Negeri maju, lampu isyarat pun kenalah maju

Negeri maju, lampu isyarat pun kenalah maju

PEMANDANGAN udara keadaan lalu lintas sesak dari arah Shah Alam ke susur Penchala Link di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam pada waktu puncak di Damansara Perdana. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESAK, ‘melekat’ adalah situasi yang sangat sebati dengan penduduk di negeri yang kaya ini kerana status metropolitannya penuh dengan kawasan perniagaan, perindustrian, perumahan serta pelbagai fasiliti dan infrastruktur termasuk pusat pengangkutan awam.

Malah, dengan kepesatan pembangunan pengangkutan awam, kemudahan itu masih belum dapat mengatasi kesesakan trafik walaupun sudah berpuluh tahun dibangunkan. Jumlah bas awam di Singapura pun lagi banyak berbanding Lembah Klang.

Bagaimanapun, jika kita memahami punca kesesakan lebuh raya-lebuh raya utama di Selangor, selain sikap pemandu yang suka memandu perlahan di lorong tengah atau memotong dan menukar laluan sesuka hati, persimpangan juga boleh jadi punca!

Antara puncanya adalah keberkesanan lampu isyarat di persimpangan selain mengawal aliran keluar masuk kenderaan, sejauh mana ia membantu mengurangkan kesesakan? Atau tak bantu langsung?

Sebagai contoh di persimpangan Rasa, Hulu Selangor yang ditutup lampu isyaratnya dekat simpang tiga di jalan utama, pada bulan lalu ditutup selepas penduduk memberitahu ia menyebabkan kesesakan di kawasan tersebut.

Kalau ditempat lain, misalnya persimpangan berangkai di Jalan Subang, Glenmarie, persimpangan Taman TTDI Jaya yang menghubungkan Lebuh raya Guthrie terkenal dengan jolokan ‘traffic light 199’, tetapi sekarang angka 199 tu sudah tiada dan digantikan dengan ‘–’ yang menjadi teka-teki terutama bagi pemandu yang terpaksa berhenti di depan sekali.

Sebenarnya dalam tempoh 2022 hingga 2024 (sekarang) banyak perubahan berlaku dekat sepanjang jalan yang mempunyai enam persimpangan termasuk menghubungkan Lebuh raya Persekutuan.

Daripada kesesakan sepanjang kira-kira 3 kilometer (km) menjadi sekitar 2 atau 2.5 km dari Lebuh raya Guthrie pada waktu puncak antara pukul 7.30 hingga 9.30 pagi. Kalau pada waktu petang pula, ia sesak dan ‘berjangkit sampai Lebuh raya Persekutuan berhampiran Seksyen 13 dan ia masih berlaku pada hari ini.

Sebenarnya, dengan gelaran metropolitan, Selangor dan Kuala Lumpur sudah sepatutnya meletakkan alat pengesan (sensor) di kesemua hampir 700 persimpangan lampu isyaratnya, kalau yang masih belum ada, perlu pasang.

Kemudian, sensor tersebut perlulah efektif dan bersensitiviti tinggi supaya pemandu tidak perlu menunggu terlalu lama dan banyak kali berhenti ketika lampu merah untuk melepasi persimpangan.

Situasi tersebut pastinya berlaku dekat kawasan-kawasan yang mempunyai lampu isyarat paling banyak, seperti tiga daerah di negeri ini iaitu Hulu Langat, Petaling dan Klang masih-masing ada 143, 103 dan 124 persimpangan.

Kalau di Petaling, contohnya dekat Persiaran Mokhtar Dahari yang baharu sahaja dinaik taraf jalannya di kedua-dua arah antara Kampung Budiman dengan Puncak Perdana. Bila waktu pagi, kesesakan di persimpangan Alam Budiman langsung tidak boleh ‘dibawa bincang.’

Kesesakan yang berlaku itu lebih 3km sampai dekat persimpangan Akademi Bola Sepak Merah Kuning, pada waktu pagi, kenderaan di persimpangan Jalan Paip pun belum tentu dapat bergerak walaupun tiba giliran lampu hijau akibat kesesakan lampu isyarat yang tidak efektif di Alam Budiman.

Pada waktu petang pula sekitar pukul 5 hingga 8.30 malam, persimpangan tersebut menyebabkan kesesakan yang sebelum ini berdepan masalah ‘bottleneck’ di Puncak Perdana, kini masih belum selesai walaupun jalan sudah dinaiktaraf dan di tambah lorong.

Pernah ditanya kepada pihak berkuasa ketika projek naik taraf jalan berkenaan diumumkan pada tahun lalu, namun disalahkan pula kesesakan berpunca daripada Lebuh raya Damansara Shah Alam (DASH). Alangkah baik kalau sensor bersensitiviti tinggi dipasang dekat lampu isyarat persimpangan tersebut.

Itu baru di Alam Budiman, belum lagi di Klang, terutama dekat Persimpangan Jalan Haji Sirat di Jalan Perindustrian Kapar – Meru di Bandar Bukit Raja. Walaupun mutu permukaan jalan ditambah baik, namun kesesakan tidak berkurangan akibat lampu isyarat yang masih beroperasi cara lama di situ dan persimpangan Lebuh raya Selat Klang yang terletak kurang 1km dari situ.

Begitu juga di Setia Alam, Shah Alam serta Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, Batu 14, Hulu Langat dan kawasan-kawasan lain di Bangi dan Kajang.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN