Mukadimah
DI SEBALIK manfaat dan peluang yang dibingkaikan kerajaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan memohon Malaysia menyertai kumpulan ekonomi negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), wujud pandangan berbeza berhubung implikasi jika Malaysia secara rasmi menganggotainya.
Apakah Amerika Syarikat (AS) akan bertindak balas sehingga menarik keluar pelaburan dari Malaysia, hanya disebabkan AS seteru kepada Rusia dan China? Adakah dengan pendekatan berbaik-baik sahaja dengan kedua-dua blok cukup menyelamatkan keadaan?
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, PROF. MADYA DR. AIMI ZULHAZMI ABDUL RASHID menyuarakan kebimbangan itu kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, FARIZ RUSADIO, baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun percaya, di sebalik persepsi itu, ia juga membuka pasaran ekonomi lebih luas sekali gus membawa Malaysia keluar daripada dominasi dolar AS.
MINGGUAN: Boleh Prof. jelaskan apakah itu BRICS dan peranannya dalam ekonomi?
AIMI ZULHAZMI: Isu berhubung BRICS ini timbul kembali selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Pada awalnya, ia dikenali sebagai BRIC iaitu akronim merujuk kepada Brazil, Rusia, India dan China dan pada 2010, Afrika Selatan pula menyertai.
Pembentukan kumpulan ini kerana pemimpin-pemimpin negara terlibat mahu mengimbangkannya dengan ekonomi yang dikawal oleh kumpulan tujuh negara maju (G7) selain pengaruh Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).
Seberapa besar pengaruh dimiliki BRICS sebagai pengimbang kepada kumpulan ekonomi lain?
Jumlah populasi atau penduduk di dalam BRICS ini ramai, malah kuasa belinya juga besar. Setiap tahun tahap ekonominya meningkat. Brazil pula adalah negara dengan ekonomi yang terbesar di Amerika Selatan.
Jika digabungkan kelima-lima negara dalam BRICS ini hampir sama dengan AS, walaupun populasi di dalam G7 masih mendahului.
Pun begitu, BRICS kelihatan lebih ‘menawan’ dan banyak ruang untuk ekonomi negara-negara berkembang terutama China dan India yang memiliki populasi paling besar di dunia. Jadi, pastinya kemampuan yang ada di dalam BRICS ini memberi pengaruh yang setanding dengan kumpulan ekonomi lain.
Maksudnya?
Saya bercakap dalam aspek keupayaan negara-negara ini untuk mengimbangkan kuasa ekonomi negara Barat terutamanya AS memandangkan selama ini, ia banyak dikawal oleh mereka.
Syarikat-syarikat asing yang masuk ke Malaysia sebagai pelabur yang mendominasi pasaran kebanyakannya dari Barat. Jadi, mereka tidak mahu lagi perkara ini berlaku yang mendorong kepada kemunculan BRICS.
Apa yang menjadi isu di sini adalah penggunaan mata wang dolar. Walaupun ekonomi Malaysia bertambah baik setiap tahun selepas pandemik Covid-19, tetapi, nilai ringgit masih lagi teruk berbanding serangan wabak sebelum ini. Nilai ringgit tetap jatuh.
Bagaimana penyertaan Malaysia nanti di dalam BRICS memberi kesan terhadap negara?
Di sebalik banyak pihak bercakap mengenai kebaikan Malaysia menyertai BRICS, saya melihat akan ada kesan-kesan negatif terhadap negara seandainya permohonan Malaysia diluluskan dan secara rasminya menjadi komponen di dalam BRICS.
Ini akan menimbulkan persoalan apakah ia akan memberi kesan kepada sekutu yang dijalin antara Malaysia dan Negara-Negara Komanwel? Contohnya, United Kingdom (UK) dan New Zealand yang pernah membantu negara ketika era komunis dan konspirasi dengan Indonesia, adakah jalinan hubungan ini akan terus berlaku?
FDI TERJEJAS?
Dalam aspek pelaburan langsung asing (FDI), kita tahu Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion atau RM10.5 bilion di Malaysia. Sedarkah bahawa syarikat ini dari AS? Apakah negara ini masih mahu terus melabur? Tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana tindakan Malaysia boleh memberi kesan dalam jangka masa yang panjang.
PEMBALASAN
Saya bimbang jika berlaku pembalasan dalam aspek perdagangan tukar barangan seperti AS yang banyak melabur namun menarik keluar pelaburan dari Malaysia. Apakah mungkin AS akan memindahkan kilang-kilang semikonduktor di Malaysia ke tempat lain?
Satu hal yang membimbangkan saya lagi adakah barangan eksport Malaysia akan diterima atau akan dikenakan cukai tambahan atau tarif baharu apabila memasuki negara mereka?
Apakah keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada nilai eksport minyak sawit negara dalam keadaan kita sendiri berdepan kempen dan pelobi minyak soya, anti minyak sawit dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan isu panas yang berlaku di Kepulauan Spratly selain baru-baru ini berlaku pelanggaran kapal China dan Filipina? Seandainya berlaku kejadian tidak diingini, bagaimana Malaysia mahu bertindak ketika dikatakan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan China?
Kesemua perkara ini dalam keadaan yang tidak pasti dan belum berlaku lagi pun. Tetapi, kita wajar berfikir ke hadapan apakah keputusan ini akan mendorong negara ke arah yang lebih baik atau sebaliknya?
Maksud Prof. akan menjejaskan hubungan diplomatik?
Lebih kuranglah. Persoalan yang akan bermain adakah ini memberi kesan kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat dan sedikit longgar.
Tetapi, negara Barat tahu yang Malaysia negara bersaiz kecil, maka tidak memberi kesan yang banyak pun kepada AS. Kecualilah negara besar seperti Australia mahu sertai BRICS, pasti beri kesan yang besar.
Jika diberi pilihan, Prof. mahu peluang ekonomi atau hubungan diplomatik?
Soalan ini memerangkap saya kerana kedua-duanya sukar dipisahkan. Cuba analisis, kalau boleh kita mahu kedua-duanya iaitu geopolitik dan peluang ekonomi. Cuma, ekonomi kita sudah tidak boleh berkembang lagi dan ‘bertakung’ di negara Barat sahaja. Jadi, lebih elok jika dikembangkan lagi melalui BRICS.
Jika anda tanya saya bagaimana cara mengimbangkannya, saya tiada jawapan khusus kerana ia terpulang kepada kerajaan sendiri. Mungkin caranya, berbaik-baik sahaja antara kerajaan dan negara.
Tidakkah tiada kesan positif langsung untuk Malaysia?
Di sebalik jangkaan kesan negatif ini, saya mesti berlaku adil. Penyertaan Malaysia nanti pastinya akan merapatkan lagi hubungan antara negara di dalam BRICS yang mana selama ini, kita mungkin tidak pernah menembusi pasaran ketika itu.
Mungkinlah ketika zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ada sedikit produk yang ‘lepas’, tetapi kita tidak menjual barang kita di sana (BRICS).
PASARAN EKONOMI LEBIH BESAR
Maka, saya melihat ini sebagai sempadan baharu yang Malaysia boleh masuk yang bakal menjanjikan pasaran ekonomi yang lebih besar daripada terus ‘terperangkap’ dalam jajahan kuasa Barat.
Apakah BRICS menunjukkan bahawa tidak ada lagi sistem tadbir urus global yang dikuasai sebuah negara berkuasa penuh seperti Barat?
Tentu sekali. Sekarang, apa yang berlaku kesemuanya dikawal oleh negara Barat contohnya dalam aspek perdagangan, sistem perbankan dan kewangan kuasa politik, bank dunia dan banyak lagi. Jadi, mahu tidak mahu, kita terpaksa menggunakan nilai mata wang dolar dan untuk berubah tidak semudah itu.
Mampukah BRICS membayangi kuasa negara Barat dan keluar daripada dominasi dolar AS?
