Kerajaan sendiri galakkan kartel? - Utusan Malaysia

Kerajaan sendiri galakkan kartel?

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SUSAHLAH ‘kartel-kartel’ di seluruh negara selepas ini apabila Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bakal memiliki kuasa baharu dengan memperkenal rejim kawalan penggabungan bagi menghalang pembentukan kartel di peringkat awal. Itulah padahnyanya jika enggan bersaing secara sihat. Mahu kaut untung sahaja. Akhirnya, pengguna yang terkesan akibat harga barangan terlalu mahal.

Dalam temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, ISKANDAR ISMAIL dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar FAIZ ALIF ZUBIR baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan tentang kuasa baharu itu selain mengulas dakwaan wujud aktiviti kartel dalam industri padi dan beras. Beliau turut berkongsi peranan MyCC dalam menangani isu-isu persaingan dan monopoli.

 

MyCC BADAN SEPARA KEHAKIMAN
MINGGUAN: Apa peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)?
ISKANDAR: MyCC adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang ditubuhkan pada 1 April 2011. Kami merupakan badan bebas dan separa kehakiman yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Akta ini dilaksanakan untuk melindungi proses persaingan untuk merangsang produktiviti, keusahawanan yang berterusan dan inovasi dalam kalangan perusahaan, sekaligus mewujudkan pilihan produk atau perkhidmatan lebih banyak kepada pengguna serta kualiti lebih baik pada harga berpatutan atau kompetitif.

Akta ini menyediakan kerangka pengawalseliaan isu-isu persaingan termasuk kuasa untuk menyiasat, menghakimi dan mengenakan hukuman dalam bentuk penalti kewangan dan arahan lain yang sesuai kepada pelaku yang melanggar undang-undang persaingan.

Bagaimana?
Pelanggaran berlaku apabila perusahaan-perusahaan membentuk perjanjian antipersaingan atau lebih dikenali sebagai kartel atau terdapat penyalahgunaan kuasa pasaran oleh syarikat dominan termasuk monopoli.

Adakah Akta 712 terpakai kepada semua aktiviti perdagangan?

Ya, ia terpakai kepada semua aktiviti perdagangan dijalankan di dalam dan di luar Malaysia yang memberi kesan kepada persaingan ke atas pasaran Malaysia. Bagaimanapun, akta ini tidak terpakai bagi aktiviti komersial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta

Perkhidmatan Pos 2012, Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, Akta Bekalan Gas 2016 dan Akta Suruhanjaya Penerbangan Awam 2015 kerana akta-akta ini mempunyai perundangan persaingan dan pengawalseliaannya sendiri.

LINDUNGI SEKTOR PMKS
Apakah jenis perusahaan syarikat ‘dijaga’ MyCC?

Di Malaysia, 98 peratus perniagaan atau hampir satu juta jumlahnya terdiri dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Hak mereka mesti dilindungi yang mana perlu ada ruang sama rata untuk sektor ini berkembang, berniaga bersama-sama syarikat gergasi dan dominan. Kami mahu memastikan syarikat yang mendominasi pasaran tidak membuli PMKS sehingga membawa masalah kepada pengguna.

Contohnya?

Di Malaysia, hanya ada dua syarikat pengeluar gula terbesar. Satu syarikat menguasai lebih 60 peratus pasaran gula dan satu lagi menguasai lebih 30 lebih pasaran yang sama. Bayangkan jika salah satunya enggan membekalkan gula, apa akan berlaku kepada PMKS yang menghasilkan produk berasaskan gula seperti kicap, sos cili dan susu pekat?

Sebab itu, kami mahu pastikan kesemua PMKS dan syarikat gergasi tumbuh secara sihat, bersaing antara satu sama lain secara adil dan di akhirnya, seluruh rantaian bekalan menjadi efisien manakala pengguna pasti mendapat manfaatnya.

Apa jenis aktiviti penguatkuasaan tumpuan MyCC?

Kami sedang menumpukan kepada isu kartel dan kegiatan ini banyak berlaku di Malaysia. Jika anda perasan dahulu di akhbar dan media lain, ada pengumuman oleh persatuan-persatuan terdiri daripada perusahaan yang datang daripada pasaran sama.

Contohnya mereka menjalankan perniagaan kain. Sebenarnya, mereka bersaing antara satu sama lain tetapi bergabung melalui persatuan. Setelah berbincang dengan semua ahli, mereka memutuskan menaikkan harga 10 peratus sedangkan hal ini dilarang. Dalam pengumuman itu, mereka mendakwa harga ditetapkan adil kepada pengguna. Sebenarnya, ini jelas adalah satu bentuk kartel. Bagaimana pula mereka tahu yang harga itu adil?

Ini yang berlaku kepada Persatuan Roti dan Manisan Sibu di Sarawak dahulu yang mana mereka saling berbincang dan menaikkan harga lebih kurang 10 hingga 15 peratus walaupun mereka tahu sepatutnya bersaing dalam pasaran ini.

Jadi, siapa mahu melindungi hak para pengguna di Sibu yang menjadikan roti salah satu makanan utama? Sebab itu, MyCC mengambil tindakan dan memang benar mereka adalah kartel dan 14 perusahaan roti dan manisan dikenakan penalti kewangan RM247,000.

Kartel berpunca daripada tindakan PMKS atau syarikat-syarikat gergasi?

Kedua-duanya. Kartel ini terjadi apabila sekurang-kurangnya dua perusahaan berkomplot, menaikkan harga pada tahap yang sama atau menetapkan hal ehwal perdagangan seperti mengurangkan pengeluaran, membahagikan pasaran dan sebagainya. Kartel juga boleh terjadi apabila puluhan pengeluar ais batu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bersekongkol menaikkan harga blok ais pada tahap yang sama.

Katakan jika kedua-dua syarikat gula di Malaysia tiba-tiba hanya mengeluarkan 10,000 tan sebulan melalui saluran masing-masing sedangkan mereka sepatutnya mengeluarkan 20,000 metrik tan gula sebulan, maka, disebabkan kuantiti gula yang berkurangan akibat kartel, harganya naik kerana permintaan pengguna yang tinggi pada tahap 40,000 metrik tan sebulan.

Jika anda mahu beli kain di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), bayangkan ratusan kesemua peniaga kain secara tiba-tiba menjual kesemua jenis kain seperti crepe, satin, dan linen pada harga minimum yang dipersetujui melalui komplot mereka pada RM30 semeter, sedangkan dahulu hanya berharga RM5, RM10 atau RM15 semeter. Tidakkah orang ramai akan marah dan melenting?

Adakah kartel berbeza dengan monopoli dalam perspektif perundangan persaingan?

Ini soalan yang baik kerana ramai yang keliru. Kartel bukan monopoli, begitu juga sebaliknya. Kartel adalah gabungan sekurang-kurangnya dua atau lebih dua syarikat yang menjalankan perniagaan sama dan melakukan aktiviti antipersaingan, manakala monopoli adalah satu-satunya peniaga yang ada dalam sesuatu pasaran.

Beberapa tahun dahulu, orang ramai menganggap ia adalah kartel apabila ada beberapa syarikat di Johor menjual daging tidak halal dan menandakannya sebagai halal. Daripada perspektif MyCC, ia bukan kartel. Ini lebih kepada penipuan dalam penggunaan tanda halal.

Ada yang menganggap hanya satu syarikat memonopoli pasaran aplikasi seru-pandu (e-hailing) walhal terdapat lagi lebih 30 syarikat e-hailing dalam pasaran sama. Ini tidak tepat. Syarikat itu hanya boleh digelar monopoli apabila ia menjadi satu-satunya syarikat yang beroperasi dalam pasaran itu.

Apa cabaran dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan selaras akta persaingan?

Cabaran kami adalah bagaimana untuk memahamkan rakyat dan perusahaan mengenai isu persaingan dan undang-undangnya. Mereka tanya mengapa kita tidak benarkan syarikat-syarikat dalam satu pasaran bekerjasama untuk kebaikan negara?

Padahal, syarikat-syarikat ini mesti bersaing untuk kebaikan sendiri kerana melalui persaingan rakyat akan mendapat pilihan, sekali gus mendapat kualiti baik pada harga kompetitif. Pengguna pula yang mereka tahu hanya mahu murah tanpa mengetahui keadaan pasaran itu.

AGENSI KERAJAAN
Disebabkan Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang mesti dipatuhi, saya tidak menafikan masih ada segelintir agensi kerajaan kurang faham sistem undang-undang negara termasuk perundangan persaingan.

Kemudian, undang-undang MyCC berasaskan prinsip ekonomi pula masuk yang mungkin menambah kekeliruan. Agensi kerajaan ini yang mengawal selia semua jenis perniagaan. Mereka mengeluarkan lesen, dan geran.

