Didik hibur mudahkan pemahaman pelajar sekolah Tamil

Didik hibur mudahkan pemahaman pelajar sekolah Tamil

LEBIH 170 pelajar, guru dan ibu bapa menyertai Temasya Bahasa di tiga lokasi berbeza pada Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOPIK yang menyentuh perihal penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC) bukan sesuatu yang baharu.

Pelbagai pihak sering melakukan kritikan dan menuding kepada kelemahan yang wujud tanpa memberikan apa-apa cadangan membina.

Pada masa sama, Mahkamah Rayuan pada November 2023 memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di SJKC dan SJKT adalah berperlembagaan.

Maka, daripada terus mempertikai dan mempersoal kewujudan sekolah vernakular serta kurangnya penguasaan bahasa kebangsaan oleh murid SJKT dan SJKC, tentulah lebih baik jika kita sama-sama berusaha membantu mengatasi masalah itu.

Saya bersama-sama Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan kempen mencintai bahasa kebangsaan di SJKT dan SJKC sejak 2004.

Usaha kecil itu membuahkan hasil pada skala yang wajar kerana kanak-kanak terbabit mula menyedari perlunya mencintai, menguasai dan menghayati bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi, perpaduan dan ilmu.

Kavyan turut menganjurkan program yang dinamakan Temasya Bahasa di Selangor dan Perak untuk memasyarakatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan kanak-kanak, remaja, belia dan warga emas komuniti India.

Terbaharu, Kavyan bekerjasama pula dengan Persatuan Kebajikan Idayakkani bagi menganjurkan Temasya Bahasa dari Mei hingga Julai ini di SJKT dalam daerah Larut, Matang dan Selama di Perak.

Pada pengalaman saya, situasi dan cabaran pada masa kini ada persamaan dan perbezaan jika dibandingkan dengan keadaan dua dekad lalu. Walau apa pun komen dan kritikan pelbagai pihak, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah memang ada pelajar SJKT menguasai bahasa kebangsaan dengan amat baik.

Malangnya, secara perbandingan, lebih ramai murid kurang mahir dan kurang menguasai bahasa kebangsaan berbanding sekelompok kecil yang lancar berkomunikasi menggunakan bahasa ini.

Masalah, kekangan dan cabaran yang menyebabkan situasi ini wujud sudah dihurai beserta fakta dan data dalam buku Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024). Sesungguhnya, tiada satu formula gerenti lulus dalam menyelesaikan masalah penguasaan bahasa kebangsaan yang wujud di negara kita sejak dahulu.

Saya bersama-sama Kavyan menggunakan formula ‘cuba-cuba’ dalam usaha memupuk minat dan kecintaan murid-murid SJKT dan SJKC terhadap bahasa kebangsaan serta bahan bacaan dalam bahasa itu.

DIDIK HIBUR
Pendekatan didik hibur yang digalakkan Kementerian Pendidikan ternyata mampu menarik minat kanak-kanak. Maka, formula itu digunakan Kavyan sejak dahulu.

Peserta program Kavyan sekitar 10 atau 20 tahun lalu masih menghubungi kami untuk menceritakan bagaimana pendekatan didik hibur yang digunakan berjaya memutik cinta terhadap bahasa kebangsaan dan minat membaca buku cerita.

Segala pengalaman sejak dua dekad lalu digunakan apabila kami mengendalikan Temasya Bahasa bagi generasi baharu di sekitar Taiping, Perak.

Maklum balas yang diterima daripada pelajar, guru dan ibu bapa sepanjang bulan Mei amat menggalakkan. Guru besar kesemua SJKT terbabit menyokong dan mengalu-alukan usaha dilakukan Kavyan dan Idayakkani.

Tambahan pula, program ini dikendalikan dengan kebenaran pejabat pendidikan daerah (PPD) dan mempunyai objektif yang jelas serta positif.

“Program ini memberi banyak manfaat kepada murid. Mereka dilatih menulis dialog berdasarkan cerita yang dibaca dan seterusnya berlatih membuat lakonan drama pentas,” kata B. Nathia, guru di SJKT Ladang Temerloh, Trong, Perak.

Guru dari SJKT Ladang Allagar, N. Thurairaja Pillai mengakui program ini mampu memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru sekolah Tamil.

Bagi seorang lagi guru, R. Renuka, pendekatan didik hibur berjaya mencungkil minat murid membaca buku cerita.

“Murid-murid sangat aktif melibatkan diri kerana ini satu peluang mencungkil bakat mereka. Golongan ibu juga amat teruja untuk terlibat sama,” ulas K. Mohana guru dari SJKT YMHA yang turut menjadi peserta.

Rakannya, R. Nithya pula gembira kerana ibu bapa dapat menyaksikan sendiri kebolehan anak-anak dalam membaca teks dan berlakon.

Katanya, program didik hibur seperti ini wajar diadakan lebih kerap.

“Saya sangat gembira kerana ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudi mengatur dan melaksanakan program yang benar-benar bermanfaat bagi murid,” kata Tilsat Banu Hussein selaku ketua panitia bahasa di sekolah itu.

Seorang lagi guru, M. Sakunthla mengakui betapa aktiviti yang dijalankan memberi nilai tambah kepada pendekatan didik hibur yang sedia dipraktikkan di sekolah.

“Saya gembira melihat pelajar berani tampil ke hadapan untuk menunjukkan bakat. Program ini ternyata membantu peserta meningkatkan daya kreativiti dalam penghayatan bahasa,” jelas K. Vigneashwhary.

M. Yasotha dan A. Galaiharasi, dua ibu yang turut menjadi peserta Temasya Bahasa melahirkan rasa bertuah kerana dapat sama-sama mengikuti pelbagai aktiviti dijalankan.

Pasti sahaja golongan pelajar paling seronok terlibat dalam sesi membaca petikan karya dan membuat lakonan sketsa di pentas.

Hal ini diakui peserta seperti P. Rani dan G. Tharunikkaa dari SJKT Ladang Temerloh.

J. Niteesh dari SJKT Kamunting gembira mendapat hadiah buku yang mengandungi banyak cerita rakyat yang belum pernah didengar.

Rakannya, Mohamad Saharul Efendi dan J. Vanisyashri mencelah bahawa mereka tidak sabar untuk membaca buku cerita itu apabila pulang ke rumah.

Sesungguhnya, para peserta Temasya Bahasa mendapat peluang mengembangkan pengetahuan tentang bahasa, sastera dan mengasah bakat berlakon sebagaimana diakui Krishna Sri Raam Illango dari SJKT Kamunting.

“Saya amat gembira berpeluang menunjukkan bakat membaca petikan buku cerita di hadapan para hadirin. Ia meningkatkan keyakinan diri saya,” kata K. Vishnu Dev pula.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN