Benarkah zalim apabila diperintah kelompok majoriti?

Benarkah zalim apabila diperintah kelompok majoriti?

WALAUPUN kepimpinan Malaysia di bawah kelompok majoriti, namun masih tetap melindungi hak dan kepentingan kelompok minoriti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN terbuka oleh pihak tertentu dalam kalangan etnik bukan Melayu bahawa apabila pemerintahan negara berada dalam tangan kelompok majoriti, kezaliman dan fasisme akan berlaku, bukan sahaja bersifat tersangat umum. Juga ia subversif, yakni boleh meranapkan sistem sedia ada yang sudah mantap, apabila ia merujuk kepada pemerintahan oleh etnik Melayu di negara ini.

Selain subversif, ia menghasut, iaitu boleh membangkit kemarahan daripada etnik Melayu kerana tidak benar sama sekali.

Sehubungan ini, kezaliman adalah tindakan fizikal mahupun mental untuk mendatangkan kemudaratan oleh pihak tertentu kepada yang lain. Manakala fasisme merujuk kepada cara memerintah yang bersifat nasionalis yang ultra, kuku besi yang dahsyat dan penggunaan keganasan yang berleluasa melalui kuasa tentera dan polis. Selain semua ini, ia sangat memihak kepada satu etnik tertentu sahaja dan menganiayai yang lain-lain.

Persoalan di sini adalah adakah perkara sedemikian berlaku di negara ini yang diperintah oleh etnik Melayu-Islam sebagai kelompok majoriti?

Setelah hampir 70 tahun tertubuhnya negara ini, bukan sahaja kezaliman dalam apa-apa bentuk jua tidak pernah sesekali pun berlaku ke atas kelompok minoriti oleh yang majoriti.

Jauh sekali fasisme dalam sebarang bentuk walaupun ia mahu dikaitkan dengan kedudukan istimewa kelompok majoriti yang merupakan penduduk asal di negara ini. Ini kerana pada masa sama kepentingan sah kelompok bukan asal diberikan jaminan yang akan dilindungi sepenuhnya oleh ketua negara.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa penggunaan kata kezaliman dan fasisme itu sama sekali tidak tepat untuk merujuk kepada keadaan pemerintahan etnik Melayu-Islam di negara ini. Bukan sahaja tiada langsung unsur negatif zalim dan kejam biarpun sekecil zarah. Malah ia adalah yang sebaliknya, iaitu penuh dengan kebaikan hati dan julangan ideologi antifasisme yang tegas.

Ini dapat dilihat dengan jelas sekali melalui demokrasi yang merupakan sistem pemerintahan kita yang adil, yakni antaranya ikut melibatkan kelompok minoriti secara aktif dalam sama-sama mengurus tadbir negara.

Selain ini, budi mulia kelompok majoriti terhadap yang minoriti dalam bentuk sikap baik hati, bertimbang rasa dan suka membantu, memang terang lagi bersuluh pada setiap perkara selain masa. Jadi, apakah agaknya tujuan utama kenyataan sebegitu subversif lagi menghasut dikeluarkan oleh pihak terbabit itu?

Dengan tiadanya sekelumit pun pemerintahan zalim lagi kejam terhadap kelompok minoriti oleh yang majoriti, ia bukan sahaja fitnah besar, juga sangat mengancam.

Mungkin perkara yang ingin disampaikan melalui kenyataan itu yang rata-ratanya disokong padu oleh etnik bukan Melayu di media sosial ialah pemerintahan oleh kelompok minoriti adalah lebih baik, malah baik sekali. Dalam hal ini, ia menjamin tiadanya kezaliman dan fasisme.

Sekiranya kelompok minoriti berasa mereka dizalimi oleh kelompok majoriti dalam apa-apa cara jua, terdapat salurannya untuk dinyatakan tindakan zalim itu. Antaranya dibangkitkan oleh wakil rakyat untuk dibahaskan secara jujur bagi mencari penyelesaian yang adil bagi semua pihak.
Namun ini bukan sahaja jarang berlaku, malah tidak pernah berlaku pun. Dengan ini, ia menunjukkan bahawa tidak ada kezaliman, apatah lagi fasisme yang didakwakan itu.

ADIL
Sebenarnya demokrasi kita, walaupun dalam tangan kelompok majoriti, senantiasa bukan sahaja akan selalu memastikan, malah sangat memahami tanggungjawab untuk melindungi hak kelompok minoriti. Ini dilakukan dengan tidak adanya sekatan terhadap pemupukan identiti budaya, amalan sosial dan kegiatan keagamaan kelompok minoriti.

Ini sangat penting agar kepelbagaian bukan sahaja terus menjadi kekuatan kita, juga neraca seimbang antara pemerintahan oleh kelompok majoiriti dan hak kelompok minoriti.

Walaupun pemerintahan oleh kelompok majoriti membolehkan etnik Melayu membuat keputusan berdasarkan undian terbanyak, perundangan negara ini tidak sesekali disusun untuk merampas hak kelompok minoriti. Malah apa-apa yang digubal untuk termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta semua akta lain, sama-sama terpakai secara saksama kepada semua, yakni kelompok majoriti mahupun yang minoriti.

Pemerintahan oleh kelompok minoriti seperti yang mahu disarankan itu, sebenarnya tidak selalu pun unggul. Ini dapat dilihat pada pemerintahan aparteid di Afrika Selatan dari 1910 sehingga 1994 oleh kelompok berkulit putih yang hanya merupakan 22 peratus daripada seluruh penduduk.

Sehubungan ini, jenayah aparteid bukan sahaja banyak sekali. Juga amat zalim lagi kejam sekali dengan berlakunya banyak pembunuhan ke atas kelompok berkulit hitam dan penganiayaan secara fizikal mahupun mental terhadap mereka oleh yang berkulit putih.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mahu digunakan untuk menunjukkan kezaliman dan fasisme itu, bukan sahaja amat tidak tepat. Malah meleset sekali. Ini kerana ia tindakan afirmatif yang merupakan sebahagian daripada pemerintahan demokrasi, iaitu ideologi politik yang sangat bertentangan dengan fasisme.

Melalui tindakan afirmatif, demokrasi yang adil lagi maju dapat dipupuk. Ini berlaku melalui adanya kepelbagaian di tempat belajar, kerja dan lain-lain untuk memastikan wujudnya keadilan untuk semua etnik. Ini termasuklah untuk yang bukan Melayu dan tidak semesti selalunya yang Melayu sahaja.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN