Masyarakat kita semakin pincang hari demi hari

Masyarakat kita semakin pincang hari demi hari

KITA tidak lagi boleh terus dibuai sentimen selesa sedangkan hampir setiap minggu berlaku jenayah berat termasuk pembunuhan di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERDEKAAN manusia menurut ajaran Islam, dihimpunkan ke dalam kekuasaan Tuhan. Oleh sebab itu, maka merdeka dengan tidak ada himpunan, merdeka menempuh langkah sendiri-sendiri sahaja tidak memperdulikan orang lain, tidaklah ada. Bertambah lanjut fikiran manusia, bertambah terikatlah dirinya oleh akal budinya. Kalau dikaji sampai ke sana, tidaklah ada yang merdeka dalam alam ini. Isi alam mesti tunduk kepada peraturan. Barang siapa yang melanggar aturan, binasalah!” – Buya Hamka

Dalam mewacanakan lambakan kes-kes jenayah berat mutakhir ini, ramai orang awam enggan melihat hubung kait antara jenayah yang berleluasa dan masyarakat. Malah ada yang berkata setiap satu kes adalah terpencil dan terasing daripada satu dengan yang lain.

Namun dalam bidang kriminologi, yang mengkaji bagaimana masyarakat berinteraksi dengan jenayah mendapati setiap satu jenayah yang berlaku boleh dikaitkan secara terus dengan struktur masyarakat di mana ia berlaku. Perbuatan salah ini bukan hanya dilihat sebagai simptom kepincangan tetapi juga dikaji dari sudut pandang bahawa jenayah adalah hasil takrifan dan permainan kuasa dalam masyarakat melalui ‘bahasa’ yang digunakan.

Ini kerana ketidakadilan sosial dilihat sebagai landasan bagi membenarkan pihak berkuasa mentakrifkan sesuatu tindakan sama ada sebagai norma sosial yang diterima umum ataupun sebagai devian (penyimpangan tingkah laku) yang dianggap melanggar batasan nilai sosial.

Sebagai contoh, pada 2016, Dr. Chrystie Myketiak dari Universiti of Brighton di United Kingdom (UK) melihat bagaimana aspek ketidakadilan dalam masyarakat memberikan kesan langsung kepada pembentukan peribadi penembak rambang (mass-shooter).

Ringkasnya, kajian mendapati penembak rambang menggunakan bahasa (linguistik) untuk merasionalkan tindakannya melalui kerangka hegemoni berdasarkan ketidaksamaan sosial, khususnya dalam aspek kelas sosial. Maka di dalam negara seperti Amerika Syarikat (AS), di mana masyarakat sering berinteraksi dengan ketidakadilan sosial berlandaskan faktor etnik, bahasa, kelas sosial, agama dan jantina, tindakan penembak rambang cuba dikupas dengan meletakkan penjenayah sebagai subjek yang terbentuk daripada persekitarannya.

Daripada perspektif ini, banyak kajian kriminologi yang merumuskan seseorang penjenayah tidak lahir dan membesar secara semula jadi sebagai seorang devian sebaliknya yang menjadikan mereka sebegitu ialah kerana masyarakat yang ‘memaksanya’ untuk melanggar kawalan sosial yang ditetapkan.

Mutakhir ini, rakyat Malaysia disajikan dengan berita jenayah-jenayah berat hampir setiap hari. Jika dulu kes bunuh dianggap sebagai jenayah yang luar biasa dan sangat jarang didengari. Malang sekali kini hampir setiap minggu ada sahaja mayat yang ditemukan dibunuh dan kadang kala, pelaku yang dinamakan sebagai suspek dalam siasatan polis merupakan ahli keluarga atau kenalan mangsa sendiri.

Malah, dahulu tembak-menembak antara pihak polis dan penjenayah merupakan adegan luar biasa yang hanya berlaku dalam filem-filem aksi semata-mata. Sebaliknya kini, kita makin sering membaca berita bagaimana pihak polis terpaksa melepaskan tembakan kepada penjenayah yang cuba melarikan diri.

Adakah sesuatu yang amat pincang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia? Adakah kes-kes jenayah berat suatu simptom ketidakadilan sosial dalam masyarakat? Atau adakah rakyat yang semakin berani membuat pelbagai jenis onar serta tidak takut lagi melakukan jenayah berat merupakan produk hasil daripada ketidaksamaan kuasa di antara ahli masyarakat dan pemerintah?

Tanpa masyarakat mengkaji dan mewacanakan fenomena terkini di dalam negara, mustahil untuk kita selami dan fahami mengapa sesuatu insiden itu berlaku.

Tidak pelik apabila ada netizen yang begitu yakin setiap satu insiden adalah kejadian terpencil sedangkan setiap perkara yang berlaku mempunyai punca, kesan dan akibat dari sudut bidang sosiologi.

ISLAMOFOBIA
Sebagai contoh, pasca 9 November 2001 (9/11) di AS, insiden kebencian terhadap Islam dan Muslim melonjak tinggi. Setiap yang dilihat berkaitan dengan agama suci ini dipandang penuh prejudis sehinggakan rakyat AS yang tidak pernah mengetahui tentang Islam sekalipun memandang agama ini dengan penuh kebencian. Ramai yang menegaskan bahawa prejudis terhadap Islam adalah munasabah, kesan daripada tindakan pengganas yang beragama Islam menyerang tugu kebangsaan di New York.

Sedangkan kajian oleh Dr. Elif Bulut dari Universiti Ipek Ankara pada 2015 mendedahkan bahawa sikap negatif terhadap umat Islam bukanlah berdasarkan ketakutan terhadap serangan pengganas, terutamanya serangan 9/11.

Sebaliknya, Islamofobia berpunca daripada pandangan bahawa cara hidup Amerika adalah yang terbaik dan mana-mana sub-budaya yang berbeza daripada cara hidup ini dilihat sebagai ancaman kepada nilai tradisional di negara berkenaan.

Sebagai pelajar undang-undang, saya tidak lagi melihat kawalan sosial, dalam bentuk hukuman yang ditetapkan kerangka perundangan, sebagai berkesan. Ada kerosakan dalam masyarakat kita yang ‘merdeka’ daripada campur tangan luar tetapi masih terikat dengan tindakan biadab devian dan penjenayah yang tidak mahu mengikut peraturan yang terbentuk dalam masyarakat.

Menelusuri mengapa fenomena ini menular dalam masyarakat adalah mustahak agar kita tidak lagi terusan dibuai sentimen selesa dalam pada masyarakat kita semakin membarah.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN