Sedarkah kita plastik merupakan antara bahan pencemar kepada alam sekitar. Pencemaran plastik merupakan isu global yang tidak dapat dielakkan . Sebahagian besar berpunca daripada sikap kita sebagai pengguna dan agen pencemar kerana ia digunakan secara meluas dalam pelbagai aktiviti seharian di seluruh dunia.
Oleh kerana penggunaannya yang pelbagai menyebabkan plastik menjadi penyumbang utama pencemaran termasuk lah antaranya di lautan.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga antara 20 negara yang menyumbang sisa plastik dari sungai ke lautan, selepas India dan Filipina menurut Pertubuhan Dana Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia ).
Malaysia dikatakan berada di antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.
Selain itu menurut Pengurus Inisiatif Plastik WWF- Malaysia, Tahirah Banu Mohamed Ariff, sebanyak satu juta botol plastik dibeli setiap minit di seluruh dunia, dan kira-kira lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun. Apa yang mendukacitakan, separuh daripada semua plastik yang dihasilkan direka untuk tujuan sekali guna iaitu digunakan sekali sahaja dan kemudian dibuang.
Di Malaysia pula, berdasarkan statistik 2016, anggaran jumlah sisa plastik yang dijana oleh pengguna melebihi satu satu juta tan.
Kata Tahirah Banu lagi, jumlah sisa plastik ini setara dengan berat 10,000 ikan paus biru dan berupaya mengisi 76,000 trak sampah! Jika sisa plastik ini dikumpulkan di satu lokasi, ia mampu membentuk sebuah gunung plastik. Tidakkah ini menunjukkan fenomena yang buruk mengenai situasi pencemaran plastik ketika ini di Malaysia?
Namun, mampukah kita hidup tanpa plastik? Ini kerana menurut Ketua Penyelidik Pencemar Mikro dan Patogen Kumpulan Penyelidik Air Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam, Dr. Marfiah Ab. Wahid plastik adalah bahan yang berguna kerana ketahanannya.
Plastik digunakan dalam pelbagai industri, termasuk pembuatan, kemasan makanan dan minuman, produk elektronik, peralatan rumah tangga, mainan, kenderaan, dan banyak lagi. Penggunaan plastik kini agak berleluasa dan sekiranya tidak ada kawalan, pencemarannya akan sukar dikawal. Berdasarkan anggaran, rakyat Malaysia menggunakan purata sebanyak 9 bilion item plastik setiap tahun, dan sebahagian besar plastik ini berakhir di lautan.
Menurut Marfiah lagi, mikroplastik berpotensi memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia, kerana bahan itu boleh memasuki rantaian makanan manusia melalui pengambilan ikan atau sumber makanan dan air yang tercemar.
Mikroplastik yang terdapat di dalam sumber makanan yang tercemar akan meresap dan berada di dalam sistem penghadaman manusia dan diserap oleh sel epithelial usus. Perangkaan global mendapati bahawa lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun dan 13 juta tan daripadanya dibuang ke laut manakala dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit. Kira-kira 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik pada setiap tahun juga berakhir di lautan.
Situasi ini begitu membimbangkan kerana plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput. Plastik hanya akan pecah menjadi partikel kecil dan terurai apabila terdedah kepada sinaran ultraungu, oksigen, suhu yang tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu.
Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik (zarah plastik berukuran antara lima millimeter dan 0.1 mikrometer) dan nanoplastik (saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009) yang akan mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut daripada plankton sehinggalah haiwan yang besar seperti burung laut, penyu, ikan lumba-lumba dan paus.
Prof. Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim daripada Kumpulan Penyelidikan Mikroplastik Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memberitahu, pencemaran plastik di Malaysia sangat membimbangkan dan kata beliau, beberapa kajian menunjukkan Malaysia antara penyumbang terbesar pencemaran plastik marin di dunia.
“ Sebagai contoh, laporan oleh Jambeck pada 2015 menempatkan Malaysia di kedudukan ke-8 dunia bagi pencemaran plastik marin dan pada 2021 tempat ke-3 bagi pelepasan plastik ke sungai dan seterusnya laut,” ujarnya. Justeru, apa yang perlu dilakukan sebelum kita benar- benar lemas dalam bungkusan plastik ini?
Tahirah Banu berpendapat tidak ada satu penyelesaian atau entiti tunggal dapat menyelesaikan pencemaran ini, sebaliknya memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak. “Kita perlu memikirkan semula cara menghasilkan dan menggunakan plastik,” ujarnya. – Mingguan Malaysia