Ketika ini mungkin sedikit sukar, tetapi, saya percaya ia akan berlaku ketika sesuatu peristiwa yang besar berlaku.
Kita tidak tahu bila akan berlaku krisis atau perang dingin yang akan memaksa negara untuk mengukuhkan sempadan. Dahulu kita ada banyak blok seperti Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), tetapi ia hanya bersifat ekonomi namun orang ramai tidak melihat dari sudut geopolitik.
Bolehkah Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada dolar AS?
Itulah tujuannya, Malaysia ke arah mengukuhkan semula nilai ringgit dengan kaedah dedolarisasi yang merujuk kepada langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam urusan perdagangan dan menggunakan sistem mata wang negara lain. Tetapi, ia ada hadnya kerana hampir kesemua proses transaksi menggunakan dolar Amerika Syarikat.
Apakah BRICS memberi nilai tambah kepada Malaysia ketika negara sudah meratifikasi perjanjian bebas perdagangan di bawah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)?
Ya, memang. Tetapi, apa pelaksanaannya sampai sekarang? Tiada apa yang berlaku pun. Tetapi, saya enggan mengulas lanjut kerana saya bukan pakar dalam bidang ini. Namun, secara asasnya, tidak banyak hasil pelaksanaannya. Kita hanya boleh meratifikasi sahaja, tetapi bergantung kepada syarikat-syarikat swasta yang mahu berkembang atau sebaliknya.
Bukankah Malaysia sepatutnya bersikap neutral dalam BRICS?
Isu neutral atau tidak, kita tahu banyak pelaburan masuk dari China ke Malaysia selain kedua-duanya sudah menjalin hubungan diplomatik selama 50 tahun. Ini menjadi faktor penolak untuk kita menggalakkan lebih banyak pelaburan dan meningkatkan ekonomi negara. Kalau ‘duduk diam’ sahaja apa manfaatnya? Lebih baik kita bertindak sebelum kehilangan pasaran yang sebenar.
Cukup besarkah modal negara kita seperti negara Asia Barat ketika jumlah penduduk Malaysia masih dianggap kecil?
Anda kena faham, ini bukannya soal isu populasi besar atau kecil. Sebab itulah mengapa Malaysia memasuki BRICS, kerana ia memberi pasaran peluang besar dan negara boleh menjual produk dalam skop yang lebih luas. Soalan ini semakin kompleks, saya bercakap seolah-olah saya menteri pula.
Apakah Malaysia memiliki kapasiti sebagai pengeksport kerana China dan Rusia telah pun menguasai pasaran melalui produk mereka? Ia bergantung kepada sektor apa? Jika sektor pertanian, Malaysia adalah negara pengeluar produk bahan mentah minyak sawit dan getah. Jika industri seperti cip mikro, kita berada dalam rantaian bekalan.
Jika BRICS menolak permohonan Malaysia?
Saya tidak berfikir akan berlaku seperti itu. Saya percaya, Malaysia ada peluang melihat kepada kedudukan negara yang strategik.
BLACKROCK
Apa pandangan Prof. tentang pengguguran pelaburan BlackRock
di Malaysia?
Jika dari sudut politik, ya, saya tiada masalah atas isu melibatkan Israel-Palestin. Dari aspek ekonomi ia baik untuk negara dalam merealisasi agenda pelaburan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen ada sebut, BlackRock merupakan pengurus aset terbesar di dunia dan setakat 31 Mac lalu, set di bawah pengurusan (AUM) syarikat tersebut bernilai 10.5 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM49.35 trilion.
Pengguguran pelaburan BlackRock akan mendatangkan implikasi negatif kepada usaha kerajaan untuk merealisasi agenda pelaburan. Cuma kita patut buat pertimbangan negara-negara lain bagaimana? Jika gugurkan BlackRock, apa akan berlaku kepada Malaysia? Mungkin kita jatuh malah, kepada Bursa Malaysia. – Mingguan Malaysia










