Wau permainan tradisi negara yang perlu diangkat

Wau permainan tradisi negara yang perlu diangkat

GENERASI muda perlu tahu wau bukan sejenis permainan tradisional semata-mata, tetapi juga harta yang cukup berharga kerana statusnya sebagai warisan budaya rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WAU atau layang-layang adalah permainan rakyat yang sangat popular satu ketika dahulu dan seringkali dimainkan di kawasan pantai serta kawasan lapang seperti padang dan sawah padi.

Aktiviti bermain wau dianggap sebagai aktiviti ringan yang dapat merapatkan hubungan orang-orang kampung. Pertandingan juga diwujudkan dengan menilai setiap bentuk keunikan wau, corak, warna serta kebolehannya untuk diterbangkan.

Sayangnya masyarakat hari ini, terutama sekali generasi muda semakin kurang menghargainya. Mereka lebih memilih permainan yang moden dan menepati cita rasa seperti permainan video, futsal serta mendaki bukit. Hal ini membuatkan generasi baharu lupa akan kewujudan permainan tradisional di negara ini.

Bagi memupuk generasi muda dalam memartabatkan permainan wau, Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus telah menganjurkan Program Sayap Seni Wau.

Program yang dijalankan pada 22 Jun lalu di Padang Bola, Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar tempatan dan antarabangsa serta komuniti setempat. Kira-kira 50 peserta mengambil bahagian dalam acara Sayap Seni Wau dan pertandingan Wau Tegak. Pertandingan mencanting batik turut diadakan bagi memeriahkan lagi program. Tiga pemenang telah dipilih berdasarkan ketinggian maksimum setiap wau yang dinaikkan.

Generasi muda perlu tahu wau bukan sejenis permainan tradisional semata-mata, tetapi juga harta yang cukup berharga kerana statusnya sebagai warisan budaya rakyat Malaysia dan perlu dipelihara agar tidak hilang dengan arus kemodenan permainan era moden.
Semua pihak haruslah bersama-sama memupuk semula sikap menghargai permainan tradisional meskipun pelbagai permainan baharu yang lain muncul saban hari. Bak kata pepatah “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas”. – UTUSAN

Rozita binti Alias@Abdul Latiff
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN