Jadikan Asia Tenggara, Amerika Selatan, Afrika maju seperti China

Jadikan Asia Tenggara, Amerika Selatan, Afrika maju seperti China

PERDANA Menteri China, Li Qiang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula semalam ke negara ini. Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin negara dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. – Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPENA ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, penting untuk kita mengimbas kembali peranan Malaysia dalam menyusun semula senario politik serantau, kalau tidak pun sedunia, pada dekad 1970-an. Dengan kemampuan itu, misi hubungan kedua-dua negara ini dapat menjadikan Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Afrika maju serta kaya seperti China.

Malaysia berpandangan jauh apabila berani menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan Republik Rakyat China lebih awal daripada lawatan bersejarah Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon selama seminggu ke negara itu pada Februari 1972.

Selepas British mengundurkan sepenuhnya tenteranya dari Timur Suez pada 1971, negara-negara bekas jajahan British seperti Malaysia sedar bahawa mereka perlu membina sendiri sistem keselamatan dan pertahanan masing-masing. Dengan itu juga, dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra yang pro-Barat sudah tidak sesuai lagi untuk Malaysia.

Pilihan raya umum (PRU) dan rusuhan Mei 1969, menyebabkan bangkitnya orde baharu di bawah kepemimpinan Tun Abdul Razak Hussein bersama timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Kepimpinan mereka berdua membentuk dasar luar kerajaan Malaysia sejak 1970-an.
Setelah pengumuman pengunduran tentera British di Timur Suez dibuat pada Julai 1967, Ismail menjadi pemimpin pertama Malaysia yang mencadangkan agar Asia Tenggara dijadikan rantau yang neutral, dengan disokong oleh AS, Kesatuan Soviet dan China, serta diabsahkan melalui perjanjian-perjanjian saling tidak berperang sesama negara-negara di rantau ini.

Sebulan selepas pengumuman Britain itu, pada Ogos 1967, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN ditubuhkan.

Bersama dengan lima negara asal ASEAN, Malaysia menjadi pemimpin dasar luar berkecuali serta menerajui Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) yang diwujudkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 1971.

Bagi Abdul Razak dan Ismail, pendirian neutral negara-negara bukan-komunis Asia Tenggara yang dijamin oleh kuasa-kuasa besar serta penyertaan Republik Rakyat China dalam arena antarabangsa termasuk menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan permulaan jalinan persahabatan Malaysia dengan Republik Rakyat China merupakan rentetan peristiwa dalam menghadapi satu cabaran yang sama.

Cabaran ini memberi ruang kepada Malaysia untuk menyusun semula senario politik serantau berikutan pengunduran British dari Timur Suez serta campur tangan AS di Vietnam dan kawasan berkaitan dengannya. Bahkan mengiktiraf peranan China sebagai kuasa ketiga untuk mengimbang pengaruh AS dan Kesatuan Union.

Untuk memulakan langkah menjalin hubungan antara Malaysia dan China, Abdul Razak menghantar Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin muda yang sedang bersinar kerjaya politiknya, untuk mengetuai delegasi 19 warga Malaysia ke China pada Mei 1971. Lawatan mereka ke China adalah lebih awal daripada kunjungan Penasihat Keselamatan Negara AS, Henry Kissinger ke negara itu pada Julai 1971.

Pemeteraian hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 perlu dilihat sebagai satu kisah bagaimana Malaysia berjaya bangkit daripada sebuah negara pro-Barat pasca medeka pada dekad 1950-an dan 1960-an kepada negara bebas dan berkecuali mulai 1970-an. Ia juga merupakan kisah kejaan pemimpin negara memainkan peranan besar dalam menangani hal-ehwal serantau dan sedunia.

Hari ini, 50 tahun kemudian, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya yang bebas dan berkecuali.

Dasar luar Malaysia yang bebas dan berkecuali sangat penting pada masa ini. Kita merupakan sahabat kepada China dan AS. Walaupun kedua-dua negara itu sedang bersaing hebat dalam pelbagai bidang, Malaysia dan rakan-rakan ASEAN tetap mahu mengekalkan pendirian dengan memilih jalan tengah agar semua negara dapat berdagang antara satu sama lain serta sentiasa berkomunikasi sesama mereka.

Sejak 50 tahun lalu, China berjaya bangun daripada sebuah negara miskin kepada satu kuasa besar, hasil usaha kejayaan rakyat negara itu. Kejayaan China adalah berasaskan penekanannya terhadap inovasi dan teknologi. Apa yang boleh Malaysia pelajari adalah kita juga perlu mengembangkan teknologi dan inovasi kerana teknologi merupakan sumber kekayaan.

EKONOMI
Inilah asas kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Strategi Semikonduktor Kebangsaan. Aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju bukan sekadar kaya dengan tanah dan sumber asli tetapi juga mahu kekayaan yang dijana oleh teknologi demi kesejahteraan rakyat.
Dalam ilmu ekonomi, China memegang pada falsafah pengeluar cip kentang perlu memajukan diri dengan menghasilkan cip komputer supaya menjadi lebih kaya.

Ekonomi China berkembang pesat kerana ruang perdagangan global terbuka untuknya apabila ia menyertai Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada 2001. Kini keadaannya berubah apabila AS dan negara-negara maju yang menjadi sekutunya tidak selesa lagi berdagang dengan China.

Dengan itu, China perlu mencipta satu keadaan bagi melaksanakan strategi dua edaran dengan menghasilkan pasaran pengguna domestik China yang kukuh.

Keadaan global semasa juga memerlukan China dan negara-negara membangun di Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Afrika bekerjasama bagi membolehkan rantau serta benua-benua ini menjadi lebih maju.

Apabila ini dapat dicapai, China dan hampir kesemua negara di dunia ini tidak perlu lagi bergantung kepada perindustrian berasaskan eksport yang selama ini tidak dapat keluar daripada hakikat bahawa hanya AS merupakan pengimport utama dunia.

Apabila saiz kelas pertengahan semakin mengecil di AS dan Eropah, adalah tidak sesuai lagi untuk beranggapan hanya mereka sahaja merupakan pengimport utama. Ini boleh mencetuskan perang perdagangan dan sejarah membuktikan bahawa ia merupakan sesuatu yang buruk dan bahaya kerana ada kalanya boleh merebak menjadi perang sebenar yang mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda.

Dengan ini, harapan yang diletakkan kepada agenda ekonomi Malaysia-China mulai saat ini adalah untuk membolehkan Malaysia, negara-negara Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Afrika menjadi maju serta kaya seperti China, agar kita dapat menikmati keamanan sejagat yang berpanjangan.

Semoga, hubungan diplomatik Malaysia-China terus erat untuk 50 tahun akan datang.-UTUSAN

LIEW Chin Tong ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Tulisan ini merupakan ucapan beliau pada majlis HSBC Malaysia-China Night di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN