MENJELANG tarikh 31 Ogos, esok, sudah semestinya rakyat Malaysia mengucap syukur atas ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67. Dengan kemerdekaan, kita bebas daripada penjajahan. Dengannya juga kita bebas melakukan ibadat walau di mana kita berada di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Islam adalah agama yang bertepatan dengan fitrah manusia. Ia juga menganjurkan hidup yang bebas dan merdeka. Walaupun begitu, kebebasan dan kemerdekaan yang dianjurkan itu bukan berdasarkan nafsu dan kehendak diri semata-mata. Ia hendaklah dipandu oleh ajaran Islam dengan matlamat menjaga maslahah atau kebaikan manusia.
Kebebasan dan kemerdekaan yang membawa kepada kebaikan diiktiraf dan diraikan. Itulah hakikat sebenar maksud merdeka. Sebaliknya, apa yang dirasakan merdeka dan bebas tetapi kesannya membawa kepada kemusnahan dan kemudaratan sama ada pada diri, masyarakat dan negara bukanlah termasuk dalam maksud kemerdekaan.
Kemerdekaan juga adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah. Sayangnya ada dalam kalangan kita yang kurang menghargai nikmat itu. Sehinggakan menyangka, kemerdekaan datang bergolek begitu sahaja. Justeru ada yang bagaikan tidak terasa nikmatnya.
Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya membebaskan hamba. Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Barang siapa yang membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan setiap anggota badannya daripada neraka sehingga dia terselamat dengannya.” (Riwayat Bukhari)
Jelaslah bahawa kemerdekaan adalah perkara yang amat bernilai dan perlu dimiliki oleh setiap insan. Dengan kemerdekaan, seseorang itu mampu melaksanakan pengabdian dan ketaatan kepada Allah SWT tanpa sebarang gangguan dan halangan.
Dalam masa sama, apabila ibadat dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan, maka iman seseorang akan lebih kukuh dan semakin dekat dengan Rabb-Nya. Sebab itulah, kemerdekaan adalah antara aspek terpenting dalam menjadikan seorang muslim itu dapat menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT.
Kemerdekaan yang lebih bermakna bagi umat Islam adalah kejayaan membebaskan diri daripada perangkap (talbis) iblis. Iblis adalah makhluk Allah yang pertama mendurhakai perintah Allah untuk bersujud kepada Adam kerana dia berasa dirinya lebih baik daripada Adam.
Maka talbis iblis adalah perangkap-perangkap yang dibuat oleh iblis dalam rangka memalingkan manusia daripada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Syaitan adalah anak keturunan iblis, makhluk halus sejenis dengan jin diciptakan daripada api. Tugasnya menyesatkan manusia.
Kalau hati kita tergerak untuk berbuat jahat maka itu tanda hati itu telah dirasuk syaitan.
Perihal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah- langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar…(An-Nur:21)
Dalam kitab Talbis Iblis, Ibnu al-Jauzy menjelaskan bahawa kerja iblis ialah ‘al-Talbis’ iaitu menzahirkan kebatilan dalam gambaran kebenaran, juga ‘al-Ghurur’ iaitu pembohongan dan mengaburi dengan kejahilan hingga timbul pegangan bahawa yang rosak itu betul dan yang keji itu elok.
Puncanya, adanya kekeliruan yang membawa kepadanya. Dia akan mempengaruhi manusia menurut kadar kemampuannya dan pengaruhnya itu bertambah dan berkurang menurut kadar kesedaran, kejahilan, kelalaian dan keilmuan manusia itu. (Talbis Iblis, Ibnu al-Jauzy 597H, ms:50).
TIGA IKATAN SYAITAN
Ikatan syaitan itu jika tidak dilepas akan mengganggu jiwa dan membuatkan seseorang muslim malas melakukan ibadah. Malah, syaitan akan terus bekerja menyesatkan manusia seawal waktu subuh saban hari. Tujuan syaitan supaya manusia lalai dan bersenang-senang serta mengisi kehidupan dengan berehat dan bermalas-malasan, yang amat disukai oleh hawa nafsu.
Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak. Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan. Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa. Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas. (Riwayat Bukhari)
Perangkap iblis ini turut menimpa orang alim dan berilmu. Ibnul Jauzi rahimahullah menyebut, ada sejumlah orang yang memiliki semangat tinggi sehingga menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu al-Quran, hadis, fikah dan sebagainya. Bahkan turut menguasai ilmu bahasa.
Namun, mereka juga tidak terlepas daripada hasutan syaitan. Bagi golongan seperti ini, iblis datang dengan tipu muslihat yang samar, lebih besar dan lebih hebat. Sebabnya, semakin tinggi tingkatan ilmu seseorang, maka semakin hebat juga tipu daya yang dilancarkan oleh iblis terhadapnya. Pendek kata, jika orang itu pangkatnya jeneral, maka syaitan yang datang juga berpangkat jeneral.
Iblis datang dengan tipu muslihat yang sangat samar sehingga mungkin tidak terasa dan tidak disedari oleh orang yang berilmu itu. Kerana iblis melihat dan menanti di mana kita lengah dan lalai. Lalu iblis membuat mereka menilai diri sendiri sebagai orang besar.
Ini penyakit manusia iaitu ujub. Diapun memandang dirinya sebagai orang besar. Apalagi itu disertai dengan populariti yang tentu fitnahnya akan semakin berat. Kerana sudah mendapatkan berbagai ilmu syar’i dan boleh memberi manfaat bagi orang lain. Terkadang muncul ‘ujub dan merasa bahawa semua itu adalah kerana keahlian dan kehebatannya.
Tipu daya iblis ini cukup licik. Dia bekerja keras memesongkan umat manusia agar lari daripada mentauhidkan Allah. Ahli ibadah dirosakkan amalannya dengan ditimbulkan rasa suka beribadah namun malas menuntut ilmu. Ahli ilmu dirosakkan dengan rasa ujub (kagum) dengan kebolehannya hingga timbul rasa serba cukup dan serba tahu.
Orang berkuasa dirosakkan dengan perasaan suka dipuja, disebut gelarannya dan tamak menghimpun harta. Orang yang sesat, dikaburi matanya hingga nampak yang sesat itu benar, yang benar itu sesat. Itulah kerja iblis tanpa jemu semenjak dihalau dari syurga akibat kesombongannya.
Kerja iblis ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (al-A’raf: 17)
Kemerdekaan sebenar orang mukmin adalah apabila dia hanya tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Agung. Ini kerana Islam adalah satu-satunya agama yang membebaskan manusia daripada belenggu syirik menyekutukan Allah SWT dan kufur serta amalan khurafat di zaman jahiliah.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










