ACARA sukan terbesar dunia Olimpik 2024, yang berlangsung di Kota Paris telah pun melabuhkan tirainya. Sukan Olimpik adalah acara sukan yang paling berprestij di dunia, yang memainkan peranan penting bukan sahaja dalam dunia sukan tetapi juga dalam membentuk masyarakat global. Ini adalah platform global yang menyatukan masyarakat dunia, memperjuangkan nilai-nilai murni dan memberi impak positif kepada ekonomi, sosial dan budaya.
Penggabungan sukan dengan budaya, pendidikan, dan kemanusiaan merupakan falsafah dan asas Olympism. Ini dapat mewujudkan gaya hidup yang seimbang di mana sukan berperanan sebagai alat untuk mempromosikan pelbagai aspek positif sejagat seperti kesepakatan, keamanan dan pembangunan masyarakat.
Falsafah Olympism diasaskan oleh Pierre de Coubertin, pengasas Modern Olympic Movement 120 tahun yang lalu. Coubertin bersemangat untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik melalui sukan. Itulah sebabnya beliau menubuhkan Olympic Movement.
Beliau percaya sukan boleh membantu menyatukan masyarakat, menghentikan peperangan dan menggalakkan persaingan sihat bebas daripada penipuan dan diskriminasi. Beliau ingin menunjukkan bagaimana sukan boleh menjadikan dunia tempat yang lebih baik dengan menggalakkan persahabatan, kebersamaan dan persaingan yang adil.
PRINSIP OLYMPISM
Olympism menekankan penyatuan sukan dan budaya, di mana aktiviti sukan bukan sekadar persaingan fizikal tetapi juga satu cara untuk menghargai dan menghormati kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang ada di dunia ini. Selain itu, Olympism merupakan program pendidikan Olimpik, di mana generasi muda dididik tentang pentingnya sukan, toleransi, dan kerjasama antarabangsa.
Atlet-atlet dari seluruh dunia, mewakili lebih daripada 200 negara berkumpul di perkampungan Olimpik dan ini menjadi platform di mana perbezaan budaya, politik dan sosial diketepikan dan semangat persatuan, keamanan dan kesatuan dipupuk.
Sukan Olimpik berfungsi sebagai jambatan dalam menyatukan negara-negara di seluruh dunia apabila atlet setiap negara bersaing dalam semangat persahabatan dan saling hormat-menghormati. Sukan Olimpik juga berfungsi sebagai saluran diplomasi dan kerjasama antarabangsa melalui interaksi di antara atlet-atlet yang bersaing.
Dengan itu, ketegangan politik dapat dikurangkan dan hubungan antarabangsa dapat ditingkatkan. Kerjasama dan toleransi antara budaya dan bangsa yang berbeza pula dapat menggalakkan integrasi budaya.
Olimpik menerapkan pentingnya penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian etnik, agama dan budaya dan ini menyumbang kepada dunia yang lebih inklusif.
Ini penting dalam dunia kini yang dipenuhi konflik, perbalahan dan perpecahan. Sukan bukan sahaja mengenai kemenangan tetapi juga pembangunan masyarakat. Olympism melihat sukan sebagai medium untuk memperbaiki kualiti hidup, menggalakkan kesihatan fizikal dan mental, mengukuhkan ikatan masyarakat.
Kemanusiaan dalam konteks Olympism merujuk kepada nilai-nilai etika dan moral yang ada dalam acara-acara sukan. Secara zahirnya, sukan ini mempromosikan nilai-nilai seperti semangat kesukanan, integriti dan keaadilan.
Atlet diajar untuk menghormati pesaing mereka dan mengutamakan usaha berbanding kemenangan semata-mata dan yang paling penting mempromosikan nilai persahabatan dan saling menghormati antara atlet, jurulatih dan semua yang terlibat dalam sukan. Nilai-nilai ini dapat membina hubungan yang positif antara individu dan masyarakat.
Upacara pembukaan dan penutupan Sukan Olimpik sering kali menjadi platform untuk menonjolkan warisan budaya dan negara tuan rumah. Ini memberikan peluang kepada negara tuan rumah untuk mempamerkan budaya, tradisi dan sejarah mereka kepada dunia.
Masyarakat seluruh dunia berpeluang merasai pertukaran budaya melalui interaksi dan pendedahan kepada pelbagai budaya semasa Sukan Olimpik.
Semangat Olympism juga memberi teladan yang positif kepada generasi muda di mana atlet Olimpik sering menjadi ikon dan model kepada mereka. Keberanian, ketabahan dan dedikasi atlet-atlet ini dalam mengejar kejayaan menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk mencapai impian mereka. Ini juga akan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, seterusnya menyedarkan masyarakat betapa pentingnya kesihatan fizikal dan mental.
Penyertaan negara-negara Dunia Ketiga dan Refugee Olympic Team dalam Sukan Olimpik memberi peluang kepada atlet dari negara-negara yang kurang berkemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Program Solidariti Olimpik menyediakan bantuan kewangan dan latihan kepada atlet-atlet dari negara-negara ini. Ini merupakan satu galakan yang besar agar semua dapat bersama-sama meraikan semangat Olimpik.
Olympism dan keamanan dunia Sukan Olimpik bukanlah sekadar acara sukan. Ia adalah platform global yang menyatukan manusia, memperjuangkan nilai-nilai murni dan memberikan impak positif kepada ekonomi, sosial dan budaya. Dengan menekankan perpaduan, inklusiviti dan pembangunan, Sukan Olimpik terus memainkan peranan penting dalam menjadikan dunia ini lebih baik dan manusia lebih bersatu.
Dunia tanpa konflik dan peperangan bukan sahaja dalam sukan malah di luar sukan. Kita masih belum terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan dan konflik dunia. Apa yang penting ialah keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat dunia dapat disemai. Semangat Olympism perlu dijiwai dalam dan luar sukan, bukan hanya sekadar simbolik di logo Olimpik, prinsip dan falsafahnya sahaja.
Olympism dan kemanusiaan saling berkait rapat dan saling menyokong dalam usaha untuk menjadikan sukan sebagai alat pembangunan sosial dan perpaduan global. Dengan mengutamakan nilai-nilai seperti persahabatan, keadilan dan toleransi, Olympism berfungsi sebagai model yang mempromosikan dunia yang lebih baik dan lebih bersatu melalui kuasa sukan. Satu aspirasi terbesar dapat dilihat melalui keamanan global yang dipromosikan oleh sukan terbesar ini. Dengan menyatukan atlet dan penonton dari seluruh dunia.
Sukan secara besar dan luasnya bertindak sebagai simbol perpaduan dan harapan untuk masa depan yang lebih aman seperti negara-negara yang bergolak dapat bertanding secara sihat dalam sukan ini. Adalah lebih mulia sekiranya semangat dan prinsip Olympism di temasya sukan Olimpik ini dijadikan amalan di luar sukan Olimpik. Jika ini berlaku, semestinya dunia akan menjadi lebih aman dan damai. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) Kuantan.










