Universiti perintis teknologi baharu industri semikonduktor

Universiti perintis teknologi baharu industri semikonduktor

KERJASAMA dengan beberapa industri reka bentuk fabless menawarkan pelajar penempatan industri serta projek reka bentuk cip litar bersepadu (IC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNOLOGI semikonduktor menjadi perkara terpenting dalam era yang didominasi kemajuan teknologi. Dalam persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024 (SEMICON SEA) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan visi masa depan sektor ini di Malaysia yang menekankan penciptaan ekosistem yang dipacu firma tempatan yang dinamik, mempunyai bakat bertaraf dunia dan kerjasama global untuk inovasi dan kreativiti.

Malaysia berhasrat menjadi hab antarabangsa dalam bidang semikonduktor yang berfokus kepada penyelidikan dan pembangunannya. Oleh itu, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), diketuai Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) memperincikan tiga fasa untuk memperkukuhkan industri semikonduktor negara.

Fasa 1: Pembinaan asas – Tumpuan untuk meningkatkan teknologi pembungkusan litar bersepadu (IC) semasa, mengembangkan penubuhan fabrikasi dan membangunkan juara reka bentuk cip tempatan dalam menyokong pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan penyedia perkhidmatan ujian (OSAT). Kerajaan berhasrat untuk menarik pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM500 bilion bagi fasa ini.

Fasa 2: Bergerak ke hadapan – Fasa ini berperanan untuk mengintegrasikan kemajuan dari Fasa 1 dengan reka bentuk dan fabrikasi cip logik, memori termaju untuk menarik pengeluar cip maju.

Fasa 3: Pasca inovasi – Sokongan untuk pembangunan reka bentuk, pembungkusan dan peralatan pembuatan semikonduktor bertaraf dunia di Malaysia harus diteruskan dengan lebih intensif.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, menekankan peranan strategik kerajaan dalam industri ini yang melangkaui pelaburan swasta melibatkan kementerian, badan penyelidikan, syarikat multinasional dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Tambahan, kedudukan geopolitik neutral Malaysia memberikan kelebihan strategik untuk membina rantaian bekalan semikonduktor global yang berdaya tahan.

Malah lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) sedang dijalankan dan keseluruhan rantaian bekalan dipertingkatkan bagi mewujudkan ekosistem semikonduktor yang pelbagai dan mampan.

Negara menetapkan sasaran untuk melatih 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi dan menawarkan gaji yang kompetitif bagi mendukung cita-cita negara. Di sinilah peranan besar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menyediakan bakat yang berkualiti tinggi untuk memenuhi Fasa 1 bagi pengukuhan industri semikonduktor negara.

UniMAP kini menawarkan 25 program pengajian dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) yang menghasilkan lebih dari 3,500 graduan setiap tahun. Apa yang membezakan program ini daripada universiti lain ialah UniMAP menawarkan program akademik yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan semikonduktor.

Program Elektronik dan Mikroelektronik yang ditawarkan pula mempunyai kursus khusus dan umum yang merangkumi keseluruhan ekosistem semikonduktor. Di peringkat reka bentuk, kami mempunyai penyepaduan skala sangat besar (VLSI), reka bentuk IC digital dan analog, reka bentuk sistem tertanam serta sistem pada cip. Pelajar juga dikehendaki menggunakan alat Reka Bentuk Elektronik Automasi (EDA) seperti Cadence dan Synopsis untuk reka bentuk cip IC.

Pelajar juga memperoleh pengetahuan dalam proses fabrikasi mikro yang digunakan dalam faundri penuh industri fabrikasi. Mereka menggunakan teknologi fotolitografi untuk mengukir corak pada wafer silikon untuk mencipta transistor dan komponen semikonduktor lain dalam makmal bersih kami sendiri.

Peranti mikroelektronik rekaan pelajar juga diuji dan dibungkus melalui kursus yang diambil seperti Ujian Reka Bentuk IC, Pembuatan Mikro Elektro Mekanik (MEMS), Pembungkusan Semikonduktor dan Analisis Kegagalan Semikonduktor.

Bagi memastikan graduan dilengkapi dengan trend teknologi terkini, kurikulum kami direka bersama pakar industri melalui kerjasama kukuh dengan pelbagai syarikat multinasional (MNC). Melalui inisiatif seperti CEO@Fakulti, Profesor Adjung Industri dan Panel Penasihat Industri, kami mengekalkan hubungan kukuh dengan pemain industri utama untuk kurikulum akademik.

Kerjasama ini mewujudkan projek penyelidikan yang relevan dan latihan industri untuk pelajar. Sebagai contoh, kerjasama dengan beberapa industri reka bentuk fabless menawarkan pelajar penempatan industri serta projek reka bentuk cip IC yang didorong oleh industri untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, Pusat Kecemerlangan (CoE) seperti CoE Teknologi Sistem Mikro (MiCTEC) serta CoE Geopolimer dan teknologi hijau (CEGeoGTech), juga telah membentuk kerjasama strategik dengan industri gergasi semikonduktor. Contohnya, kerjasama dalam penyelidikan bahan sambungan pateri untuk meningkatkan pembungkusan cip termaju.

UniMAP juga menubuhkan Pusat Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan pengalaman praktikal selain pensijilan profesional dengan beberapa industri semikonduktor.

Peningkatan kemahiran profesional juga dijalankan untuk pekerja industri di pusat ini. Inisiatif ini menyokong matlamat NSS untuk menghasilkan seramai 60,000 pekerja berkemahiran tinggi.

UniMAP memastikan kebolehpasaran tinggi untuk graduan melalui program seperti Northern Industrial Career Engagement (NICE).

SAHUT CABARAN
Menurut Kajian Pengesanan Graduan 2023, lebih 97 peratus graduan kami mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan dan majoritinya memasuki syarikat gergasi MNC semikonduktor terkemuka dengan gaji premium.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai, mengakui wujudnya persaingan sengit dalam ‘perang bakat’ semikonduktor.

UniMAP menyahut cabaran ini demi memastikan graduan memenuhi permintaan industri.

Melihat ke hadapan, UniMAP kekal komited untuk memacu inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan tinggi semikonduktor selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 yang menekankan peralihan kepada kecerdasan buatan (AI), reka bentuk IC, teknologi kenderaan elektrik (EV), mineral kritikal dan pembungkusan lanjutan.

Melalui peningkatan kurikulum yang berterusan dan kerjasama industri, UniMAP berhasrat menepati permintaan yang semakin meningkat untuk bakat semikonduktor yang berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi hab cip global.

UniMAP berbangga dan yakin untuk menyumbang 60,000 jurutera dan teknologi semikonduktor dalam memacu inovasi dan daya tahan dalam ekosistem ini untuk tahun-tahun yang mendatang.

Marilah kita semua bekerjasama dalam memastikan Malaysia menjadi hab cip global yang terkenal dalam era baharu semikonduktor ini.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN