Sukan agen perpaduan jiwa merdeka

Sukan agen perpaduan jiwa merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKLUMAT berkaitan sejarah sukan dalam laman web Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Perak boleh membantu kita memperkaya informasi berkaitan satu produk kebudayaan yang sudah berabad-abad lamanya iaitu sukan.

Sejarah bagaimana acara sukan bermula cukup menarik untuk ditelusuri. Proses penjajahan merupakan satu daripada proses dan faktor kebudayaan asing seperti sukan yang diterima baik masyarakat negara yang dijajah termasuklah Malaysia.

Sukan yang berkembang pesat merupakan agen penting dalam memperkukuh tema kemerdekaan, Malaysia Madani Jiwa Merdeka.

Sejarah ini merupakan rakaman peristiwa yang amat besar maknanya terhadap toleransi dan saling meraikan kepelbagaian sejak sekian lama oleh masyarakat di seluruh dunia. Melalui sukan dan kebudayaan, manusia mula saling mengenali serta bereksplorasi tentang kebolehan selain keupayaan seseorang.

Uniknya aktiviti sukan kerana skopnya yang luas meliputi air, udara, dalam bangunan, di luar bangunan mahupun acara padang dan olahraga.

Daripada kronologi yang dikongsikan sumber ini juga, pembaca dapat melihat bagaimana bidang ini mewarnai dunia sukan negara kita sehingga ke hari ini.

Selain itu melalui acara sukan ini juga berjaya menempatkan atlet-atlet negara dalam pencapaian dunia. Begitu juga menerusi sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh ketika era sejarah berjaya mencungkil bakat dan potensi anak tempatan dalam bidang sukan.

Paling mengujakan melalui sukan juga, masyarakat pelbagai latar keturunan dan etnik raikan kebersamaan memandangkan bidang ini berupaya mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar.

Perpaduan merupakan penyatuan dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Sukan diiktiraf sebagai ‘bahasa universal’ yang mengatasi halangan budaya, bahasa dan sosial.

Penyatuan sukan antara kaum perlu dimulakan di peringkat awal anak-anak bagi menyemai perasaan bersatu hati walaupun berbeza kaum, budaya dan agama. Oleh itu, pihak kerajaan dan agensi terlibat perlu memainkan peranan untuk menyediakan kemudahan bersukan kepada masyarakat.

Konsep perpaduan menurut Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) merupakan satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara secara menyeluruh melalui ideologi supaya setiap anggotanya dapat membentuk satu identiti, nilai serta perasaan kebangsaan bersama dalam kalangan mereka.

Tiada siapa pun akan memikir tentang politik atau warna kulit ketika bersukan atau beriadah, kerana permainan tersebut memerlukan pasukan yang lengkap. Kerjasama amat diperlukan oleh setiap pasukan jika ingin mencapai kemenangan.

Melalui sukan, kita boleh mengambil pengajaran dan pengalaman baik atau sebaliknya. Bukan salah menyalah jika menang atau kalah tetapi rasa bangga sebagai rakyat Malaysia atas perjuangan atlet kita.

Penyatuan kaum dalam sukan perlu bermula dengan sukan rakyat. Kita perlu melihat kepentingan kelab dan mengaktifkan program sukan. Perkara ini perlu dilakukan dengan melibatkan semua masyarakat tanpa mengira kaum. Selain itu, program yang dijalankan juga hendaklah berkala bukan hanya dijalankan pada bulan-bulan tertentu.

Sukan tidak didominasi oleh sesuatu kaum sahaja. Semua kaum ada dalam sesebuah pasukan sebagai pemain, jurulatih dan pengurus. Kita perlu bersatu hati untuk menggerakkan sukan negara tanpa mengira kaum dan agama. Ahli sukan yang membawa cabaran negara adalah warga Malaysia yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik untuk melihat Jalur Gemilang dikibarkan.

Nilai nasionalisme dan patriotisme jelas dapat dipaksikan dalam kalangan rakyat negara ini melalui sukan. Pengalaman kita raih bersama melalui penganjuran Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini, menyerlah perjuangan atlet dan seluruh rakyat yang benar-benar berbangga dengan pencapaian mereka dalam pentas dunia.

Bukan itu sahaja, rakyat menerima kekalahan dan kemerosotan prestasi atlet dengan minda terbuka dan saling menerima antara satu sama lain. Hubungan baik melibatkan semua kaum dalam arena sukan adalah kunci kemajuan dan kestabilan negara keseluruhannya.

Pendek kata sekiranya konflik wujud dari meja bulat mungkin boleh didamaikan di gelanggang sukan. Demikian hebatnya kuasa sukan.

Sosok pemain badminton negara, Lee Zi Jia yang meraih gangsa dan wartawan sukan, Bang Med menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.Mereka yang berjuang dalam bidang sukan bukan sahaja berbakat tetapi memiliki jiwa dan semangat yang kental. Menuai kejayaan dalam perjuangan sukan adalah hal yang membuatkan semua orang bergembira, tetapi sejauh manakah kita memahami beban serta tekanan mental ahli sukan apabila mereka tewas dalam acara yang disertai?

 

SUKAN Olimpik 2024 yang berlangsung di Paris, baru-baru ini bukti rakyat Malaysia bersatu hati menyokong skuad negara dalam semua acara sukan yang disertai. – FACEBOOK DATUK NICOL DAVID

 

PATRIOTISME
Sukan bukan sahaja menjadikan seseorang itu memiliki stamina yang cergas dari segi fizikal tetapi dalam masa yang sama perlu bertarung untuk melengkapkan diri mereka dengan ketahanan mental. Isu yang berlegar dalam persekitaran sukan era kini juga berubah dan masyarakat perlulah menjadikan bidang ini sebagai arena membina citra atlet yang berbakat serta profesional.

Kerajaan menyediakan kemudahan terbaik demi kemajuan sukan negara. Walaupun terdapat beberapa isu berkaitan pengurusan dan kelemahan dalam pelaksanaan, namun masih wujud ruang untuk diperbaiki serta dimajukan di negara tercinta ini.

Di peringkat sekolah, universiti, komuniti mahupun atlet profesional menjadikan sukan sebagai wahana dalam memupuk dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan. Rakyat Malaysia sentiasa bersatu dan memberi sokongan padu kepada ahli sukan yang berjuang demi negara.
Tahap patriotisme juga dapat dibentuk dalam diri individu dan masyarakat melalui bidang ini.

Negara boleh mencapai kemajuan sekiranya rakyatnya dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67. Amalkan bersukan untuk sihat sejahtera.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN