Ada banyak kisah tragis berkenaan kehilangan nyawa membabitkan wanita. Tapi sejak kebelakangan isunya adalah wanita dijadikan mangsa hanya kerana ada elemen kasih sayang.
Kejadian culik, rogol dan bunuh ini bukanlah perkara yang baru tetapi sebelum ini ada beberapa kes lagi. Antara yang paling tidak mungkin lupakan pada 18 Mei 1999 apabila seorang pelajar Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, Audrey Melissa Bathinathan ditemukan mati berhampiran tempat dia belajar. Berdasarkan hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya.
Begitu juga Noor Suzaily Mukhtar, yang ditemukan mati di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres.
Pada 23 Oktober 2000 pula Nor Shuhada Borak, ditemukan mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh.
Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001.
Pembaca juga mungkin tersentap dengan kes yang menimpa Nurul Hanis Kamil yang dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001.
Kes-kes ini sekadar contoh yang saya kongsikan tetapi tidak melibatkan isu kasih sayang atau mangsa jadi korban kerana ada elemen elemen tersebut. Barangkali kita boleh simpulkan sekadar jenayah kekerasan.
`Namun yang ingin saya bicarakan ada beberapa kes lagi kebelakangan ini menunjukkan mangsa jadi korban mempunyai pertalian tertentu dan ada hubungan istimewa dengan pelaku.
Tahun lepas, di Batu Pahat seorang ibu tunggal dua anak, Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang dilaporkan hilang sebelum itu ditemukan mati dan rangkanya ditemukan di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7 Tongkang Pecah.
Susulan itu tiga suspek yang ada kaitan dengan penemuan rangka milik mangsa didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mendedahkan kematian Bella disebabkan keretakan di kepala akibat objek tumpul dan motif pembunuhannya kerana cemburu dan sakit hati. Amat menyedihkan kerana pengakhirannya sampai ke tahap itu.
Lebih menyedihkan juga, ada kes seorang wanita menjadi mangsa lelaki yang disyaki membunuh dan kemudian membakarnya dalam sebuah kebun sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar Selangor.
Mangsa yang merupakan seorang pelayan restoran maut selain dikelar di perut sebelum mayatnya dibakar lelaki berkenaan dipercayai teman lelakinya.
Terdapat juga kes melibatkan seorang wanita yang dituduh membunuh anak angkatnya di sebuah rumah di Taman Malcop, Ipoh bulan lepas.
Siapa mangsa dan pelaku adalah perkara kedua kerana sekiranya benar yang menjadi mangsa adalah anak angkat, maka sekali lagi kita ingin bertanya tidakkah hubungan kasih sayang ini menjadi benteng berlakunya kekejaman terhadap mangsa.
Soalannya tetap sama, kalau benar pernah sayang, kenapa nyawanya diragut?
Kedua-dua kes ini benar benar menyentap perasaan kita kerana jika bermula dengan hubungan istimewa, pengakhirannya menyayat hati.
Ia berbeza dengan kes yang saya bangkitkan lebih awal yang melibatkan wanita tetapi mangsa dan pelaku tidak saling mengenali.
Berkongsi pandangan kes kes malang tersebut, penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim berkata, sejarah jenayah manusia di muka bumi sendiri bermula dengan satu pembunuhan antara dua beradik dan sejak itu berjuta pembunuhan telah dilakukan sama ada atas nama penaklukan, peperangan malah peradaban.
“Yang pasti baik dahulu hingga sekarang tiada yang berubah, termasuklah motif, kecuali tingkatan dan darjah keganasan yang digunakan,” kata beliau kepada saya menerusi aplikasi WhatsApp.
Namun kata beliau, ada sesuatu yang akan sesekali menyanggah ketenangan umum iaitu apabila mangsanya terhadap kanak-kanak, orang yang tidak berdaya dan wanita.
Beliau berkata, siri-siri tragedi yang berlaku dalam landskap jenayah kebelakangan ini bukan sahaja mengejutkan dari segi pembelotan terhadap teras kepercayaan antara pelaku dan mangsa tetapi juga kepada pelecehan yang dilakukan sejurus selepas itu.
“Pemilikan (hubungan)adalah isu sensitif kepada pelaku. Jika dikasari tanpa dibunuh, itu bertujuan untuk memanjangkan penderitaan sasarannya (mangsa) sahaja.
“Tetapi jika diperleceh dan dibunuh, itu mempamerkan sisi gelap hasrat pelaku iaitu sesiapa pun tidak boleh memiliki mangsa kecuali dirinya, ” ujarnya lagi.
Kata beliau, kebanyakan jenayah seperti itu hanya dilihat sebagai perlakuan jijik dan terkutuk sahaja tanpa menyedari soal bagaimana ia telah dilaksanakan dari sudut persediaan, persiapan dan senjata yang digunakan.
Apa yang beliau maksudkan adalah sering kali terlepas daripada pandangan atau penilaian kita antaranya jenis senjata, kawasan sasaran, kaedah ikatan atau jerutan, kedalaman tusukan dan lokasi mayat mangsa-mangsa ditinggalkan yang sebenarnya amat kritikal kepada kefahaman kita. Selain itu, penggunaan tangan kosong berbanding dengan senjata yang digenggam juga mampu menunjukkan keperibadian pelaku.
Ini kerana unsur-unsur pasif dalam satu-satu kes pembunuhan adalah juga nahu kepada indikator mengapa misalnya, hanya muka dijadikan sasaran tetapi tidak anggota badan lain. Semua itu adalah komposit yang menceritakan profil pelaku dan juga saat-saat akhir hayat mangsa. Kejadian terbaharu, melibatkan Nur Farah Kartini Abdullah mengejutkan kita.
Media melaporkan wanita itu ditemukan mati disyaki dibunuh di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Sekali lagi, kes-kes ini menuntut kewarasan kita untuk berfikir mengapa ada yang sanggup melakukan sedemikan. Apa tujuan dan sebabnya. Setakat artkel ini ditulis polis masih menjalankan siasatan.
Menurut Kamal Affandi lagi, yang lebih tragis adalah apabila kita memberi justifikasi terhadap perbuatan pelaku seperti faktor kesihatan mental sebagai alasan tanpa menyedari petunjuk-petunjuk yang terdapat pada lokasi kejadian dan kebiadaban kepada tubuh mangsa.
“Bagaimana mungkin seorang yang dikatakan ada masalah kesihatan mental itu mampu pula memikirkan secara rasional kemudiannya cara-cara terbaik menyorokkan perbuatannya?”
Kamal Affandi seterusnya berkongsi sementara kita berdebat berkenaan isu itu, yang lebih mustahak adalah menutup ruang dan peluang supaya apa-apa hasrat jenayah dapat dibantutkan.
Tetapi satu hal yang pasti, apabila masih wujud ketidakseimbangan bagaimana kita melihat kanak-kanak atau wanita sewajarnya sebagai manusia berbanding hanya sekadar statistik, komoditi atau objek, selama itu ia akan berterusan.
“Diskriminasi gender adalah doktrin yang mengkhayalkan. Kepincangan pemikiran inilah yang menyebabkan kita hanya terikat sebagai orang ramai dan bukan satu masyarakat sivil yang kalau pun mempunyai perbezaan tetapi hidup dengan satu tujuan,” ujarnya.
Ketua Jabatan Psikologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Madya Dr. Hazalizah Hamzah pula berkongsi teori iaitu perasaan cinta yang keterlaluan sehingga menyebabkan individu bertindak di luar pertimbangan misalnya mengongkong orang yang dicintai, merasa dia perlu mengawal setiap gerak geri mereka kerana didesak oleh perasaan cemburu yang melampau. Apabila tidak boleh lagi mengawal, maka tindakan mencederakan boleh berlaku sehingga membawa kepada pembunuhan dan kematian.
Katanya lagi, individu yang berpersonaliti tidak stabil mempunyai ciri-ciri seperti sering bimbang, mudah terganggu, berfikiran negatif dan penuh prasangka cenderung untuk bertindak melampaui batas, mengikut perasaan dan terburu-buru.
Orang seperti ini tidak dapat mengawal fikiran supaya menjadi rasional kerana terdorong oleh perasaan.
“Berdasarkan teori kekecewaan-kelangsangan ia menerangkan bahawa orang yang kecewa boleh menjadi langsang atau bertindak secara agresif,” ujarnya. – Mingguan Malaysia










