Legasi Melayu-Islam warisan utama negara

Legasi Melayu-Islam warisan utama negara

KONTRAK sosial diwujudkan bagi mencapai titik tengah yang dipersetujui oleh wakil pemimpin Melayu, Cina dan India, bukan sahaja perlu dihormati tetapi ia satu perjanjian kesefahaman menjurus kemerdekaan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENONJOLAN hanya warisan kelompok bukan asal dan tiada langsung warisan kelompok asal dalam apa-apa jua perkara, apatah lagi acara kebudayaan dan pada peringkat antarabangsa pula, bukan sahaja tidak mencerminkan kemajmukan negara ini yang tidak sesekali sebarangan. Juga ia membelakangkan hakikat bahawa negara ini bertuan semenjak azali lagi.

Dengan ini, perbuatan sedemikian adalah sangat biadab yang tidak boleh sesekali dimaafkan.

Ini kerana kelompok bukan asal yang sudah lama bermastautin di sini harus mengetahui bahawa mereka tinggal di sebuah negara Melayu-Islam. Oleh itu, mereka diperlukan, malah wajib akur kepada resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Antara yang terpenting ialah selalu mengingati bahawa etnik Melayu adalah tuan milik tempat yang mereka datangi ini, lebih-lebih lagi di Semenanjung.

Sebenarnya dalam pewartaan sesebuah tempat itu sebagai tapak warisan dunia, ia pertama-tamanya dihemati dari segi nilai kesejagatannya yang luar biasa kepada manusia agar dapat dinikmati oleh warga dunia.

Dalam hal ini, warisan kelompok asal adalah bukan sahaja legasi utama di tempat berkenaan. Ia juga adalah masa lampau tempat itu yang wajib diangkat untuk dihargai kini dan diwarisi pada masa hadapan. Sehubungan ini, mana boleh ia tidak ditonjolkan langsung, termasuk dalam usaha promosi sesuatu acara berkenaan dengan tempat itu, apatah lagi secara signifikan dalam acara sebenarnya kemudian.

Lebih penting lagi dalam isu penonjolan ini ialah warisan kelompok asal amat penting untuk melindungi identiti usul tempat tersebut, selain memperingatkan para pengunjung pada acara yang dianjurkan itu, tentang sejarah awal dan perkembangan yang selanjutnya. Antaranya ialah kewujudan kelompok asal jauh terlebih dahulu sebelum munculnya kelompok bukan asal di tempat itu.

Sebenarnya perkara sepenting ini tidak boleh sesekali terlepas pandang oleh mana-mana pihak, apatah lagi disengajakan. Ini kerana ia bukan sahaja tidak menjaga sensitiviti kelompok asal yang pasti akan membangkitkan kemarahan mereka. Juga ia boleh ditanggapi sebagai percubaan untuk memadamkan sejarah tempat tersebut dengan menonjolkan legasinya yang hanya terdiri daripada warisan kelompok bukan asal.

Tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan warisan kelompok bukan asal, termasuk oleh penjajah Inggeris pada penghujung abad 18, adalah signifikan di tempat berkenaan. Namun ia tidak boleh sesekali menghalalkan tindakan untuk menyisihkan hakikat bahawa etnik Melayu juga adalah antara unsur, malah yang utama dalam pertukaran budaya yang berlaku di situ.

Oleh itu, sangat tidak patut apabila warisan kelompok asal ini tidak dianggap penting untuk dipromosikan dan barangkali diangkat pun untuk ditonjolkan seperti yang mahu dilakukan bagi warisan kelompok bukan asal.

Seperkara penting dalam isu ini yang membelakangkan kelompok asal ialah mengapakah aspirasi nasional yang sama-sama dilakar pada Perjanjian Etnik 1955 atau lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial itu, gagal difahami sehingga kini.

Antara yang terpenting ialah etnik Melayu memberi kerakyatan kepada yang bukan Melayu agar bukan sahaja mereka boleh terus tinggal di negara ini. Juga untuk sama-sama menggarap aspirasi nasional yang dipersetuju bersama itu.

Oleh itu, etnik Melayu selaku tuannya haruslah bukan sahaja selalu dihormati, malah harus juga dilihat sebagai dihormati pada setiap masa. Dengan ini, ia bermakna hanya pengakuan menghormati etnik Melayu tidak mencukupi.

Sebaliknya ia harus betul-betul dilakukan. Dalam kes ini, warisan Melayu-Islam hendaklah ditonjolkan untuk memperlihat penghormatan itu pada perlakuannya yang sebenar dan bukannya sekadar pengakuan semata-mata di bibir yang tidak pun dilakukan apa-apa selepas itu.

Untuk aspirasi nasional pada unsur Melayu-Islam itu, antara yang wajib diberi perhatian ialah bahasa Melayu yang telah diangkat menjadi bahasa negara, dengan berperanan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Ia hendaklah diutamakan pada setiap masa. Sehubungan ini, ia tidak boleh sesekali dikesampingkan dengan kadar penggunaannya yang jauh lebih rendah, apatah lagi langsung tidak digunakan.

KESEDARAN
Selain bahasa Melayu, Islam sebagai agama persekutuan hendaklah juga dilindungi pada setiap masa, termasuklah oleh kelompok bukan Melayu dan Islam. Antara caranya ialah dengan menghindari sentimen Islamofobia untuk digantikan dengan sikap positif terhadap agama Islam dan umatnya.

Untuk ini, kempen awam tentang kesedaran terhadap Islam dan umatnya perlu bukan sahaja diperbanyak. Juga dikendalikan sebaik-baiknya untuk menghapuskan mitos dan salah konsep terhadap agama suci itu dan penganutnya yang baik.

Kejadian mikro ini, iaitu mengketepikan warisan kelompok asal, sebenarnya adalah hanya ceraian daripada masalah yang jauh lebih besar yang tersembunyi sifatnya, iaitu persoalan pembentukam negara bangsa. Sehubungan ini, kita harus berjiwa besar untuk mengakui bahawa kita sebenarnya gagal pada sebilangan perkara dalam proses melahirkan warganegara Malaysia yang patriotik lagi bersatu padu.

Antaranya ialah tiadanya semangat kebangsaan yang betul-betul memperlihat perkongsian sejarah, bahasa dan budaya negara yang ikhlas.

Walaupun secara luarannya kita mengakui diri sebagai warganegara Malaysia, namun perasaan keterikatan kepada negara, masih tidak dapat dilihat dengan jitu.

Ini kerana tindakan kita masih tidak mampu mempamerkan kejituan perkongsian sejarah, bahasa dan budaya negara secara luhur antara etnik Melayu-Cina-India.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN