Bebas muflis, peluang kedua amat bernilai kepada negara

Bebas muflis, peluang kedua amat bernilai kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membantu golongan muflis di negara ini.

Dalam Belanjawan 2023 ini, beliau menegaskan bahawa rakyat yang diisytiharkan muflis berhak mendapat peluang kedua. Data menunjukkan bahawa setakat Januari 2023 lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 ringgit yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023 dengan sasaran 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan ini.

Bertindak segera, Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 pun dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei 2023 disusuli kelulusan sama di Dewan Negara pada 19 Jun 2023 dan Perkenan Diraja pada 5 Ogos 2023.
Pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 ini telah memperkenalkan perubahan penting yang membolehkan mereka yang muflis dikeluarkan daripada status muflis secara automatik selepas tiga tahun dari tarikh penyerahan pernyataan hal ehwal, dengan syarat mereka memenuhi beberapa kriteria termasuk pembayaran jumlah wang yang ditentukan dan pematuhan kepada keperluan melaporkan wang dan harta kepada Ketua Pengarah Insolvensi.

Pindaan ini juga menambah dua kategori baharu yang layak untuk pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa bantahan pemiutang, iaitu individu yang tidak mampu menguruskan diri disebabkan sakit mental dan individu berusia 70 tahun ke atas yang tidak berupaya menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.

Pelepasan golongan muflis daripada status kebankrapan membawa kesan positif yang signifikan kepada masyarakat dan ekonomi negara. Dengan membebaskan mereka dari beban kebankrapan, individu ini boleh kembali menyumbang kepada ekonomi negara melalui pekerjaan dan perniagaan. Ini juga membantu mengurangkan tekanan sosial dan ekonomi ke atas keluarga mereka, seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Hasil pindaan ini amat besar. Sewaktu membentangkan Ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 Perdana Menteri berkata setakat Julai 2023 hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.

Serentak itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun 2024.

Setakat Februari 2024, hampir 40,000 individu telah diberikan pelepasan daripada senarai bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua menjadikan mereka terlibat rasa gembira dengan wujudnya dasar tersebut kerana membolehkan mereka menjalani kehidupan baharu dan kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Hasil inisiatif Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di bawah Ketua Pengarahnya, M. Bakri Abd. Majid, MdI giat menjalankan program Jelajah Jabatan Insolvensi 2024 di seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman bagi memberi maklumat tentang Dasar Peluang Kedua sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat darinya.

Pada masa yang sama usaha, diambil supaya pelepasan ini tidak menimbulkan kesan negatif seperti menggalakkan sikap tidak bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan, yang mana individu mungkin mengambil risiko kewangan yang berlebihan dengan harapan akan dilepaskan daripada kebankrapan pada masa hadapan.

Tindakan kerajaan untuk membantu golongan muflis keluar dari status kebankrapan telah memperkukuhkan imej positif kerajaan. Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan memberikan peluang kedua kepada mereka yang terkesan, sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani isu-isu ekonomi dan sosial.

Bagi mereka yang berjaya keluar dari status muflis, perasaan lega dan syukur adalah jelas. Mereka dapat menjalani kehidupan baharu dengan lebih baik, merancang masa depan yang lebih cerah dan menyumbang semula kepada masyarakat serta ekonomi negara. Ini memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup dan mengelakkan kesilapan kewangan yang lalu.

Paling baru, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Sambutan 100 tahun MdI kelmarin mengumumkan bahawa seramai 142,510 individu berjaya dilepaskan daripada masalah bankrap sekaligus melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini, iaitu 130,000 sahaja.

Benar sekali kenyataan Perdana Menteri bahawa dalam sejarah sejak merdeka sampai sekarang belum pernah mana-mana kerajaan yang boleh melepaskan seramai ini. Bayangkan hasil yang mampu diperolehi melalui kembalinya 142,510 ini membantu memacu ekonomi.

Sehubungan itu, untuk meningkatkan lagi keberkesanan Dasar Peluang Kedua, beberapa penambahbaikan boleh dipertimbangkan. Antaranya adalah memperluaskan program pendidikan kewangan kepada individu yang dilepaskan dari kebankrapan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan kebankrapan di masa hadapan.

Selain itu, kerjasama yang lebih erat dengan institusi kewangan untuk menyediakan sokongan dan bimbingan kepada individu yang baru dilepaskan dari kebankrapan juga boleh membantu mereka membina semula kehidupan kewangan yang stabil.

Dengan terus memperbaiki dasar berteraskan nilai ihsan Madani ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan mendapat manfaat dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Usaha kerajaan untuk membantu golongan muflis melalui pindaan kepada Akta Insolvensi dan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua adalah satu langkah baik yang memberi impak positif yang besar kepada masyarakat dan ekonomi negara. – UTUSAN

HISYAM Basabah ialah Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN