PADA Isnin lalu (29 Julai 2024), Presiden Indonesia, Joko Widodo secara rasmi menamakan bangunan pejabat presiden di Ibu Kota Nusantara sebagai Istana Garuda.
Rekaan burung garuda yang menghiasi bangunan itu apabila siap sepenuhnya akan memiliki ketinggian 77 meter (m) dan sayap burung pula sepanjang 177m.
Burung garuda bukan sesuatu yang asing bagi Indonesia. Lambang atau jata negara itu dinamakan Garuda Pancasila. Malah, burung garuda wujud dalam mitos Hindu di Jawa dan Bali sejak dahulu.
Di Malaysia, garuda juga muncul sebagai watak penting dalam Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah. Diceritakan bagaimana sewaktu angkatan Raja Merong Mahawangsa berlayar dari Rom ke China, mereka diserang seekor garuda.
Tidak dapat dinafikan hubungan garuda dengan negara India dan agama Hindu. Malah, ada pengkaji mengatakan peristiwa serangan garuda dalam Hikayat Merong Mahawangsa adalah simbolik kepada serangan tentera Hindu dari India.
Dalam Kamus Dewan, ejaan ‘geroda’ digunakan untuk merujuk burung besar menyerupai helang dalam sastera klasik dan dikaitkan dengan Dewa Vishnu dalam tradisi Hindu.
Dalam bahasa Sanskrit, garuda juga dikenali sebagai garula. Ia merupakan wahana atau kenderaan tunggangan Dewa Vishnu. Perkara ini tidak menghairankan kerana dalam mitos Hindu, setiap dewa dan dewi biasanya ada binatang khusus sebagai kenderaan atau tunggangan.
Agak menarik kerana watak garuda ini ada kisah dan sejarah sendiri yang disajikan dalam legenda, mitos dan karya purana. Dalam buku Khanda Purana (2022), saya menghuraikan tentang keturunan dewa, gandharva, daitya, naga dan sebagainya yang merupakan anak-anak kepada Maharishi Kasyapa.
Menurut cerita, kedua-dua isteri Kasyapa mahukan anak. Seorang mahukan 1,000 anak lelaki. Seorang lagi mahukan dua anak lelaki yang memiliki kekuatan 1,000 orang lelaki.
1,000 anak yang lahir itu menjadi keturunan awal golongan naga. Dua anak yang dilahirkan isteri kedua dinamakan Aruna dan Garuda. Aruna menjadi penunggang kereta kuda bagi Dewa Surya manakala Garuda menjadi tunggangan Dewa Vishnu.
Watak Garuda juga muncul dalam tradisi agama Buddha. Kisah persengketaan antara Garuda dan keturunan naga juga diceritakan dalam teks Buddha.
Sama ada di India atau di Nusantara, watak Garuda biasanya digambarkan sebagai lelaki yang memiliki kepala dan sayap burung menyerupai helang. Ia sering digambarkan bersama-sama Dewa Vishnu. Namun, sering pula digambarkan sendirian dan dalam rupa burung menyerupai helang.
Dalam tradisi Jepun, burung mistik ini digelar sebagai Karuna yang memiliki tubuh manusia dan kepala burung. Di Mongolia, ia dikenali sebagai Khangarid dan menjadi simbol keberanian.
Watak garuda dikenali sebagai Galone dalam epik klasik Burma (Myanmar). Di Nepal juga ia sangat terkenal. Mitos garuda turut menyerap masuk ke dalam budaya penduduk Filipina, khususnya di wilayah Luzon dan Palawan.
Sebagaimana Indonesia, Thailand juga amat menghargai unsur budaya India-Hindu yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarahnya. Garuda di Thailand dinamakan Phra Khrut Pha yang membawa makna Garuda, wahana Dewa Vishnu. Selain dijadikan simbol diraja, garuda juga dipaparkan pada mata wang Baht dan pada binaan wat (tokong Buddha).
Terdapat teks klasik bertajuk Garuda Purana dalam tradisi Hindu. Ia bukan koleksi cerita tentang asal usul garuda tetapi kitab yang memperkatakan khusus mengenai Dewa Vishnu dan hal-hal berkaitan mazhab Vaishnava.
Kisah tentang garuda terdapat dalam puisi Sanskrit bertajuk Suparnakhyana (Bab Burung). Cerita ini kemudian dikembangkan dan dimasukkan dalam epik Mahabharata yang terkenal di seluruh dunia.
Dalam epik Ramayana pula ada watak burung bernama Jatayu dan Sampati. Mereka merupakan anak kepada Aruna, iaitu abang kepada Garuda.
Diceritakan bahawa semasa Ravana menculik Sita dan membawanya terbang dalam vimana (kapal terbang magis), Jatayu cuba menghalang. Berlaku pertempuran hebat di udara dan akhirnya Ravana mencantas sayap Jatayu.
Tempat jatuhnya Jatayu yang cedera tidak diketahui secara khusus. Mengikut cerita rakyat penduduk di negeri Kerala, Jatayu jatuh menimpa kawasan berbatu di Chadayamangalam. Patung burung setinggi 21m, sepanjang 61m dan selebar 46m dibina di sana untuk merakam dan mendokumentasi peristiwa Jatayu jatuh di kawasan itu.
Penduduk di negeri Andhra Pradesh pula percaya burung mistik itu jatuh di kawasan Lepakshi. Menurut cerita, Rama dalam epik Ramayana telah berkata Le Pakshi atau bangunlah, wahai burung dalam bahasa Telugu. Maka, tempat itu dinamakan Lepakshi.
Penduduk di negeri Tamil Nadu pula percaya Jatayu jatuh di kawasan Thiruputkuli. Upacara terakhir selepas kematian burung itu dikatakan dilangsungkan di sebuah kuil di sana.
Patung dan berhala garuda boleh dilihat di kebanyakan kuil Dewa Vishnu. Di Thailand, China dan Kemboja pula, patung dan ukiran garuda sering kelihatan menghiasi wat Buddha.
DIABADIKAN
Keunikan dan makna simbolik garuda masih diraikan dan diabadikan sehingga kini. Contoh terkini apabila pejabat presiden di Nusantara dinamakan Istana Garuda.
Malah, sistem penerbangan di negara itu dinamakan Garuda Indonesia. Patung dan topeng garuda menjadi cenderamata unik di Jawa dan Bali. Malah, kompleks Garuda Wishnu Kencana di Bali menampilkan patung garuda setinggi 75m.
Di Jakarta pula, banjir pada 2007 mengorbankan 50 nyawa dan lebih 300,000 orang terpaksa berpindah. Selepas itu, pelbagai cadangan dikemukakan untuk mengatasi masalah bencana alam di sana.
Salah satu cadangan ialah pembinaan Tambak Besar Garuda di Teluk Jakarta.
Tambak itu direka menyerupai garuda yang sedang terbang dan sayapnya melindungi Jakarta serta kawasan sekitar daripada bencana banjir besar.
Ternyata, garuda tetap dilihat sebagai simbol perlindungan dan keselamatan dalam tradisi Nusantara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










