Pelanggan yang tiada adab, duduklah di planet Pluto? - Utusan Malaysia

Pelanggan yang tiada adab, duduklah di planet Pluto?

Pekerja p-hailing yang semakin ramai di negara ini menghadapi pelbagai kerenah pelanggan setiap hari. - Gambar hiasan/Syakir Radin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya mendapat emel daripada seorang pekerja rider p-hailing. Katanya, dulu dia ada membaca satu ruangan yang bernama ‘Akak Grab’ di akhbar ini. Tetapi tidak tahu ke mana perginya, kolum itu. Jadi, dia mencadangkan agar diwujudkan pula kolum Abang Grab atau Abang Foodpanda. Menulis kisah-kisah pengalaman mereka dan masalah yang berlegar dalam pekerjaan tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak mahu menjadi penulisnya kerana tidak tahu mengarang. Nanti tiada siapa yang mahu baca, katanya.

Pun begitu, dia meminta saya tulis tentang ini. Tentang segelintir pelanggan yang memesan makanan dan menganggap golongan penghantar makanan ini seperti kuli. Diherdik apabila lewat, dituduh curi makanan pun ada dan macam-macam lagi kerenah, bagaikan memang mahu mencari gaduh.

Tulisnya, pernah dia terlewat sedikit kerana menghantar makanan di tempat lain dulu kerana tempahan diambil secara kumpulan.

Katanya, pelanggan wanita itu kemudian menelefonnya berkali-kali agar hantar dulu ke tempatnya dengan suara yang tinggi. Sampai di apartmen wanita itu, sudahlah tingkat lima, terpaksa menapak ke atas sebab tiada lif, bila dihulur makanan terus kena bentak.

Pemesan makanan itu, menempelaknya tidak reti bahasa. Arahan mudah pun tidak boleh buat. Bukan buat kerja percuma, tetapi dibayar.

Tambah si pengadu, pada mulanya dia rasa mahu menjawab, tetapi membayangkan wajah ibunya yang sudah tua di rumah, dia pujuk hatinya. Mahu cari rezeki untuk keluarga, kena tahan sajalah telinga.

” Tak faham saya kak, orang perempuan kalau lapar memang begitukah? Kalau tak boleh jaga adab, tak boleh bercampur orang dengan baik, duduklah di planet Pluto,” tulisnya.

Pada saya, isu adab, tidak memberatkan kepada mana-mana gender, agama atau kaum. Yang bermasalah adalah diri sendiri dan bukan sekolah mana dia pergi belajar.

Kenapa perlu berlaku biadab dan menjadi pemarah? Lebih-lebih lagi apabila kita mengunakan tenaga orang lain untuk menyediakan makanan. Permudahkanlah urusan orang yang sedang mencari rezeki sebagaimana kita pun mahu segala urusan kita dipermudahkan.

Memanglah mereka ini dibayar tetapi agak-agak lah, caj penghantaran antara RM1 hingga RM5, arahan macam bayar beratus ringgit.

Pengguna ada pilihan, mahu cepat, pergi beli sendiri, mahu jimat masak sendiri. Tak perlu marah-marah. Masalah yang berserabut di kepala atau perut, jangan heret sama orang lain. Bagi saya, tiada tempat untuk orang biadab walau di planet mana sekali pun. – Mingguan Malaysia.

Segala pendapat atau pandangan boleh emelkan kepada [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN