KERAJAAN komited dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam merealisasikan hasrat melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pasaran kerja tempatan mahupun peringkat global.
Tarikh 2 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari TVET Negara 2024. Terbaru, Sambutan Hari TVET Negara dianjurkan selama dua hari bagi mewujudkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai dasar, inisiatif dan bidang TVET yang ditawarkan di Malaysia selain menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya serta insentif yang disediakan kerajaan berkaitan TVET.
Rentetan penganjuran HTN 2024 berkenaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan Dasar TVET Negara 2030 yang mengandungi lima teras strategik, meliputi 23 strategi dan 67 inisiatif utama pada 8 Jun 2024, baru-baru ini.
Lima teras strategik yang digariskan dalam dasar berkenaan ialah Tadbir Urus Komprehensif, dan Bersinergi; Kualiti dan Laluan Pendidikan Bertaraf Dunia; Kerjasama Industri Cekap dan Produktif; Pembiayaan TVET Mampan dan TVET Pilihan Utama Kerjaya.
“Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan terus memainkan peranan utama dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia,” ujar beliau ketika melancarkan Dasar TVET Negara 2030 berkenaan.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab TVET berkualiti tinggi menjelang tahun 2030, dengan MTUN terus mendahului sebagai juara dalam TVET dan bertindak sebagai agen perubahan persepsi TVET di kalangan masyarakat.
Anwar menjelaskan bahawa TVET bukan sekadar pendidikan teknikal biasa tetapi merupakan tulang belakang bagi pembangunan industri dan ekonomi negara. Dengan menerapkan teknologi canggih dan program latihan yang berorientasikan industri, TVET di Malaysia diharap dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global. Perubahan persepsi ini penting untuk memastikan bahawa TVET dilihat sebagai pilihan pendidikan utama.
Menambah kepada ucapan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut menyatakan Dasar TVET Negara 2030 yang akan menjadi panduan dalam pelaksanaan inisiatif MTUN TVET Termaju 2030 dalam program MTUN Industry-Academic Discourse on Advanced TVET (MIAD) pada 11 Jun 2024.
Ini termasuk kecemerlangan akademik, kelestarian teknologi, pemberdayaan pelajar, kecemerlangan bakat, dan penjenamaan MTUN. MTUN perlu mengembangkan program TVET kepada bidang-bidang baharu yang sedang muncul, mengaplikasikan teknologi canggih dalam kurikulum dan pengajaran, serta memperkukuh hubungan dengan industri bagi memastikan relevansi program TVET. MTUN juga merancang untuk memperkenalkan program TVET tahfiz, yang menggabungkan pendidikan agama dengan latihan vokasional, menjadikan pendidikan TVET lebih menarik dan sesuai untuk pelbagai segmen masyarakat seperti yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Dasar TVET Negara 2030 bukan sahaja memastikan kecemerlangan akademik tetapi juga menekankan kelestarian teknologi, yang penting untuk memastikan program TVET sentiasa relevan dengan perkembangan industri terkini. Melalui pemberdayaan pelajar, MTUN berusaha untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan profesional pelajar, menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan. Kecemerlangan bakat pula memastikan bahawa graduan TVET bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal tetapi juga berdaya saing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Penjenamaan MTUN yang kuat akan meningkatkan profil TVET di peringkat nasional dan antarabangsa, menarik minat pelajar dan majikan untuk melibatkan diri dalam program ini.
MTUN akan menawarkan program TVET berkualiti tinggi yang memberikan peluang gaji premium serta menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. UniMAP, sebagai salah satu anggota MTUN, telah merangka beberapa inisiatif penting. Ini termasuk menawarkan program yang menekankan pada teknologi canggih seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), industri berasaskan teknologi dan digital, industri berasaskan elektrik dan elektronik, pertanian dan industri asas tani. Program-program ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan kemahiran dan ketidakpadanan pekerjaan melalui kolaborasi dengan industri tempatan dan antarabangsa.
UniMAP memperluas dan memperkasa program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), yang menggabungkan pengalaman kerja sebenar dengan pengajian akademik. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan tetapi juga memastikan bahawa mereka memiliki kemahiran yang diperlukan oleh industri. Dengan pendekatan ini juga memastikan, pelajar dapat memperoleh pengalaman praktikal yang relevan semasa mereka masih belajar, meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.
Melalui kerjasama dengan industri tempatan dan antarabangsa, UniMAP berjaya mewujudkan program-program yang selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa. Dengan menjalin pakatan strategik ini, UniMAP dapat memastikan bahawa kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dan berdaya saing. UniMAP juga menawarkan program mobiliti, ijazah dual dan program pesisir untuk memperluas peluang pendidikan bagi pelajar. Selain itu, UniMAP akan memperluas jaringan TVET melalui UniMAP Advanced TVET Campus (UATC) di Pulau Pinang yang akan menyediakan tenaga kerja mahir industri di sekitar Zon Utara.
Selain itu, UniMAP juga memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertujuan untuk memacu inovasi dan keusahawanan melalui pusat-pusat kecemerlangan (COE). Ini bertujuan untuk menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan kakitangan akademik, yang penting untuk memajukan teknologi dan kaedah pengajaran dalam TVET.
Kesungguhan UniMAP dalam memperkasakan TVET di Malaysia jelas menunjukkan bahawa masa depan pendidikan teknikal di negara ini adalah cerah. UniMAP sebagai salah satu MTUN yang memperkasakan TVET Termaju akan terus menyahut dasar-dasar TVET yang telah digariskan oleh kerajaan melalui peluncuran Dasar TVET Negara bagi melahirkan generasi baharu tenaga kerja berkemahiran tinggi dan akan mendahului sebagai juara dalam pemerkasaan TVET dan bertindak sebagai agen perubahan persepsi TVET dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










