Kamus yang bukan sekadar kamus

Kamus yang bukan sekadar kamus

A Classic Jawi-Malay-English Dictionary bukan sebuah kamus biasa kerana mengandungi pelbagai maklumat yang mengujakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila pemilik Restoran Anak Baba di Brickfields, Victor Low menghadiahkan, A Classic Jawi-Malay-English Dictionary (1985) pada 5 Mei lalu, saya menyangka ia sebuah kamus biasa.

Selepas membawanya pulang dan mula membaca, barulah saya sedar naskhah tulisan Richard James Wilkinson yang mula-mula terbit pada 1903 sebenarnya memuatkan pelbagai maklumat yang mengujakan.

Buku setebal hampir 800 halaman ini diterbitkan semula pada 1985 oleh Penerbit Baharudinjoha dengan mengekalkan reka letak asal. Maka, pembaca berpeluang menikmati sepenuhnya kandungan buku ini dalam bentuk asli.

Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam kata aluan mengingatkan betapa khazanah klasik ini sangat tinggi nilainya kerana memberi peluang kepada generasi muda bangsa Malaysia mengenali secara lebih mendalam aspek agama, sejarah, sastera, bahasa dan budaya orang Melayu pada masa dahulu.

Richard (1867-1941) seorang penjawat awam, cendekiawan dan sejarahwan British yang ada pengalaman bekerja di Negeri-negeri Selat mulai 1889. Pada waktu itulah beliau mula mendalami bahasa, sejarah, budaya dan sastera Melayu.

Tokoh ini yang menguasai bahasa Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Yunani turut mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Cina dialek Hokkien untuk memudahkan komunikasi dengan penduduk di Tanah Melayu pada waktu itu.

Sebagai pencinta bahan dokumentasi sejarah, Richard mengumpul pelbagai manuskrip Melayu yang kemudian diserahkannya kepada Perpustakaan Universiti Cambridge dan masih tersimpan di sana sehingga kini.

Pada 1916, beliau dihantar ke Sierra Leone sebagai Gabenor. Namun, sepanjang berada di Tanah Melayu, Richard berjaya menulis dan menerbitkan beberapa buku yang masih menjadi rujukan ahli akademik dan orang awam.

Antara buku beliau ialah Malay Beliefs (1906), The Achehnese (1906), Malay Literature (1907), The Incidents of Malay Life (1908), Notes on the Negri Sembilan (1911), Malay Grammar (1913) dan A Vocabulary of Central Sakai (1915).

Pada 1900, Richard menggerakkan usaha menubuhkan Kolej Latihan Perguruan Melayu di Melaka. Daripada usaha itulah juga lahir Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada 1922 dan kini menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Malah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905 juga atas usaha Richard . Hal-hal ini menunjukkan beliau memang orang yang banyak menyumbang kepada negara ini pada masa lalu.

Pada bahagian pengenalan A Classic Jawi-Malay-English Dictionary, Richard menyatakan beberapa fakta dan data yang mungkin sedikit mengejutkan pembaca sekarang. Misalnya, tanpa berselindung, beliau menyebut orang Melayu berasal dari Sumatera. Disentuh juga tentang pemerintahan terawal raja Melayu di Pagar Ruyong, perihal Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Asal usul pemimpin Melayu daripada keturunan Iskandar Zulkarnain sebagaimana disajikan dalam Sejarah Melayu juga dibahaskan secara ilmiah. Hal-hal ini menarik untuk diteliti dan direnungkan secara mendalam dengan fikiran terbuka.

Pada pemerhatian Richard, sastera Melayu lama (termasuk sastera lisan) boleh dibahagikan kepada lima kategori. Pertama, kisah cinta dan pengembaraan yang disadur daripada karya Sanskrit.

Dalam hal ini, tentu sahaja kita menyedari bagaimana epik seperti Ramayana dan Mahabharata amat mempengaruhi sastera dan hikayat di rantau ini.

Agak menarik juga diperhatikan bagaimana Mahabharata lebih dikenali di Indonesia dan melahirkan Hikayat Pandawa Jaya. Kemudian, pengaruh teks Jawa itu pula dibawa ke Tanah Melayu.

Kategori kedua karya ialah teks yang disadur daripada karya Arab dan Parsi.

Contohnya Hikayat Hamzah, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Hikayat Muhammad Hanafiyah.

Kisah-kisah panji pula amat jelas termasuk kategori ketiga iaitu pengaruh sastera Jawa. Kisah pengembaraan Sira Panji dikatakan sangat berpengaruh sehingga timbul kemungkinan perwatakan Laksamana Hang Tuah juga disadur daripada watak itu.

Kategori keempat pula karya tempatan yang menerima pengaruh dari pelbagai sumber. Teks Sejarah Melayu sendiri diperhatikan ada pengaruh Hindu, Islam, legenda Jawa, kisah Iskandar Zulkarnain dan sejarah penaklukan Melaka oleh Portugis.

Cara mudah mengenali karya dalam kategori ini ialah apabila pari-pari (Parsi), dewa-dewi (Hindu) dan mambang (Indonesia) hadir dalam teks yang sama yang mana watak raja-raja Parsi dan Hindu ditampilkan.

Hikayat Koris agak unik kerana menyebut tentang orang Portugis tetapi tiada kisah penjajahan Belanda (1641-1825). Maka, mungkin ditulis semasa zaman penjajahan Portugis (1511-1641).

Menurut Richard , istilah ‘pantun’ yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah merujuk kepada kata-kata madah atau peribahasa. Hanya karya terkemudian menggunakan konsep pantun sepertimana kita ketahui sekarang.

Karya seperti Hikayat Gul Bakawali dan Hikayat Isma Yatim terang-terangan disadur daripada karya dari India. Sementara itu, menurut Richard, karya Parsi berjudul Tuti-nama diadaptasi menjadi Tota Kahani di India sebelum disadur pula menjadi teks bahasa Melayu berjudul Hikayat Khuwajah Maimun (Hikayat Bayan Budiman).

Kategori kelima sastera Melayu yang dihurai ialah peribahasa dan cerita lisan berbentuk cerita rakyat. Inti atau mesej utama cerita boleh disampaikan dalam versi berbeza mengikut zaman, latar budaya dan kreativiti pencerita.

Kisah Pak Pandir, Pak Belalang, Pak Kaduk, Mat Jenin, Sang Kancil dan sebagainya dilihat ada persamaan dengan mesej atau moral dalam cerita dari Arab, Eropah dan India. Bagaimanapun, cerita diubah suai mengikut budaya tempatan.

Bahagian utama buku ini iaitu kamus setebal 700 halaman memuatkan perkataan dalam tulisan Jawi diikuti makna dalam Inggeris. Susunannya dari huruf alif hingga za dan bukannya urutan abjad seperti dalam Kamus Dewan. Halaman indeks yang disusun dalam urutan abjad rumi boleh dirujuk jika timbul masalah sewaktu membaca manuskrip klasik ini.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN