KEADAAN politik negara boleh diperhatikan sebagai begitu dinamik setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu. Pelbagai kejutan peristiwa yang belum pernah dibayangkan mematahkan segala naratif sangkaan, sehinggakan ramai terperangkap dalam sesuatu tanggapan yang dicipta, sehingga gagal menerima kenyataan.
Kekalahan besar Perikatan Nasional (PN) di tangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri minggu lalu mengejutkan ramai pemerhati dan penggiat politik tanah air. Hal ini terutamanya apabila BN berjaya mengalahkan PN dengan majoriti begitu besar tatkala gegak-gempita laungan gelombang hijau dan UMNO pula dikatakan sebagai berada dalam keadaan yang lemah kerana gagal meraih undi Melayu semasa PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, BN bukan sekadar menang bergaya di negeri kubu PAS, tetapi juga mencatat sejarah sebagai parti pertama yang berjaya merampas kerusi dari parti penyandang dalam siri PRK sejak PRU15 lalu.
Seperti dalam catatan saya dua minggu lalu, apa yang menarik perhatian tentang PRK ini ialah perjalanannya sarat dengan perkara yang boleh dikaji dan dipelajari dari sudut ilmiah.
Sebelum tiba hari mengundi minggu lalu, ramai penyokong PN, khasnya Pas tidak menjangkakan kekalahan gabungan itu dalam sebuah PRK di Kelantan, lebih-lebih lagi dengan gelombang hijau yang dikatakan sedang giat membara. Masalahnya, pandangan kita sering dikaburi persepsi sehingga bercanggah kenyataan.
Oleh itu, jika ada yang meneka calon UNMO akan menang dengan majoriti 3,000 undi, dia akan digelar Mat Jenin, diperlekehkan kerana tidak berpijak di bumi nyata. Namun, seperti yang kita ketahui, BN akhirnya meraih kemenangan dengan majoriti 3,352 undi.
Saya melihat kepercayaan diberikan oleh pucuk pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) ke atas kebijaksanaan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK Nenggiri ialah kunci kepada kejayaan ini. Tengku Razaleigh bukan hanya memahami keadaan Gua Musang dengan rapi, tetapi beliau juga amat dekat di hati rakyat.
Langkah Tengku Razaleigh mengatur strategi awalnya dilihat aneh oleh ramai pihak. Pemilihan calon dan kaedah kempennya dilihat melanggar kebiasaan, namun akhirnya terbukti sangat berkesan walau dihujani kritikan. Mungkin ada yang menganggap strategi Tengku Razaleigh sebagai menongkah arus namun itulah yang berjaya membawa UMNO merampas kembali kerusi Nenggiri.
Ini menarik diperhatikan, terutamanya apabila Tengku Razaleigh kini merupakan antara satu-satunya ahli politik utama yang berpengalaman zaman pra pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Zaman tersebut dikatakan telah membentuk budaya dan cara politik baharu sepanjang 22 tahun itu yang kekal meninggalkan kesannya sehingga kini. Sejak itulah pilihan raya sering menjadi pertandingan meraih populariti, berbanding meyakinkan pengundi akan kebolehan calon.
Maka kehadiran Tengku Razaleigh dapat membawa strategi luar kotak yang meraih kejayaan, seperti untuk tidak membentang sebarang manifesto kerana pengundi boleh diyakinkan dengan tindakan. Ini buktinya bahawa amalan dan naratif boleh dicabar selagi ia berkesan.
Kerjasama utuh daripada semua pihak yang bekerja keras berkempen dari rumah ke rumah juga membantu. Satu perkara istimewa dalam PRK ini ialah gabungan tenaga dan ketangkasan pemimpin muda serta kebijaksanaan selain ketelitian pemimpin veteran berjaya diadun bagi membentuk satu pasukan yang hebat lagi kuat.
Yang agak menarik juga untuk diperhatikan ialah kerjasama PH yang mungkin kurang diperkatakan. Walaupun mereka tidak turun berkempen, tetapi arahan pemimpin seperti Anthony Loke yang menyuruh ahlinya tunggu jemputan BN sebenarnya banyak membantu dalam kemenangan tersebut.
Pertandingan ini di gelanggang pantai timur dan parti seperti DAP masih belum berjaya menembus para pengundi. Mereka sedar diri dan menghormati hal ini untuk menjaga kesensitifan pengundi sehingga gabungan mereka berjaya menang.
Di sini kita melihat strategi berkempen yang sangat berbeza diguna pakai oleh dua gergasi politik negara untuk memenangi kerusi DUN Nenggiri. PN memilih langkah mengadakan ceramah politik dan menggunakan pendekatan yang sinonim dengan cara kempen Pas. Ini tidak menghairankan kerana pengaruh parti Islam itu lebih besar di Kelantan.
Benarlah strategi PN menurunkan calon bekas pemimpin Pas yang baru beberapa hari menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) untuk bertanding atas tiket Pas akhirnya memakan diri. Ia dikatakan melukakan hati orang Bersatu, seolah-olah tiada pemimpinnya yang layak menjadi calon sehingga terpaksa membawa masuk orang Pas.
Bagi penyokong Pas pula, kekalahan calon yang bertanding di bawah lambang ‘bulan’ itu sudah tentu tidak mudah untuk diterima.
Namun, itulah adat dalam pilihan raya. Dalam hai ini kita tidak boleh lalai dalam meneliti keadaan sebenar di lapangan bagi mengenali dan memahami sentimen pengundi. Menggunakan satu acuan untuk semua bukanlah langkah politik yang bijak kerana banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.

MELAYU KEMBALI PERCAYA UMNO
Adakah pengundi Melayu sudah kembali kepada pangkuan UMNO? Hal ini benar di DUN Nenggiri tetapi kajian di lapangan harus dibuat dengan teliti bagi mencari jawapannya.
Walau bagaimanapun, kejayaan BN di DUN Nenggiri membuktikan bahawa strategi yang baik, pemilihan calon yang tepat serta disiplin yang kuat dalam melaksanakan rancangan akan membuahkan kejayaan cemerlang. Penilaian sentimen pengundi tempatan amat penting dalam merangka gerak kerja kempen.
Sekarang semua mata beralih kepada PRK DUN Mahkota di Kluang Johor yang bakal berlangsung pada 28 September depan. Semoga parti-parti yang bertanding bersikap lebih bertanggung jawab, menunjukkan contoh yang baik serta tidak lagi menyentuh soal 3R (agama, kaum dan raja) dengan apa cara sekali pun.
Ambillah iktibar daripada kejadian yang memurkakan Istana Selangor dan kini Istana Pahang. Ingatlah, kita rakyat bersultan dan hidup di negara beraja.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