Jika perusahaan di bawah seliaan mereka ada masalah, mereka selalunya datang menggunakan persatuan untuk bercakap dengan kerajaan serta mengadu yang kos gaji meningkat, caj elektrik tiada subsidi, kenaikan harga bahan mentah, tukaran mata wang asing sangat tinggi dan banyak lagi.

KERAJAAN GALAKKAN KARTEL?
Kemudian mereka pergi kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi tertentu yang mereka rasa relevan. Suka atau pun tidak, dahulu, kerajaan yang secara tidak langsung yang menggalakkan kartel. Kerajaan kata, anda (perusahaan) bekerjasama dan tentukan harga. Anda naikkan harga pada tahap yang sama supaya semua tidak akan rugi.

Tetapi, ini dahululah, bukan sekarang. Sekarang mungkin ada, tetapi jarang. Sejak MyCC memberi advokasi dan menjalankan penguatkuasaan, mereka semua (pengusaha syarikat) melihat dan mendengar. Sudah banyak juga kementerian dan agensi mengambil pendekatan menasihat mereka merujuk kepada MyCC jika mahu naikkan harga bersama-sama. Dari situ bermulanya perubahan.

TIPUAN BIDA
Kami memerlukan masa panjang memberi pemahaman dalam mengimplementasi perkara ini kepada mereka. Contohnya, isu kartel tipuan bida. Pegawai-pegawai kerajaan ingat, jika sesebuah syarikat itu mengikut kesemua arahan perbendaharaan dan tiada isu korupsi, maka, cukuplah. Semuanya bersih. Tetapi, apabila kami memainkan peranan, ya, memang benar tiada isu rasuah dan kesemuanya mengikut piawaian ditetapkan.

Dokumen cukup tetapi apabila dibelek dengan teliti, ada pula isu kartel tipuan bida. Katakan ada 200 syarikat masuk membida, tetapi, 150 syarikat adalah kartel. Mereka bersekongkol hantar dokumen bidaan bersama-sama untuk memanipulasi sistemnya.

Contohnya, harga anggaran projek jabatan berharga RM250 juta dan sebanyak 200 syarikat masuk membida. Namun, 150 syarikat adalah kartel. Jadi, mereka akan menetapkan harga bidaan mereka katakan antara RM260 juta hingga RM280 juta. Jadi, apabila kerajaan menyemak melalui sistem, jumlahnya lebih tinggi berbanding harga anggaran RM250 juta.

Jadi, mereka yang membida secara tulen pada harga RM240 juta ke bawah jadi macam pelik dan diketepikan. Siapa yang bida RM290 juta hingga RM300 juta mungkin diketepikan juga kerana dilihat mahal walaupun mereka bukan kartel. Dari situ kami mengesannya selain jika alamat, pemegang saham, auditor yang sama, di samping ada kaitan ahli keluarga serta harga yang bezanya amat mencurigakan serta borang-borang yang mempunyai tulisan atau tandatangan yang sama.

Adakah tenaga sumber manusia cukup mengendalikan isu kartel?

Tidak. MyCC ada jawatan tetap dan kontrak yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak 66 selain mengambil jawatan sementara, lebih kurang 40 orang, manakala pegawai penyiasat ada 17 orang sahaja yang menjaga seluruh negara.

Ada berapa banyak syarikat terlibat dalam kes tipuan bida atau kes sedang berada dalam radar MyCC?

Untuk kes tipuan bida ada 12 kes melibatkan 400 syarikat dan tender bernilai RM2.3 bilion. Ada lagi dua kes kartel harga yang kami sedang siasat melibatkan lebih 100 syarikat.

Isu kartel makanan ayam sudah selesai?
Untuk kes kartel makanan ayam, baru-baru ini, kelima-lima syarikat yang dikenakan penalti kewangan berjumlah RM415.5 juta sudah memfailkan rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan. Tarikh pendengaran rayuannya masih belum ditetapkan.

KUASA BAHARU MyCC

MyCC bercadang meminda Akta Persaingan 2010 sebagai kuasa baharu bagi menghalang pembentukan kartel di peringkat awal. Boleh kongsi perkembangannya?

Kuasa baharu yang dimaksudkan merujuk kepada pengenalan rejim kawalan penggabungan ke dalam Akta Persaingan 2010. Kini ia di peringkat akhir iaitu pada Jabatan Peguam Negara (AGC). Jika tiada halangan, ia akan dibawa ke Kabinet kemudian dibentang di Parlimen. Sedar atau tidak, hanya Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang tiada rejim kawalan ini.

Oleh kerana aktiviti kartel boleh berlaku melalui banyak cara, pindaan ini akan memberi MyCC kuasa mengawal selia transaksi penggabungan yang mendatangkan kesan anti persaingan dalam pasaran. MyCC boleh mengelakkan perusahaan daripada menyalahguna transaksi penggabungan sebagai saluran untuk melindungi pakatan kartel mereka.

Kuasa baharu ini membolehkan kami mengambil tindakan intervensi awal untuk mencegah pembentukan monopoli baharu dalam pasaran, sekali gus mengelakkan penumpuan pasaran. Ini akan memastikan pasaran kekal kompetitif untuk jangka masa panjang.

Kami sepatutnya ada kuasa ini kerana rejim ini adalah tunjang pelengkap kepada keutuhan persaingan dalam mana-mana pasaran. Sekarang tiada mana-mana pihak berkuasa yang boleh menentukan jika penggabungan atau pengambilalihan itu akan mengganggu pasaran.

Bagaimana kuasa baharu ini berfungsi?

MyCC akan melaksana sistem hibrid yang akan mewajibkan transaksi penggabungan yang melebihi nilai ambang ditetapkan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada kami untuk menilai sama ada transaksi ini akan mendatangkan kesan anti persaingan dalam pasaran atau tidak.

Perusahaan boleh mengemukakan notifikasi transaksi penggabungan mereka secara sukarela walaupun transaksi itu tidak melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Pemberitahuan secara sukarela ini akan memberi jaminan terhadap perusahaan bahawa transaksi mereka tidak akan menyebabkan kesan antipersaingan.

Jika kesan anti persaingan tetap berlaku?

MyCC akan mengeluarkan keputusan melarang transaksi penggabungan itu daripada diteruskan. Perusahaan yang gagal mengemukakan permohonan penggabungan kepada MyCC atau tidak mematuhi keputusan larangan dikenakan oleh kami boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia (worldwide turnover) suatu perusahaan.

Tidak cukup dengan itu, mereka berhadapan risiko dikenakan arahan supaya perusahaan yang telah digabung untuk dipisahkan. Makna kata, kami menjadi semak imbang atau gatekeeper.

Adakah rejim kawalan itu boleh dilaksanakan pada tahun ini?

Tidak. Andai kata ia sudah lulus hujung tahun ini, kami perlukan tempoh penangguhan pelaksanaan selama satu tahun bagi memastikan kesemua pihak bersedia dari segi fasiliti, kepakaran, pekerja di samping advokasi bagi memahamkan masyarakat terutama pemain-pemain industri.

DAKWAAN KARTEL PADI DAN BERAS
Dikhabarkan MyCC sedang mengkaji isu dakwaan aktiviti kartel padi dan beras. Apa perkembangannya?

Ini lagi satu hal, orang ramai selalu bertanya kami tentang kartel padi dan beras. Saya maklumkan ketika ini tiada siasatan lagi. Sebaliknya, hanya kajian am untuk memahami rantaian bekalan industri yang kompleks dan besar ini serta isu-isu pasarannya.

Kami menjalankan tindakan proaktif dengan menulis kepada Seksyen Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk berkongsi cerita. MyCC mendapatkan penerangan dan didapati ada banyak isu di dalam pasaran tetapi masih belum dipastikan tentang kartel atau monopoli yang didakwa ramai pihak.

Orang ramai pula dakwa ada kartel dalam industri padi dan beras, tetapi tiada bukti kukuh atau tidak signifikan. Oleh itu, kami memulakan kajian dan masih meneruskannya walaupun tiada aduan yang betul dan rasmi dibuat kepada kami.

Saya maklum, di dalam laporan media termasuk media sosial ada beberapa individu dan kumpulan mendakwa wujud aktiviti kartel ini.

Namun, apabila kami semak, tafsiran kartel mereka tidak sama dengan tafsiran kartel pada kami.

Contohnya, isu beras tempatan yang dicampur dengan beras import kemudian ditampal pelekat beras putih tempatan. Ini bukan kartel tetapi isu penipuan dilakukan oleh sekumpulan pengeluar beras atau pemborong.

Di tahap manakah kajian itu?
Kami jangka kajian ini siap pada suku ketiga tahun ini. Kami sudah menemu bual lebih 120 pihak berkaitan seperti pesawah, broker, pengilang dan pemborong benih, pemborong beras, pengilang beras, pengimport beras, pengeluar serta penjual racun dan baja dan pelbagai pihak berkuasa.

Kami pergi ke setiap pelosok industri padi dan beras. Kami akan mendapatkan maklumat serta selok belok rantaian bekalannya dan kami sudah nampak arahnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN