tan Anwar perkukuh hubungan bilateral Malaysia-India

Lawatan Anwar perkukuh hubungan bilateral Malaysia-India

LAWATAN Anwar Ibrahim ke India menzahirkan pelbagai peluang yang amat baik bagi Malaysia terutamanya dalam mendapatkan sokongan India sebagai salah sebuah negara anggota BRICS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN diplomatik antara Malaysia dan India telah lama terjalin semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka, malah lebih awal dari itu ketika zaman tamadun Kedah Tua. Petempatan orang-orang India di negara ini dapat dilihat melalui tempat-tempat yang menjadi entrepot perdagangan.

Hubungan antara kedua-dua tamadan iaitu Melayu dan India diperkukuhkan lagi dengan kedatangan fasa pertama masyarakat dari benua kecil India untuk bermastautin di Tanah Melayu dan berkahwin dengan masyarakat tempatan.

Perkara ini berlaku dengan agak aktif ketika era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, kerana Melaka juga sebagai mana Kedah Tua yang lebih awal tamadunnya adalah sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan terpenting di rantau ini.

Hubungan ini bukan sekadar hubungan ekonomi dan diplomatik biasa namun lebih dari itu berdasarkan hubungan tamadun. Masyarakat dari India bercampur dengan penduduk di alam Melayu dengan baik melalui bahasa, kebudayaan dan cara hidup.

Kedatangan fasa kedua kaum India ke Tanah Melayu kemudiannya berlangsung pada zaman kolonial Inggeris melalui sistem kangani, sehingga berlakunya integrasi budaya antara masyarakat Melayu dan India sehingga kini.

Rentetan daripada sejarah itu, Malaysia yang merdeka mempunyai hubungan yang cukup baik dengan India kerana terdapat hubungan ketamadunan yang agak rapat ditambah dengan kaum India yang kini menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Maka kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan India adalah teman akrab bagi Malaysia sememangnya mempunyai asas kerana hubungan akrab ini diikat dengan kedekatan antara kedua-dua tamadun, yakni tamadun alam Melayu dan Tamadun India.

Mengimbas sejarah persahabatan Malaysia-India moden, hubungan diplomatik antara Malaysia dan India telah dimeterai pada tahun 1957 ketika Malaysia mencapai kemerdekaan. Perdana Menteri dari kedua negara, Tunku Abdul Rahman dan Jawaharlal Nehru secara bersama t membangunkan hubungan baik dan mempromosikan kepentingan bersama di kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik dalam dasawarsa mutakhir ini diperkukuhkan melalui pelbagai kerjasama dan jaringan persahabatan yang begitu teguh. Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi telah mengangkat darjat persahabatan antara kedua-dua buah negara ke takah yang lebih tinggi melalui tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B to B) membabitkan kedua-dua negara dimeterai, selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G to G). Nilai perdagangan Malaysia-India pada 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac lalu dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan.

​Hubungan diplomatik Malaysia-India bukan sahaja diikat dengan sentimental budaya dan tamadun, namun memberikan pulangan menang-menang kepada kedua-dua negara melalui aspek ekonomi dan perdagangan. Hal ini perlu diambil kesempatan oleh Malaysia kerana India mempunyai nilai pasaran yang sangat besar dengan populasi rakyat terbesar di dunia, yang mana ia menghadirkan peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat Malaysia melabur di sana.

​Sebelum lawatan Perdana Menteri ke India, Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia juga mengeluarkan kenyataan pada 2022 bahawa kerjasama dalam bidang ekonomi, politik, perdagangan dan juga pendidikan antara India dan Malaysia mampu dikembangkan ke tahap yang lebih besar.

Menurutnya lagi, kedudukan dan hubungan ekonomi India-Malaysia membuka banyak peluang untuk jalinan kerjasama antara kedua-dua negara. Bidang ekonomi digital, penjagaan kesihatan yang saksama, tenaga boleh diperbaharu dan kecekapan syarikat India dalam teknologi digital, teknologi kewangan dan tenaga boleh baharu yang menurutnya menawarkan sinergi hebat untuk perkongsian. Begitu juga dengan syarikat Malaysia yang cekap dalam pembinaan, infrastruktur, pembuatan elektronik dan dalam bidang lain selain berpeluang besar terbabit dalam pelan pengembangan infrastruktur serta misi semikonduktor negara itu.

​Selain itu, jalinan usaha sama perdagangan juga boleh dilaksanakan dalam beberapa produk atau sektor termasuk barangan elektronik, farmaseutikal, hasil pertanian dan organik serta produk marin yang berpotensi besar serta menguntungkan. Jelas bahawa hubungan diplomatik Malaysia-India telah berkembang dengan sangat baik dan memberi keuntungan kepada kedua-dua buah negara.

​Sektor pendidikan juga antara fokus utama dalam hubungan bilateral Malaysia-India. Melalui sektor pendidikan, Malaysia-India membincangkan peluang untuk meningkatkan bilangan pelajar dan pengajar Malaysia di negara tersebut melalui program mobiliti, selain jemputan untuk institut pengajian tinggi di Malaysia bagi  meneroka peluang kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di India.

Perkara ini disahkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui hebahan kunjungan rasmi Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N Reddy, dan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi  ketika lawatan Anwar yang mana secara spontan menawarkan 100 biasiswa untuk anak-anak Malaysia yang belajar di India, begitu juga dalam isu visa yang memerlukan keputusan segera berdasarkan perkembangan semasa.

​Melalui jaringan kerjasama erat antara Malaysia-India dalam bidang pendidikan, sudah pasti membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan dan kemajuan pendidikan kerana baik Malaysia mahupun India mempunyai kepakaran tertentu yang boleh dijana demi kebaikan kedua-dua buah negara.

​Lawatan Anwar ke India menzahirkan pelbagai peluang yang amat baik bagi Malaysia terutamanya dalam mendapatkan sokongan India sebagai salah sebuah negara anggota BRICS yang mana Malaysia telah menzahirkan keinginan untuk menyertai pakatan blok ekonomi yang menghimpunkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, bersama-sama Mesir, Habsyah, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Tuntasnya, dunia hari ini memerlukan lebih banyak kerjasama dan persefahaman antara aktor negara dan bukan lagi persaingan untuk menang dan mengatasi antara satu sama lain.

​Sekiranya hubungan kerjasama dapat dipertingkatkan antara aktor negara, sudah pasti di masa akan datang dunia yang lebih aman tanpa persengketaan, permusuhan dan perang dapat direalisasikan. Melalui lawatan itu membawa isyarat jelas betapa diplomasi melalui rundingan dan persetujuan dengan negara kuasa besar serantau seperti India ini mampu memaksimumkan kepentingan nasional Malaysia dalam pemberdayaan ekonomi negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN