Menanti filem inspirasi mengangkat tokoh, lagenda ahli akademik negara

Menanti filem inspirasi mengangkat tokoh, lagenda ahli akademik negara

PENERBIT filem perlu mengangkat nama-nama besar para cendekiawan dan ahli akademik negara sebagai sumber inspirasi buat rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2013, saya pernah menulis artikel dalam ruangan Rencana, Utusan Malaysia tentang kepentingan mengangkat kisah-kisah kebanggaan keperwiraan pejuang-pejuang tanah air menentang penjajah melalui filem Malaysia.

Alhamdulillah, dua tahun lalu, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan dan sangat berjaya mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia. Tidak keterlaluan dikatakan filem ini berjaya membuka lembaran baharu buat peminat-peminat filem Malaysia sehingga menjadi penanda aras baharu filem kepahlawanan wira-wira Malaysia.

Kisah kepahlawanan wira-wira Malaysia tidak sewajarnya terhenti setakat kisah-kisah sejarah menentang penjajah sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Misalnya, baru-baru ini, saya berkesempatan menonton tayangan awal filem Harimau Malaya: The Untold Journey, sebuah filem arahan Datuk Afdlin Shauki.

Filem ini mengingatkan saya tentang satu lagi filem bola sepak negara, iaitu Ola Bola yang ditayangkan beberapa tahun lalu. Kedua-dua filem ini menyaksikan jatuh bangun bola sepak Malaysia. Ola Bola sebuah naskah filem yang sangat menarik untuk ditonton sehingga menjadi gelombang baharu kepada rakyat Malaysia untuk menonton filem-filem genre sebegini.

Selepas filem Ola Bola, terhasillah beberapa filem yang mengangkat keperwiraan ahli sukan negara termasuklah filem tentang badminton. Sewajarnya selepas ini difilemkan pula kisah ahli sukan berbasikal negara.

Umum mengetahui, bola sepak merupakan sukan nombor satu di Malaysia. Rakyat Malaysia tidak kira usia, bangsa malah jantina amat menggemari sukan nombor satu di dunia ini.

Malaysia pada era 1970-an dan awal 1980-an sangat dikenali sebagai sebuah pasukan bola sepak yang disegani di peringkat antarabangsa. Sudah begitu lama kita tidak mengecapi kegemilangan ini sehinggalah baru-baru ini Malaysia sekali lagi berjaya melayakkan diri ke Piala Asia secara merit sejak 42 tahun.

Di balik tabir, tidak ramai yang mengetahui bagaimana pembangunan dan kemajuan bola sepak negara diusahakan bersungguh-sungguh oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam bola sepak Malaysia seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam apa jua sukan sekalipun, jatuh bangun sudah menjadi lumrah. Apa yang penting, sejarah yang lepas wajar dijadikan iktibar untuk mengorak langkah lebih pantas pada masa hadapan.

Untuk memacu sukan bola sepak negara, sudah tentulah kita tidak boleh sesekali mengharapkan FAM semata-mata. Semua pihak perlu memainkan peranan termasuklah masyarakat secara keseluruhannya.

Misalnya, baru-baru ini, pasukan bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), Jitra, Kedah menjuarai kejohanan bola sepak Piala Laola bawah 15 tahun di Jerman. Kejayaan ini sangat mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa kerana kejohanan tersebut melibatkan pasukan-pasukan bola sepak ternama di seluruh dunia. Pastinya kejayaan ini tidak melibatkan hanya satu pihak semata-mata.

Tonggak kejayaan sesebuah pasukan bola sepak bukan setakat terletak pada teknologi mahupun bakat luar biasa pemain dan sistem kejurulatihan serta pengurusan bola sepak yang bagus lagi mantap tetapi juga sokongan kuat di semua peringkat akar umbi termasuklah dalam kalangan media massa, sekolah dan juga para peminat negara.

RASUAH
Mengimbau kembali detik hitam bola sepak negara pada 1990-an yang mana ketika itu begitu ramai para pemain bola sepak kebangsaan ditangkap kerana terlibat dengan rasuah. Pada masa itu, lompang pemain-pemain bola sepak terbaik di Malaysia sukar diisi sehinggalah kesannya Malaysia berada dalam kedudukan yang sangat tercorot di persada bola sepak antarabangsa.

Ini membuktikan rasuah boleh memusnahkan apa jua kejayaan sebelum ini. Maka, untuk kembali berjaya dalam apa jua lapangan dan bidang, sifar rasuah sangat penting bagi memacu integriti dan etika yang akhirnya akan melonjak kejayaan sesiapa jua termasuklah organisasi ke peringkat yang tidak pernah diduga selama ini.

Sejak isu rasuah bola sepak berjaya ditangani, bola sepak Malaysia mula menampakkan sinarnya sehinggalah kemuncaknya Malaysia berjaya layak secara merit dalam Piala Asia baru-baru ini.

Meskipun gagal mara ke peringkat seterusnya apabila hanya mampu berada setakat dalam Kumpulan E, namun kejayaan mengikat pasukan bola sepak dunia, iaitu Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 menunjukkan Harimau Malaya berada dalam kelas tersendiri.

Insya-Allah, suatu hari nanti, Harimau Malaya mampu layak ke peringkat Sukan Olimpik, malah tidak mustahil mencatatkan kejayaan luar biasa layak di Piala Dunia. Inilah yang sangat diimpi-impikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

MARTABAT CENDEKIAWAN
Sayugia diingatkan, melalui sukanlah rakyat Malaysia bersatu hati tidak kira agama, bangsa dan usia. Kisah-kisah keperwiraan rakyat Malaysia sebegini boleh mengangkat jiwa-jiwa generasi muda untuk terus mencipta pelbagai lagi kejayaan buat negara.

Malah, kisah keperwiraan rakyat Malaysia yang telah difilemkan ini sewajarnya dipanjangkan dalam bidang-bidang lain terutamanya dengan menonjolkan tokoh-tokoh cendekiawan dan ahli akademik Malaysia.

Saya masih ternanti-nantikan para penerbit filem Malaysia menerbit filem yang mengangkat nama-nama besar para cendekiawan dan ahli akademik negara yang mana mereka ini merupakan tokoh dan legenda negara kita seperti Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Zaaba), Aminuddin Baki, Prof. Datuk Dr. Ungku Omar Ungku Ahmad, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Kisah mereka sangat menarik difilemkan bagi memberi inspirasi buat rakyat Malaysia agar suatu hari nanti terpahatlah nama pertama rakyat Malaysia yang dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel. Semoga menjadi realiti!-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN