ADAB merujuk tingkah laku sopan santun, kesopanan dan tatacara sosial. Ia asas penting dalam budaya Malaysia. Adab mencerminkan nilai-nilai murni yang dipegang oleh masyarakat dan memainkan peranan besar dalam memastikan keharmonian sosial. Walau bagaimanapun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terdapat kebimbangan ekoran ia semakin terhakis dalam kalangan masyarakat.
Nilai adab yang semakin pupus adalah satu isu yang serius dan memerlukan tindakan segera. Masyarakat perlu sedar adab merupakan asas kepada kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Oleh itu, setiap individu, keluarga dan institusi pendidikan perlu bekerjasama untuk memupuk serta memelihara nilai-nilai adab dalam kehidupan seharian. Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan adab yang mulia akan terus dihargai dan diamalkan oleh generasi masa depan.
Perbezaan antara adab dahulu dan sekarang dapat dilihat dari pelbagai aspek, termasuk cara berinteraksi, pengaruh teknologi dan perubahan dalam nilai-nilai masyarakat.
PENGARUH GLOBALISASI
Globalisasi membawa pelbagai perubahan dalam cara hidup masyarakat di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Pendedahan kepada budaya asing melalui media, internet dan migrasi memperkenalkan nilai-nilai mahupun norma-norma baharu yang kadang-kadang bertentangan dengan adab tradisional di negara ini.
Sebagai contoh, budaya Barat yang lebih terbuka dan kurang hierarki mungkin mempengaruhi generasi muda untuk melihat adab tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Ini boleh menyebabkan mereka mengabaikan atau meremehkan kepentingan adab dalam kehidupan seharian.
Media sosial juga mengubah cara berkomunikasi dan berinteraksi. Platform sedia ada membolehkan komunikasi yang cepat dan luas, tetapi sering mengabaikan kesopanan dan tatacara sosial. Komentar negatif, penyebaran fitnah dan buli siber adalah antara masalah yang timbul akibat penggunaan media sosial yang tidak terkawal.
Fenomena ini mencerminkan kurangnya adab dalam komunikasi digital, yang boleh melimpah ke dalam interaksi dunia nyata. Budaya prank (gurauan) juga menjadi kegilaan segelintir masyarakat demi mendapat tanda suka yang banyak pada setiap hantaran di platform media sosial.
Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan nilai-nilai pelajar. Walau bagaimanapun, wujud kebimbangan apabila sistem pendidikan negara mungkin kurang menekankan kepentingan adab dan nilai-nilai moral.
Kurikulum yang lebih berfokus kepada pencapaian akademik dan peperiksaan mungkin mengabaikan pendidikan moral serta etika. Silibus yang cenderung kepada akademik menidakkan pelajar seusia di bawah 10 tahun mengenali adab dan tatasusila kesopanan yang sewajarnya didedahkan. Akibatnya, pelajar mungkin tidak mendapat panduan yang mencukupi tentang kepentingan adab dan kesopanan.
Perubahan dalam struktur keluarga moden seperti peningkatan ibu bapa bekerja dan kekurangan masa berkualiti bersama anak boleh mengurangkan peluang untuk mengajar dan mencontohkan adab yang baik.
Selain itu, kesibukan hidup dan tekanan ekonomi juga boleh menyebabkan ibu bapa kurang memberi perhatian kepada pendidikan adab anak. Kesibukan urusan dunia dan kerjaya boleh menggadai masa mendidik anak didepan mata. Mereka lebih terdedah dengan kegiatan sendiri seperti melayari peranti dan menonton kandungan video yang tidak berfaedah di media sosial. Ingat, jangan ‘kontrakkan’ pembudayaan adab kepada media sosial!
Hiburan tanpa manfaat yang terlalu berleluasa di media sosial juga meletakkan ‘bahan pembakar’ kepada kejatuhan adab dan tatasusila. Berjoget tanpa malu di depan khalayak umum. Nah, itulah makanan di media sosial yang berleluasa. Bukan prasangka, tetapi leka dengan keadaan semasa.
Institusi agama dan budaya juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan mempromosikan adab tradisional. Pemodenan penyampaian ceramah agama, kelas-kelas fardu ain dan program-program kebudayaan adalah antara cara untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan adab. Indikator kejayaan untuk memastikan mesej-mesej ini relevan dan menarik bagi generasi muda yang cenderung kepada pengaruh luar. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung sudah tiada yang peduli. Sekali lagi, dunia tanpa sempadan!
IMPAK
Terdapat banyak contoh kes kekurangan adab menyebabkan masalah sosial atau konflik. Misalnya, kejadian pergaduhan di sekolah, insiden buli siber dan peningkatan kadar jenayah kecil seperti mencuri serta vandalisme mencerminkan ketidakpedulian terhadap adab mahupun kesopanan. Kejadian-kejadian ini bukan sahaja merosakkan imej masyarakat tetapi juga boleh menyebabkan ketidakstabilan sosial.
Budaya, tidak puas hati terus bunuh sudah berlaku di Malaysia. Kalau dulu, kes bunuh ini melibatkan kumpulan gangster, tetapi, sekarang ia semudah ABC. Tanpa perlu ada geng, gerakan solo juga boleh membunuh mangsa.
Kesan jangka panjang kehilangan adab dalam masyarakat boleh menjadi serius. Kehilangan nilai-nilai kesopanan dan moral boleh membawa kepada perpecahan sosial, penurunan moral, dan peningkatan kadar jenayah. Budaya memaki hamun menjadi asam garam kehidupan. Menunjukkan isyarat lucah juga menjadi kebiasaan.
Malu dan silu sudah hilang dari radar kehidupan. Imej negara di mata dunia, tiada siapa yang kisah.
Ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab utama untuk mendidik anak-anak tentang adab dan nilai moral sejak kecil. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Luangkan masa berkualiti bersama anak untuk memberi contoh yang baik dalam aspek adab dan kesopanan.
Galakkan aktiviti keluarga yang memupuk adab seperti makan bersama, berbincang secara terbuka dan menghormati satu sama lain. Memimpinlah melalui teladan, bapak borek anak rintik. Kita mampu mencorakkannya. Kebanyakan interaksi dilakukan secara tatap muka, dengan nada suara, ekspresi wajah dan bahasa tubuh memainkan peranan penting dalam komunikasi. Keadaan ini memupuk rasa hormat dan kesopanan yang tinggi dalam setiap perbualan mahupun pertemuan.
Program pendidikan moral yang komprehensif, termasuk mata pelajaran khas tentang adab dan etika boleh membantu membentuk tingkah laku pelajar dari usia muda. Selain itu, guru-guru juga perlu mengajar dan mencontohkan adab yang baik. Kempen kesedaran melalui media massa dan media sosial boleh membantu mempromosikan nilai-nilai ini.
Akhir sekali, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab peribadi dalam mengekalkan dan mengamalkan adab. Ini termasuk menunjukkan contoh yang baik kepada semua lapisan masyarakat, berinteraksi dengan sopan dalam semua keadaan dan menyebarkan nilai-nilai positif dalam komuniti mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Undang-Undang, Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










