BARU-BARU ini, isteri saya membeli buah nona (serikaya) yang berbentuk seperti hati. Atau adakah ia sebenarnya berbentuk seperti jantung? Sebagai individu yang turut berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Malayalam, timbul pertanyaan dalam diri tentang istilah paling tepat.
Turut muncul dalam fikiran ialah lagu Si Jantung Hati (1984) nyanyian Ade Putra serta filem komedi Si Jantung Hati (1986) lakonan Nassier Wahab dan arahan A.R. Badul.
Drama bersiri Si Jantung Hati arahan Zainorhisyam Samudin di sebuah stesen televisyen swasta mulai 7 Februari lalu mengangkat kisah seorang pemuda menerima jantung babi menerusi pembedahan pemindahan organ.
Tidak lupa juga album Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (1988) oleh Ramlah Ram yang merupakan album artis Melayu pertama terjual 300,000 unit dan tercatat dalam Malaysia Book of Records.
Dalam kosa kata Melayu, ada banyak frasa berkaitan hati. Misalnya, sakit hati (rasa tersinggung, marah, dihina), susah hati (risau, sedih), hati batu (degil, tiada belas kasihan) dan hati emas (suka menolong, membuat kebajikan).
Rangkai kata hati binatang (bengis), hati perut (bertimbang rasa), hati waja (tidak mudah kecewa atau putus asa) dan hati walang (khuatir, bimbang) menunjukkan kebijaksanaan masyarakat silam menggambarkan pelbagai situasi dalam kehidupan seharian.
Peribahasa ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ turut menjadi bukti pemikiran kreatif dan kritikal. Frasa hati budi pula merujuk keperibadian seseorang yang biasanya jelas terpancar melalui tingkah laku, sikap dan pertuturan.
Dalam pada itu, frasa buah hati yang merujuk kepada orang yang dikasihi juga disebut jantung hati. Ternyata ia tidak membantu menjawab pertanyaan awal saya tentang perbezaan penggunaan kata ‘hati’ dan ‘jantung’.
Organ dalaman yang dipanggil hati atau liver dalam bahasa Inggeris merujuk bahagian tubuh berwarna perang kemerahan. Ia mengeluarkan hempedu dan membersihkan darah dalam tubuh.
Perkataan hati juga sebenarnya merujuk bahagian tengah sesuatu objek, misalnya hati nanas ialah batang tengah yang agak keras di dalam buah itu apabila dipotong.
Kita pula lebih mengenali hati sebagai batin atau tempat melahirkan segala perasaan. Malah, mungkin pada masa sekarang, kita tidak pun ada masa untuk memikirkan semua itu.
Frasa ikut hati mati mengingatkan kita bahawa jika terlalu mengikut nafsu dan perasaan, maka boleh membawa kebinasaan dan kerugian. Maka, kita diingatkan supaya berfikir tanpa terlalu mengikut perasaan. Seolah-olah, hati adalah tempat penuh emosi tetapi tiada ruang untuk fakulti berfikir.
Namun, apabila kita melihat perkataan seperti berhati-hati (berwaspada, teliti), perhatian (tumpuan, penuh minat) dan memperhatikan (mengamati dengan teliti), ternyata perbuatan itu bukan hanya dibuat dengan hati (perasaan) tetapi melibatkan pemikiran dan kebijaksanaan.
Dalam perbualan harian, kita mungkin menggunakan frasa hati berdebar-debar. Malah, portal Hello Doktor (30 Mei 2024) menyebut hati berdebar-debar dan sesak nafas sebagai simptom pelbagai masalah kesihatan.
Penggunaan yang betul ialah jantung berdebar. Misalnya, kita menggunakan degup jantung dan bukannya degup hati apabila merujuk kepada heartbeat. Kekeliruan akan hilang apabila kita berfikir sebentar dan menyedari perbezaan antara fungsi organ hati dan jantung.
Topik ini turut mengingatkan saya kepada dua lagi peribahasa Melayu yang jarang digunakan. ‘Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang’ merujuk kepada individu yang tidak ada perasaan. Manakala, peribahasa hati bak serangkak dibungkus adalah situasi di mana kita sangat berharap dapat memiliki sesuatu yang diingini.
Selain merujuk organ berotot yang mengepam darah ke seluruh tubuh, istilah jantung dalam budaya Melayu turut merujuk apa-apa objek yang bentuknya seperti jantung, misalnya gasing jantung.
Timbul semula pertanyaan tentang bentuk seperti jantung yang disebut heart shaped dalam bahasa Inggeris tetapi biasanya disebut bentuk hati dalam bahasa kebangsaan.
Sebenarnya, frasa bentuk hati mempunyai makna kiasan (idiomatik) berunsur metafora dan simbolik. Agak menarik kerana dalam budaya Melayu, hati dilihat sebagai tempat segala perasaan tersimpan. Misalnya, sakit hati, susah hati dan jatuh hati.
Sementara itu, jantung betis juga disebut buah betis dan merujuk kepada daging pada betis. Kosa kata Melayu termasuk jantung paha dan jantung tangan walaupun hampir tidak digunakan pada masa sekarang.
Sekurang-kurangnya, kita masih kenal jantung pisang iaitu kuntum bunga pisang yang sedap dibuat ulam atau dimasak lemak. Sementara itu, cacing jantung merujuk parasit yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru, jantung dan organ lain pada haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing.
Peribahasa makan hati berulam jantung bermakna seseorang sedang sedih dan menderita akibat perbuatan orang lain. Akan tetapi, jangan pula sampai menyebabkan serangan jantung (heart attack) yang nampaknya semakin kerap berlaku tanpa mengira usia dan latar kesihatan.
Berbalik kepada buah nona tadi, apabila dipaparkan di Facebook, beberapa rakan memberi pandangan. Sasitharan dan Shree Valli melihatnya berbentuk jantung.
Mahendran memberi komen si jantung hati, Varatharasan menulis cantuman dua jantung, Lalita Sinha memilih buah hati, Farouk Gulsara melihatnya sebagai jantung penuh tompok hitam (dengki) manakala Azizah merasakan boleh dianggap salah satu.
Dalam bahasa Malayalam, jantung disebut hridayam. Sebutan dalam bahasa Sanskrit dan Tamil pula hrdayam dan itayam. Amat menarik kerana setiap suku kata yang membentuk perkataan itu ada makna tersendiri mewakili fungsi organ berkenaan.
Suku kata ‘hr’ merujuk harati yang bermaksud ambil, ‘da’ merujuk dadati yang bermakna memberi dan ‘yam’ pula merujuk yati yang bermaksud edar. Maka, nama itu sendiri menggambarkan fungsi jantung sebagai organ yang bertugas mengambil, memberi dan mengedarkan darah ke seluruh tubuh.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










