yang ditetapkan, tidak mustahil persatuan ini bakal berhadapan dengan risiko pembatalan pendaftaran atau tindakan undang-undang yang lain.

Sekiranya ini berlaku, ia akan menjadi tamparan hebat kepada organisasi yang sekian lama menjadi teras perjuangan pelajar Melayu di Malaysia.

Impak dari kemelut ini bukan sahaja melibatkan barisan kepimpinan malah turut memberi kesan langsung kepada seluruh ahli dan masyarakat Melayu yang bergantung kepada perjuangan GPMS dalam memperjuangkan hak-hak pendidikan.

Sebagai organisasi yang telah lama wujud, persatuan ini mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga kepentingan pelajar Melayu dan memastikan golongan ini terus mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Sekiranya gagal menyelesaikan kemelut ini dengan baik, ia boleh melemahkan keyakinan pelajar terhadap organisasi ini dan mengakibatkan pengurangan pengaruh GPMS dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, isu-isu dalaman yang tidak diselesaikan boleh membawa kepada perpecahan yang lebih mendalam dalam kalangan ahli. Kesan jangka panjang daripada kemelut ini mungkin melibatkan pengurangan kepercayaan masyarakat terhadap GPMS sebagai organisasi utama yang memperjuangkan pendidikan.

Lebih membimbangkan, GPMS berisiko untuk dilihat sebagai tidak relevan atau tidak lagi mampu menjadi platform utama bagi pelajar Melayu dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan dan sosial yang kritikal pada masa kini.

PEMBAHARUAN
Di sebalik segala cabaran ini, saya masih yakin GPMS mampu bangkit dan kembali menjadi sebuah organisasi yang kuat dan relevan. Terdapat beberapa pembaharuan dan langkah yang perlu dilaksanakan untuk memastikannya terus relevan dalam memperjuangkan nasib pelajar Melayu di Malaysia.

Pertama, kepimpinan perlu lebih terbuka kepada pandangan dan cadangan daripada semua pihak. Kemelut yang berlaku kini tidak boleh diselesaikan hanya dengan keputusan satu pihak. Oleh itu, dialog dan perbincangan antara semua ahli serta kepimpinan tertinggi perlu diadakan segera untuk mencari penyelesaian terbaik. Kesepakatan dan persefahaman antara semua pihak amat penting untuk memastikan GPMS kekal kukuh dan terus berfungsi sebagai platform perjuangan pelajar Melayu.

Kedua, GPMS perlu memperkukuh hubungan dengan pihak berkuasa seperti ROY dan memastikan segala urusan pentadbiran dan pendaftaran dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Ini penting bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang atau masalah yang boleh menjejaskan keberkesanan organisasi.

Kepimpinan juga perlu memahami bahawa undang-undang sedia ada bukanlah penghalang kepada perjuangan mereka, tetapi sebagai garis panduan yang perlu diikuti untuk memastikan organisasi terus berjalan lancar.

Ketiga, GPMS perlu melakukan penjenamaan semula yang lebih dinamik dan relevan dengan keadaan semasa. Dalam era digital dan globalisasi ini, GPMS perlu lebih aktif dalam mendekati golongan muda melalui platform media sosial, teknologi dan program-program inovatif yang relevan dengan cabaran masa kini. Program-program pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkasakan untuk membantu pelajar bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif.

Keempat, perlu memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta, institusi pendidikan dan agensi kerajaan untuk memastikan pelajar mendapat akses kepada peluang-peluang yang dapat memajukan mereka dalam pelbagai bidang. Melalui program-program seperti perantisan, latihan industri dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat teknologi, GPMS boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan pelajar dengan peluang untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja yang kian berubah.

Selain itu, kepimpinan GPMS harus memastikan agar program-program sedia ada terus berfokus kepada isu-isu yang paling relevan dan mendesak bagi pelajar Melayu. Ini termasuk usaha-usaha untuk menangani cabaran-cabaran pendidikan yang berkaitan dengan jurang sosioekonomi, ketidakadilan akses kepada pendidikan berkualiti serta cabaran pendidikan di kawasan luar bandar.

Akhirnya, saya berharap agar organisasi ini dapat kembali kepada asas perjuangan iaitu sebagai wadah yang kuat dan padu dalam memperjuangkan hak pelajar Melayu di seluruh Malaysia.

Untuk mencapai matlamat ini, GPMS perlu bergerak ke hadapan dengan strategi yang jelas, kepimpinan yang bertanggungjawab, serta sokongan padu daripada semua ahli. Saya yakin dengan semangat setiakawan dan semangat perjuangan yang tinggi, GPMS akan terus relevan dalam membina generasi Melayu yang cemerlang, berwawasan dan berdaya saing dalam era globalisasi.

Sebagai sebuah organisasi yang banyak menyumbang kepada masyarakat Melayu sejak penubuhannya, GPMS mesti berani untuk berinovasi, menyesuaikan diri dengan zaman dan tetap teguh pada prinsipnya dalam memperjuangkan hak-hak pendidikan.

Dengan kepimpinan yang bijaksana dan ahli yang berdedikasi, saya percaya GPMS akan terus menjadi suara penting dalam masyarakat, bukan sahaja untuk pelajar Melayu, tetapi juga untuk pembangunan negara secara keseluruhannya.

Perjuangan ini belum berakhir dan dengan kerjasama serta komitmen yang teguh dari semua pihak, saya percaya GPMS akan terus melangkah ke hadapan dengan lebih kuat dan berwibawa.-UTUSAN

PENULIS ialah bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-22, yang kini merupakan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN